Dashrath Manjhi, warga emas yang membelah gunung seorang diri selama 22 tahun

SEORANG lelaki bernama Dashrath Manjhi tinggal di sebuah kampung bernama Gahlaur, dalam daerah Bihar di India.



Perkampungan tempat tinggalnya terpisah dengan dunia luar disebabkan terdapat banyak bukit bukau berbatu dan gunung-ganang. 

TAG

Penduduk kampung terpaksa mengikut laluan mengelilingi lokasi berbukit setinggi 350 kaki untuk keluar bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan, air minuman dan perubatan.

Laluan yang digunakan oleh penduduk kampung setiap hari pula dalam keadaan berbatu, berisiko dan begitu membuang masa perjalanan.

Manjhi merupakan seorang penternak kambing di kampung itu, manakala isterinya Falguni Devi turut membantu menjalankan pekerjaan itu untuk menyara kehidupan seharian mereka.

Seperti wanita lain di kampung berkenaan, Devi juga terpaksa mengikut laluan yang begitu sukar dan berisiko mengelilingi pergunungan sambil membawa balang tembikar untuk mendapatkan air minuman.

Pada suatu hari, Devi yang ketika itu sedang sarat mengandung, terpaksa mendaki sebuah gunung dalam keadaan panas terik untuk menghantar makanan kepada suaminya.


Malang tidak berbau, kaki Devi tergelincir ketika mendaki sebelum jatuh dari gunung itu, sedang suaminya yang kelaparan sedang menunggu isterinya tanpa mengetahui kejadian itu.

Salah seorang penduduk kampung memberitahu Manjhi tentang kejadian itu. Manjhi segera membawa isterinya yang berlumuran darah itu ke hospital berdekatan. Namun terpaksa melalui jalan sejauh 70 km.

Ketika tiba di hospital, Devi disahkan meninggal dunia namun sempat melahirkan seorang bayi perempuan.

Manjhi belah gunung seorang diri

Sedih dengan kemalangan yang menimpa isterinya itu, dan tidak mahu kejadian itu berulang kepada orang lain, Manjhi telah meminta bantuan ahli politik, dan pihak berkuasa tempatan memohon agar sebatang jalan dibina berhampiran kampungnya bagi kemudahan penduduk tempatan.

Namun, mereka semua hanya memekakkan telinga. Permintaannya itu langsung tidak diendahkan.

Akhirnya Manjhi dengan rasa marah dan kecewa, mengambil keputusan untuk menjual kambingnya dan membeli sebuah tukul besi dan pahat. 

Dia mula membina laluan dengan membelah bebatuan dengan cara memecahkannya sedikit demi sedikit menggunakan tukul dan pahat seorang diri pada tahun 1959.

Namun kematian isteri telah menaikkan semangatnya untuk membina sebatang jalan bagi memudahkan laluan penduduk kampung.


Penduduk kampung termasuk ayahnya sendiri ramai yang memperlekeh dan mengejek, serta menjadikan Dashrath sebagai bahan ketawa kerana melakukan perkara yang dianggap mustahil dan sia-sia.

Namun semua itu langsung tidak dipedulikan oleh Manjhi. Demi cinta kepada isterinya dia bertekad untuk meneruskan dan menyiapkan usahanya itu. 

Setiap ketukan tukul besi yang dihayun, memecahkan batu-batu di gunung berkenaan, sedikit demi sedikit. Kerjanya itu berjalan begitu lambat dan perlahan namun baginya, dia sedang melakukan sesuatu yang akan memberi manfaat kepada penduduk kampung.

Selepas 22 tahun berusaha keras dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira penat dan lelah, akhirnya Manjhi berjaya menyelesaikan tugasnya.

Sebatang jalan berjaya dibina sepanjang 350 kaki, dengan lebarnya 30 kaki selepas dia membelah di tengah-tengah gunung berkenaan.

Laluan Dashrath Manjhi

Dengan adanya laluan baru itu, penduduk kampung kini dapat pergi ke pekan berdekatan pada jarak hanya 15 km, berbanding sebelum ini mereka terpaksa berjalan sejauh 70 km mengikut laluan lain.

Bayangkan seorang lelaki yang sudah begitu berusia, sanggup menghabiskan sisa hidup mengerah tenaga memecahkan batu-batu keras, selama 22 tahun.


Usaha Manjhi dari tahun 1960 hingga 1982 itu kemudian mendapat pelbagai pujian dan pengiktirafan ramai. Malah dia digelar sebagai "lelaki yang memindahkan gunung," sebuah dokumentari tentang kisahnya itu turut diterbitkan.

Dashrath Manjhi

Pada 17 Ogos 2007 Dashrath Manjhi meninggal dunia di All India Institut of Medical Science, disebabkan barah buah pinggang pada umur 73 tahun.

Ketika sebuah dokumentari tentang hidupnya diterbitkan, Manjhi sedang terlantar di atas katil sambil menunjukkan isyarat 'bagus' menunggu masa ajal menjemputnya.

1 Comments

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan