Polis saman Umno Putrajaya langgar SOP anjur program ayam frozen percuma

PIHAK polis dilaporkan telah mengeluarkan satu saman kepada penganjur "program ayam frozen percuma pandu lalu" yang telah diadakan tanpa mendapat kelulusan dari pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd Fadzil Ali berkata saman itu dikeluarkan di bawah Seksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998.


Menurutnya pihak polis telah menerima maklumat awal penganjuran itu, dan telah memaklumkan  penganjur bahawa tiada kelulusan diberikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya kerana daerah itu telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ayam sejuk beku itu diagihkan secara percuma berdasarkan siapa cepat dia dapat, sekaligus menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana orang ramai menyerbu lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan pihak polis mendapati penjarakan sosial sukar untuk dilaksanakan di kalangan kumpulan orang ramai dan Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak dipatuhi oleh penganjur dan orang ramai.

Katanya pihak polis tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa sahaja di dalam melaksanakan undang-undang semasa tempoh PKP.


"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi semua arahan dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk membendung penyebaran jangkitan Covid-19," katanya.

Sejak semalam, tersebar gambar-gambar kerumunan besar ketika orang ramai dilihat menuju ke sebuah loksai di Precint 9, Putrajaya untuk mendapatkan ayam sejuk beku dalam sebuah program yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Putrajaya. 

Gambar-gambar berkenaan tular di media sosial sekaligus mengundang kritikan orang ramai.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan