Saman isu terowong dasar laut: Mahkamah arah Azeez Rahim bayar RM50,000

AHLI Parlimen Baling, Kedah, Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan tewas di mahkamah hari ini berhubung saman fitnah yang failkan terhadap setiausaha agung DAP Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.


Azeez diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar kos sebanyak RM50,000.

Abdul Azeez Rahim

Keputusan itu dibacakan oleh Timbalan Pendaftar L Umma Devi di dalam kamar disaksikan oleh peguam Mohamed Fudhail Ahmad Zulaini yang mewakili Abdul Azeez sebagai plaintif dan peguam N Mureli dan Feliz Lim yang mewakili Lim selaku defendan kes berkenaan.

Menurut Mureli, mahkamah telah menolak saman yang dibuat oleh plaintif dengan kos RM50,000 kerana plaintif telah gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan.

Pada bulan Mac 2018, Abdul Azeez mendakwa Lim telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Februari 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baru Cina pada hari yang sama mengaitkan dia dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran rundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.


Katanya kenyataan itu telah mendapat liputan luas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Azeez mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu telah menyebabkan dia mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Justeru, plaintif memohon ganti rugi am termasuk gantirugi pampasan teladan gantirugi tambahan kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain turut memohon suatu perintah untuk penerbitan balik kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta menyiarkan permohonan maaf secara terbuka di dalam akhbar dan media elektronik tempatan.


Azeez Rahim juga memohon injuksi bagi menghalang Guan Eng daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan