Sejarah bagaimana tandas tenggelamkan kapal selam U-1206 Jerman

DALAM tahun 1945, hanya 24 hari sebelum tamat Perang Dunia Kedua, kapal selam Jerman U-1206 berlepas dari perairan Aberdeenshire, Scotland buat kali pertama melakukan pelayaran.

Ketika itu kapal selam berkenaan sedang berlayar pada kedalaman 200 kaki di bawah paras laut, apabila tiba-tiba anak kapal mendapati enjinnya berhenti daripada mengisi tenaga bateri.

Petugas kapal selam itu cuba mencari punca masalah yang berlaku terhadap enjin berkenaan. Akhirnya mereka dapati terdapat satu kebocoran menyebabkan kapal selam itu dibanjiri air laut, dan juga pelepasan gas beracun.

Kapal Selam Jerman U-1206

Apa yang mengejutkan, kebocoran itu berpunca daripada sumber yang tidak disangka-sangka iaitu tandas kapal selam berkenaan.

Sistem tandas itu telah direka mempunyai satu sistem injap bertekanan tinggi dan rumit, bagi membolehkan kapal selam berkenaan menyelam jauh ke dalam laut tanpa perlu menghampiri permukaan air untuk melepaskan sisa buangan. Tujuannya sudah pasti untuk mengelak daripada serangan musuh.

Sebelum itu, Kapten berusia 27 tahun, Karl-Adolf Schlitt baru sahaja menggunakan tandas, dan dia mengalami masalah untuk mengepam 'hasil karyanya' dengan betul. Maka dia pun memanggil seorang jurutera untuk membantu.

Malangnya, secara tidak sengaja jurutera itu telah membuka injap yang salah. Akibatnya, bukan hasil buangan yang dilepaskan ke dasar laut, sebaliknya air daripada sistem kumbahan tandas pula yang bocor masuk membanjiri kapal selam.

Air kumbahan itu telah membasahi bateri kapal selam berkenaan yang terletak betul-betul di bawah tandas tersebut. Hasil tindak balas kimia yang terjadi apabila bateri tersebut dibasahi air, menyebabkan terbebasnya gas klorin beracun. 

Justeru mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa muncul ke permukaan air 10 batu dari pantai Scotland.

Apabila kapal selam itu muncul di permukaan air, para petugas dan kru anak kapal segera menyedut udara luar masuk ke dalam ruang kapal bagi menyingkirkan gas beracun tersebut.

Namun segalanya sudah terlambat, ia telah diserang oleh sebuah kapal peronda British yang kebetulan melakukan rondaan di situ sebelum terserempak dengan kapal selam malang berkenaan.

Kapten Schlitt mengarahkan semua kru untuk meninggalkan kapal, sebelum dia menghentikan enjinnya mengakibatkan kapal selam itu terus tenggelam ke dasar laut yang lebih dalam.

Seorang tentera Jerman terkorban dalam serangan itu, tiga lagi lemas selepas meninggalkan kapal selam. Manakala baki 43 orang kru lagi telah ditangkap oleh tentera British dan dijadikan tawanan perang.

Bangkai kapal selam itu telah berjaya ditemui dalam pertengahan tahun 1970 an oleh seorang penyelam yang sedang memasang paip minyak di dasar laut berkenaan pada kedalaman 230 kaki.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan