Enggan pakai pelitup muka, ribuan berhimpun bantah kerajaan kawal pandemik

SEKITAR 10,000 individu berhimpun di Vienna, ibu negara Austria pada hari Sabtu (16 Januari 2021) membantah tindakan kerajaan yang mengenakan sekatan bagi mengawal pandemik Coronavirus. Himpunan itu dilaporkan turut menggesa agar pentadbiran kerajaan meletak jawatan. 

Austria kini mengenakan perintah kawalan pergerakan ketiga sejak bulan Mac tahun lalu bagi mengawal penularan wabak, di mana kedai-kedai, dewan persembahan dan teater, pusat sukan dan sekolah ditutup.

Protes di Austria

"Jumlah kematian yang diberikan adalah sampah. Saya tak mahu jadi seperti Negara China di mana kamu tiada hak untuk melakukan apa-apa," kata Gabi salah seorang wanita peserta himpunan tersebut yang dipetik oleh AFP.

Mereka membawa sepanduk "Kamulah penyakit, kami penyembuhnya," sambil mengibarkan bendera Austria.

Kebanyakan mereka enggan memakai pelitup muka atau mengikut arahan untuk mengamalkan jarak sosial, termasuk ahli-ahli politik berhaluan kanan dan bekas Canselor Autria Heinz-Christian Strache.

Sebuah lagi himpunan turut dianjurkan oleh golongan berhaluan kiri, untuk melawan himpunan berkenaan dan mengecam mereka kerana enggan memakai pelitup muka. Namun himpunan itu hanya dihadiri sekitar 500 individu.

Austria yang mempunyai seramai 8.9 juta penduduk telah mencatatkan kematian sebanyak 7,053 orang akibat jangkitan Covid-19 setakat ini.

Kumpulan pakar telah menyarankan pemimpin nombor satu negara itu, Canselor Sebastian Kurz agar tidak menghentikan sekatan sedia ada yang dijadualkan sehingga 25 Januari 2021, kerana jumlah jangkitan masih tidak menunjukkan penurunan ditambah dengan jangkitan Covid-19 varian British sudah menular.

Para penasihat sains mencadangkan kerajaan mewajibkan semua rakyat untuk berkerja dari rumah serta melanjutkan perintah kawalan pergerakan.

Kerajaan Austria dijadualkan akan mengumumkan langkah-langkah baru yang bakal diambil pada hari Ahad ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan