Singapura luluskan jualan ayam ciptaan makmal

PENDUDUK Singapura tidak lama lagi dilaporkan boleh menikmati daging ayam yang dibiakkan atau dikulturkan di makmal selepas penjualannya kini telah diluluskan oleh kerajaan republik itu.


Eat Just, sebuah syarikat pengeluar makanan berinovasi di negara jiran itu, telah menerima kelulusan kerajaan untuk memasarkan produk daging ayam ciptaan makmal keluaran mereka.

Ayam ciptaan makmal

Eat Just pada hari Rabu (2 Disember) mengumumkan produk ayam makmalnya telah mendapat "kelulusan pertama kali di dunia," oleh pihak berkuasa Singapura sekaligus membolehkan ia digunakan sebagai bahan dalam produk daging ayam atau nuget keluaran syarikat itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Ini merupakan kali pertama di dunia daging yang dihasilkan di makmal boleh dijual secara komersial, kata Agensi Makanan Singapura (SFA), yang mengeluarkan garis panduan bagi memastikan keselamatan ciptaan-ciptaan makanan baru.

Daging makmal atau daging berasaskan sel, ialah daging yang dicipta dan dibiakkan di dalam makmal menggunakan sel-sel haiwan.


Menurut Eat Just, syarikat yang berpengkalan di San Francisco, yang juga terkenal dengan telur alternatif berasaskan tumbuhan keluarannya sebelum ini, menjelaskan tiada antibiotik digunakan dalam produk-produknya.

Tambahnya lagi ujian keselamatan yang dijalankan terhadap ayam makmalnya mendapati ia mempunyai "kandungan mikrobiologi yang sangat rendah dan sangat bersih," berbanding ayam tradisional.

"Analisis itu juga menunjukkan ayam kultur mengandungi kandungan protein yang tinggi, komposisi pelbagai asid amino, kandungan relatif lemak tidak tepu yang tinggi, dan ia merupakan sumber mineral," katanya.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, syarikat itu mendakwa ia telah mengambil masa berbulan-bulan untuk pasukan penyelidiknya, pemaju produk, dan pakar undang-undang untuk merekodkan proses penghasilan ayam makmal bagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Singapura.

Sumber - cna

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan