5 ciptaan wanita mengubah dunia, tapi lelaki dapat nama

DALAM sejarah, wanita sering diketepikan, sama ada kerana tidak diberikan kesempatan, tekanan sesama wanita, atau diskriminasi seksual. Malah berulang kali, wanita-wanita membuat penemuan berharga namun tidak diberi penghargaan atas hasil usaha mereka, kerana ada lelaki mengambil kesempatan meletakkan nama sendiri.

Dalam kebanyakan kes, lelaki bukan hanya menerbitkan idea berkenaan di bawah nama mereka sendiri, malah turut memenangi hadiah dan penghargaan untuk diri mereka, mengaut untung berjuta-juta, dan menjadi ikon serta terkenal kerana penemuan yang bukan sepenuhnya milik mereka.

Seperti apa dikatakan oleh Virginia Woolf, 'orang tanpa nama' selalunya adalah wanita. Berikut saya senaraikan lima penemuan utama telah mengubah dunia, namun sebenarnya di sebalik penemuan itu adalah hasil usaha daripada wanita.

1. Struktur heliks ganda dua DNA

Ahli kimia dan kristalografer sinar-X Britain, Rosalind Franklin, adalah wanita pertama mengambil gambar X-Ray struktur DNA sebagai sebahagian daripada penyelidikannya di King's College pada tahun 1951.

Rosalind Franklin
FOTO | Rosalind Franklin

James Watson pula telah menghadiri kuliahnya di mana Rosalind ada memaparkan karya heliks berganda dan seterusnya menggunakan penemuan fotografi Rosalind tanpa izinnya untuk membuktikan teori yang diusahakan bersama Francis H.C. Crick.

Teori "heliks berganda" Watson dan Crick disahkan dan diterbitkan pada tahun 1953, hasil penemuan Rosalind Franklin. Teori itu akhirnya menjadi salah satu penemuan saintifik paling penting abad ke-20 dan membantu para saintis memudahkan pemahaman kita tentang DNA manusia.

Watson dan Crick menerima Hadiah Nobel pada tahun 1962, tidak lama setelah kematian Rosalind Franklin pada tahun 1958. Ini bermaksud dia tidak pernah mendapat penghargaan atas penemuan paling hebat di dalam hidupnya

 2. Pengaturcaraan Komputer: Ada Lovelace

Anak perempuan tunggal Tuan dan Puan Byron, bernama Ada Lovelace pada peringkat awal digalakkan mempelajari matematik oleh ibunya, kerana takut anak perempuannya itu mengikuti jejak sastera ayahnya yang disifatkan sebagai "gila, buruk, dan berbahaya".  

Ada Lovelace
FOTO | Ada Lovelace

Ketika berusia 20 tahun, dia mula bekerjasama dengan pereka cipta Charles Babbage di University of London, pemilik "Mesin Analitik" juga merupakan model awal sebuah komputer.

Hasil usaha Lovelace telah menambahkan nota-nota meluas kepada mesin itu sekaligus membolehkan ia berfungsi bukan hanya dengan nombor-nombor, tetapi juga perkataan dan simbol-simbol. Nota-nota itu dianggap sebagai versi pertama dari apa yang sekarang kita sebut sebagai algoritma dan pengaturcaraan komputer.

Walaupun sebilangan sejarawan berpendapat bahawa Lovelace tidak banyak menyumbang pada "nota-nota" berkenaan, sebaliknya memoir tulisan Babbage sendiri menunjukkan bahawa dia berhak mendapat penghargaan penuh untuk penyelesaian-penyelesaian al-gebra.

Namun pengiktirafan terhadap Lovelace hanya datang beberapa dekad kemudian, iaitu pada tahun 2011, selepas wujudnya satu inisiatif untuk membantu mempromosikan wanita dalam sains komputer dan teknologi sumber terbuka (open-source).

 3. Permainan Monopoly: Elizabeth Magie Phillips

Permainan papan yang pada asalnya diberi nama "The Landlord's Game" sebenarnya dicipta sebagai tanda protes terhadap monopoli lelaki.

Maggie, yang merupakan pembantu ahli ekonomi Henry George, telah mereka cipta permainan itu untuk menunjukkan dengan jelas sistem ekonomi merampas tanah dilakukan Henry sambil memprotes perbuatan monopoli pada masa itu.

Elizabeth Magie Phillips
FOTO | Elizabeth Magie Phillips

Magie telah memfailkan hak cipta pada tahun 1903, tetapi ketika permainan ini mulai meningkat dan semakin popular, Charles Durow, seorang jurujual alat pemanas yang menganggur ketika itu telah memohon versi hak ciptanya sendiri dengan beberapa "penambahbaikan" kecil dan melancarkan semula permainan itu sebagai "Monopoly".

Charles Durow kemudian menjual permainan itu kepada Parker Brothers dengan mengambil kredit penuh, manakala pereka permainan asal, Elizabeth Magie Phillips, hilang dalam catatan sejarah.

 4. Pembelahan Nuklear: Lise Meitner

Ahli fizik Austria-Sweden, Lise Meitner, adalah pelajar kepada Max Plank dan merupakan wanita Jerman pertama memegang jawatan profesor di Universiti Jerman, tetapi ketika Nazi berkuasa, dia terpaksa melarikan diri dari negara itu kerana berasal daripada keturunan Yahudi.

Lise Meitner
FOTO | Lise Meitner

Ketika bekerja dari lokasi barunya di Scandinavia, dia bekerjasama dengan Otto Hahn, bergabung kepakaran untuk menggariskan konsep pembelahan nuklear pada tahun 1938. Hanya dalam lima tahun, penyelidikan mereka berjaya menemui kapasiti kuasa kemusnahan bom atom

Namun hanya Hahn sahaja satu-satunya penyelidik menerima hadiah kimia pada tahun 1944 dari Royal Swedish Academy of Sciences. Tetapi akhirnya, pada tahun 1994, Meitner memperoleh penghormatan lebih eksklusif ketika dia diberi penghargaan dengan penemuan unsur - meitnerium, atau Mt dalam Jadual Berkala.

5. Sistem Kawalan Radio: Hedy Lamarr

Semasa Perang Dunia II, Hedy Lamarr memberikan contoh individu yang dipanggil sebagai 'beauty with brain' iaitu individu cantik dan bijak.

Hady Lamarr dan George Antheil berusaha mengembangkan ideanya tentang "lompatan frekuensi" bagi menghalang radio ketenteraan daripada diserang.

Hedy Lamarr
FOTO | Hedy Lamarr

Tapi Tentera Laut Amerika Syarikat enggan mempedulikan ideanya itu secara serius dan menolak permintaannya ketika dia mengajukan hak cipta, tetapi mereka kemudian mula menjalankan kajian teknologi berdasarkan idea itu, tanpa memberi penghargaan kepadanya.

Akhirnya, seorang penyelidik telah mengesan pemilik hakcipta asal dan Lamarr diberikan anugerah Elektronic Frontier Foundation tidak lama sebelum kematiannya dalam tahun 2000. Penemuan hebat itu akhirnya membawa kita kepada banyak teknologi-teknologi moden lain seperti WiFi, Bluetooth dan GPS.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan