Lelaki ini dipenjara 10 tahun kerana merokok di khalayak ramai

HARI ini kita boleh lihat serata dunia orang merokok, tidak kira bangsa, agama dan latar belakang.  Namun ketika mula-mula orang Eropah mengenal tembakau ribuan tahun dahulu, ada dicatatkan dalam sejarah seorang lelaki dipenjara selama 10 tahun kerana merokok di khalayak ramai.

Budaya merokok dipercayai telah bermula sejak ribuan tahun dahulu, di mana kali pertama amalan itu direkodkan di kalangan kaum pribumi Amerika sekitar tahun 5000 sebelum masehi. 

Tabiat buruk itu seperti kita lihat hari ini, mempunyai pengertian besar dalam pelbagai budaya kerana ia dianggap amalan untuk menyucikan minda sebelum sebuah upacara keagamaan.

Setiap bahagian tertentu di dunia, mempunyai budayanya tersendiri, dan setiap budaya juga mempunyai cara merokok tersendiri. Kaum pribumi Amerika menghisap tembakau, kerana ia tumbuh subur di kawasan mereka. Budaya masyarakat timur seperti India atau benua kecil Sahara di Afrika pula menghisap ganja kerana pohon itu tumbuh di lokasi kediaman mereka.

Dalam pelbagai budaya berbeza, paderi atau pemimpin-pemimpin agama merokok bagi mendapatkan minda separa sedar, supaya diri mereka terpisah daripada dunia nyata untuk berhubung dengan roh-roh dan semangat ketuhanan.

Amalan merokok tidak pernah dicatatkan di Eropah sehinggalah lewat abad ke-15, selepas pelayar eropah mengenali tabiat itu dan membawa pulang tembakau ke benua Eropah.

Manusia pertama merokok di Eropah

Manusia pertama yang membawa tabiat merokok ke Eropah ialah Rodrigo de Jerez, salah seorang kru pelayaran Christopher Columbus yang menumpukan penjelajahan ke kawasan Amerika.

Ketika tiba di bumi Amerika dalam tahun 1492, mereka telah didekati oleh seorang kaum pribumi. Melihat kedatangannya yang berniat baik, mereka saling bertukar-tukar hadiah sebagai tanda salam perkenalan, dan menyatakan hasrat hanya mahu meneroka kawasan tersebut.

Pelayar itu memberikan pakaian, makanan dan lain-lain barangan keperluan. Manakala puak tempatan membalasnya dengan pemberian tembakau.

Rodrigo de Jerez

Columbus dan anak kapalnya tidak tahu herba jenis apa diterima itu, walaupun puak pribumi Amerika menyatakan ia sesuatu yang sangat berharga dan mewah. Mereka membawanya pulang ke Eropah dan bercadang untuk meminta bantuan pakar bagi menganalisis herba tersebut.

Namun salah seorang anak kapal, iaitu Jerez sedari awal telah memerhatikan apa yang dilakukan oleh kaum pribumi terhadap tembakau itu sebelum ini.

Ketika dalam pelayaran pulang menuju ke Eropah, Jerez telah mengambil sedikit tembakau berkenaan untuk dirinya dan cuba mennyalakan rokok seperti dilakukan oleh kaum pribumi dilihatnya sebelum ini.

Menurut kefahamannya, menghisap tembakau boleh memberikan kesan rasa tenang dan aman. Justeru kali pertama Jerez menghisap rokok adalah ketika berada di atas kapal, dalam perjalanan pulang ke Sepanyol.

Christoper Columbus

Jelmaan syaitan

Sebaik sahaja para pelayar itu tiba di Pelabuhan Ayamonte di Sevilla, Sepanyol, Jerez telah menghisap rokok di depan khalayak sambil disaksikan oleh orang ramai yang lalu-lalang.

Ketika penduduk tempatan melihat Jerez mengeluarkan asap dari hidung dan mulutnya, mereka menyangka syaitan telah menjelma dalam rupa bentuk seorang manusia.

Disebabkan peristiwa itu berlaku ketika zaman pemerintahan di bawah tribunal gereja atau lebih dikenali sebagai Spanish Inquisition (1478–1834), Jerez telah ditahan oleh pihak berkuasa, dan satu siasatan dilakukan terhadapnya. Jerez telah menjelaskan bahawa asap itu terhasil daripada tembakau yang dibawa pulang dari Amerika.

Meskipun penjelasan telah diberi, oleh kerana Sepanyol ketika itu diperintah oleh Monarki Katolik, mereka berpendapat membebaskan Jerez begitu sahaja akan meninggalkan nama buruk kepada pemerintahan gereja. 

Maka Jerez telah dipenjarakan selama 10 tahun sehingga orang ramai lupa tentang kisahnya dan menyangka 'jelmaan syaitan' Jerez telah dibunuh oleh pemerintah.

Pemerintah Sepanyol ketika itu menganggap tembakau adalah sejenis tumbuhan yang tidak murni justeru rakyat tidak digalakkan untuk menghisapnya.

Meskipun begitu, ketika bermulanya abad ke-16, penjajah mula membina penempatan di Amerika, dan dagangan tembakau telah bermula. Sedikit demi sedikit menjadikan tabiat tidak sihat itu semakin popular di seluruh Eropah.

Tumbuhan itu meskipun dilihat sebagai herba tulen dan mempunyai kebolehan untuk menyembuhkan penyakit tertentu, namun tidak pernah digunakan dalam bidang perubatan sehingga abad ke-20.

Hanya sekitar lewat abad ke 19 barulah rokok mula dicipta. Sebelum itu orang ramai hanya menghisap tembakau menggunakan paip.

Rujukanbritannica.com | nejm.org 

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan