Rakyat Rusia disuntik vaksin Sputnik V dilarang minum arak selama dua bulan

KERAJAAN Russia di bawah pentadbiran Presiden Vladimir Putin telah memulakan program menyuntik vaksin buatan negara itu yang dipanggil "Spunik V" kepada rakyatnya sejak minggu lalu.


Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada orang ramai yang telah menerima vaksin agar mematuhi larangan untuk tidak meminum arak selama dua bulan bagi membolehkan vaksin itu berfungsi sepenuhnya.

Sputnik V Vaksin

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Tatiana Golikova dipetik sebagai berkata, bagi memastikan ia berkesan orang ramai perlu mengambil langkah tambahan selama 42 hari selepas menerima vaksin Sputnik V.

"Rakyat Russia perlu mengelak daripada melawat tempat-tempat yang sesak, pakailah pelitup muka, gunakan pembasmi kuman, kurangkan pergaulan dan menahan diri daripada mengambil alkohol dan ubatan immunosuppressant," katanya dalam satu temu bual dengan agensi berita TASS News.

Anna Popova ketua Rospotrebnadzor, sebuah badan pemantau keselamatan pengguna Rusia juga dilapor menyarankan orang ramai untuk tidak mengambil alkohol.

"Ia merupakan beban kepada badan. Jika kita mahu kekal sihat dan mempunyai sistem tindak balas imun yang kuat, jangan minum arak," kata Popova.


Berdasarkan laporan Badan Kesihatan Dunia (WHO) Russia merupakan negara keempat dunia paling tinggi pengambilan alkohol bagi setiap individu. 

Secara purata seorang rakyat Rusia dilaporkan meminum 15.1 liter arak setiap tahun, justeru larangan itu disifatkan sangat membebankan mereka.

Pihak berkuasa kesihatan Rusia  menganggarkan sejumlah 100,000 rakyat negara itu sudah disuntik dengan vaksin sejak langkah itu dimulakan minggu lalu di Moscow.

Pihak berkuasa kesihatan mengatakan Sputnik V memiliki kadar mujarab 95% setanding dengan vaksin yang dihasilkan oleh pengeluar dari negara-negara lain. 

Namun setakat ini, Presiden Vladimir Putin dilaporkan belum lagi menerima suntikan vaksin berkenaan.

Berdasarkan data Johns Hopkins University and Medicines, Russia mencatatkan kes sebanyak 2.5 juta jangkitan Covid-19 sekaligus muncul negara keempat tertinggi di dunia dengan kematian seramai 44,220 orang.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan