Pegawai Imigresen KLIA ditahan minta rasuah untuk bebaskan tahanan Warga China

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menahan seorang Pegawai Imigresen yang didakwa meminta rasuah untuk membebaskan tahanan.



SPRM Selangor telah menahan pegawai berkenaan yang didakwa meminta rasuah berjumlah RM22,000 untuk membebaskan dua warga China yang ditahan bulan lalu kerana menggunakan cop palsu keluar masuk sempadan negara.

KLIA

Pegawai berusia 26 tahun itu yang bertugas di jabatan operasi KLIA ditahan pada 7.45 malam semalam selepas dikatakan telah menerima rasuah berkenaan di sebuah stesen minyak berdekatan lapangan terbang.

FMT yang memetik sumber melaporkan kes itu tiada kaitan dengan operasi Ops Selat yang menyaksikan penahanan seramai 79 pegawai imigresen sebelum ini, tambahnya pegawai ini melakukan kegiatan itu sendirian dan didakwa telah melakukannya berulang kali.

"Rasuah di KLIA sudah menjadi satu pandemik dan ia membimbangkan. Ini merupakan isu keselamatan negara. Pegawai-pegawai korup yang bertugas, memudahkan keluar masuk pendatang asing tanpa izin yang bermasalah," kata sumber itu.


"Tidak perlu lagi melalui laluan haram atau laut untuk masuk ke Malaysia. Lebih baik masuk menerusi KLIA atau KLIA2. Ia lebih mudah, cepat dan selamat,"

Menurut sumber itu lagi, pegawai berkenaan ditahan susulan penangkapan seorang ejen berusia 40 tahun yang ditemui dengan wang tengah hari semalam.

Selepas soal siasat, ejen itu mendedahkan bahawa wang berkenaan untuk diberikan kepada seorang pegawai imigresen KLIA kata sumber itu.

"Modus operandi mereka ialah, pegawai-pegawai imigresen akan memberikan butiran mana-mana warga China yang ditahan atas kesalahan Imigresen di KLIA kepada ejen-ejen ini. Tugas ejen ini pula untuk menghubungi keluarga mereka di China bagi meminta rasuah untuk membebaskan tahanan berkenaan,"


"Keluarga di China pula kemudian akan menghubungi rakan mereka di Malaysia, untuk membantu menyediakan duit dan menyerahkannya kepada agen berkenaan," dedah sumber berkenaan.

Pengarah SPRM Selangor Alias Salim telah mengesahkan penahanan itu dan katanya kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan