Remaja maut lepas berjaya selamatkan dua rakan hampir lemas dalam sungai

SEORANG remaja berusia 16 tahun dilaporkan terjun ke dalam sebuah sungai untuk menyelamatkan 2 orang rakannya. Kedua-dua rakan berjaya diselamatkan, namun tanpa disangka dia pula yang meninggal dunia.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 5.20 petang semalam, di Kampung Sungai Perupuk, Tikat, Kota Bharu Kelantan.

Jenazah Mangsa

Wan Muhammad Azamuddin Wan Aznan ditemui kaku dalam sungai berkenaan pada jam 6:38 petang selepas menyelamatkan dua mangsa yang hampir lemas ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai berkenaan.

Sebelum kejadian berkenaan, difahamkan Azamuddin bersama 3 orang rakannya bermain bola di di padang kawasan berhampiran sebelum bola tersebut terjatuh ke dalam sungai terbabit.

Salah seorang rakan masuk ke dalam sungai untuk mengambil bola itu, namun dia hampir lemas dan meminta pertolongan. Seorang lagi rakan cuba untuk menyelamatkannya, namun kejadian bertambah buruk apabila mereka berdua pula hampir lemas dalam sungai tersebut.

Menyaksikan kejadian itu, Azamuddin segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan kedua-dua rakannya itu yang berumur 10 dan 14 tahun.

Sebaik sahaja berjaya menyelamatkan kedua rakan, Azamuddin tiba-tiba dilihat lemah dan tidak berdaya sebelum tenggelam ke dasar sungai dipercayai akibat keletihan.

Jenazah mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai sedalam lebih tiga meter.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 untuk dibedah siasat.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan