Manusia tak dibenarkan lahir atau mati di pulau ini

ADA satu penempatan kecil bernama Longyearbyen, di tengah-tengah Pulau Svalbard, Norway. Pulau itu mempunyai dua undang-undang pelik namun tetap dipatuhi oleh kira-kira 2,000 penduduknya sampai ke hari ini. Dua undang-undang itu ialah tidak membenarkan sesiapa melahirkan anak atau mati di pulau tersebut.

Undang-undang itu kedengaran pelik dan tak masuk akal betul tak? Sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan, mari kita selidik dahulu sejarah dan latar belakang, sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan di pulau tersebut.

Penempatan ini terkenal kerana lokasi bandarnya paling hampir dengan kutub utara (Bandar paling utara dalam dunia). Musim sejuk setiap tahun di pulau ini juga lebih panjang, iaitu selama 4 bulan bersamaan dengan 120 hari kawasan itu tidak mendapat cahaya matahari disebabkan kedudukan geografinya.

Longyearbyen

Pulau yang memiliki suasana persekitaran senyap dan sejuk itu turut mendapat tarikan pelancong bukan sahaja kerana sejarah uniknya, malah disebabkan persekitarannya begitu penting untuk dijadikan kawasan para saintis menjalankan pelbagai jenis penyelidikan.

Sejarah mulanya penempatan ini

Suatu masa dahulu, Longyearbyen dijadikan penempatan untuk para pekerja dari lombong arang batu paling besar di Scandinavia. Namun sekitar tahun 2000, jumlah arang batu di lombong berkenaan semakin merosot, namun rata-rata bekas pekerjanya memilih untuk terus kekal tinggal di situ.

Mereka mula mewujudkan sebuah pekan kecil, dan mendapatkan pendapatan hidup menerusi pelbagai kerja di daratan termasuk daripada sumber pelancongan yang semakin menggalakkan.

Semakin berkembang pekan tersebut, maka semakin ramai orang dari luar yang ingin menyertai penempatan digelar mereka sebagai "hujung dunia" ini. 

Ramai pengunjung dari luar datang bukan sahaja kerana mahukan kehidupan sederhana, malah mereka sukakan suasana musim sejuk yang panjang dan gelap. Meskipun kelihatan muram, namun ia diliputi dengan pandangan yang indah dan menarik.

Disebabkan keadaan itu, para penduduk asal di Longyearbyen telah melaksanakan beberapa undang-undang keras. Pada pandangan orang luar mungkin tidak masuk akal, namun disebabkan keadaan cuacanya begitu ekstrem peraturan itu sebenarnya sangat perlu dikuatkuasakan.

Penduduk diharamkan mati atau melahirkan anak

Dua undang-undang keras yang dicipta oleh para penduduk asal Longyearbyen ialah, pertama manusia tidak dibenarkan mati di pulau tersebut, dan satu lagi, mereka mengharamkan manusia melahirkan anak di penempatan itu.

Sebab utama manusia tidak dibenarkan mati di situ adalah kerana, mayat mereka nanti tidak boleh ditanam di dalam timbunan salji. Ini kerana ia memakan masa lama untuk mereput, seterusnya menarik perhatian satu-satunya haiwan yang menjadi ancaman besar penduduk di situ, iaitu beruang kutub.

Justeru jika terdapat seseorang mengalami sakit tenat dan mungkin akan meninggal dunia, mereka akan menghantarnya ke bahagian selatan Norway, untuk menerima rawatan lebih baik, atau dalam situasi lebih buruk untuk mengebumikan mayatnya di sana.

Undang-undang kedua tidak membenarkan manusia melahirkan anak di situ pula, kerana penempatan itu tidak mempunyai perkhidmatan dan persediaan wanita bersalin disebabkan populasinya yang kecil. 

Bagi mengelakkan sebarang risiko semasa melahirkan anak, mereka menyarankan mana-mana wanita hamil untuk pergi ke bandar atau pekan terdekat yang mempunyai perkhidmatan perbidanan. Peraturan itu dicipta bagi mengelakkan sebarang risiko kematian.

Satu lagi peraturan pelik tapi masih masuk akal ialah, mereka tidak membenarkan kucing berada di penempatan itu. Ini kerana kucing gemar memburu burung-burung di situ, dan boleh menyebabkan kepupusannya.

Jadi mereka memilih untuk tidak mengambil risiko jika ia boleh dielakkan. Hidup di kawasan dengan cuaca begitu ekstrem, kita perlu mengelakan seberapa banyak mungkin risiko demi kelangsungan hidup.

Satu lagi perkara yang sangat menarik dan menjadi tarikan pelancong untuk datang ke Longyearbyen ialah, kewujudan "bank benih global" (Global Seeds Vault) iaitu bilik kebal bawah tanah yang menyimpan lebih 800,000 biji benih pelbagai jenis tumbuhan. 

Global Seeds Vault

Bank benih ini diwujudkan sebagai persediaan jika manusia mengalami bencana besar atau mungkin perang nuklear di masa hadapan, mereka masih boleh memulakan hidup baru dengan adanya pelbagai benih tanaman yang disimpan di situ.

Anda boleh juga membaca kisah sejarah bagaimana kumpulan saintis sanggup mati mempertahankan bank benih ini ketika perang dunia kedua.


Rujukanyoutube.com | bbc.com

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan