Tiada parti dapat majoriti untuk dilantik jadi MB Perak

BEBERAPA media melaporkan belum ada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti mudah untuk dilantik menjadi Menteri Besar Perak ke 14.



Ini bermakna tidak ada mana-mana calon Menteri Besar dari mana-mana parti yang berjaya meyakinkan Sultan Perak untuk dilantik sebagai MB Perak yang baru.

Annuar Zaini

Kenyataan Ahli Dewan Negara dipetik sebagai memaklumkan bahawa Umno telah mempersembahkan kepada Sultan Perak status rundingan dengan pelbagai pihak untuk membentuk kerajaan baru.

Difahamkan sehingga kini ahli-ahli politik berkenaan masih menjalankan rundingan.

"Oleh kerana Tuanku masih belum diyakinkan mana-mana pihak yang sudah ada majoriti mudah, kita akan tunggu sampai mereka bersedia dan meyakinkan Tuanku dan Tuanku berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk tubuh kerajaan," katanya.


Wakil rakyat dari Pas hari ini membatalkan rancangan untuk menghadap Sultan Perak, di Istana Kinta Ipoh yang dijadualkan untuk mengadap baginda pada jam 3 petang tadi.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria turut mengesahkan perkara itu.

Sumber dari istana yang dipetik oleh beberapa media memaklumkan pada asalnya Pas dijadualkan menghadap Sultan Nazrin pada jam 3 petang namun menarik balik temu janji itu dengan alasan mereka mendapat arahan daripada pimpinan tertinggi parti.

Sebelum itu, Sultan Nazrin dilaporkan telah menghadiri majlis terima menghadap beberapa pimpinan parti politik dari Pakatan Harapan.


Antara yang hadir termasuk pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dan Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi dilaporkan begitu optimis calon Menteri Besar Perak yang baharu daripada Umno mempunyai sokongan majoriti.

Katanya beliau yakin sokongan yang diperoleh lebih daripada mencukupi.

Ahmad Zahid telah dipanggil menghadap Sultan Perak dan tiba di istana Kinta sekitar jam 9.50 pagi tadi disusuli Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad yang juga calon MB dari Umno beberapa minit kemudian.

Difahamkan Sultan Nazrin tidak dijadualkan untuk terima menghadap mana-mana pimpinan lagi untuk hari ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan