Kisah Robert Ledru detektif yang berjaya menangkap dirinya sendiri

BEBERAPA nama seperti Sherlock Holmes, Nancy Drew, Perry Mason, dan Magnum P. I. adalah detektif watak fiksyen terkenal pada zaman ini. Namun, pernahkah anda mendengar mengenai Robert Ledru? Ledru merupakan seorang detektif, wujud dalam kehidupan sebenar pada tahun 1880-an. Dia dianggap sebagai salah seorang detektif terbaik Perancis.

Detektif bertanggung jawab

Kisah Robert Ledru bermula ketika berusia 35 tahun dan dianggap sebagai detektif paling efektif di dalam menyelesaikan kes-kes jenayah. Jika dibandingkan dengan Sherlock Holmes, Ledru telah mencipta nama di Paris sebagai orang paling banyak menangkap para pembunuh dan terkenal kerana membenci pengganas suka melanggar undang-undang.  

Kisah Robert Ledru

Dia terkenal memainkan peranan menumpaskan kultus ilmu hitam dan penangkapan anarkis-anarkis jahat. Malah pada tahun 1884, dia turut mengetuai penyiasatan membawa kepada pemenjaraan sekumpulan pemberontak politik merancang untuk menggulingkan pemerintah.

Pada tahun 1887, disebabkan oleh prestasinya menyelesaikan begitu banyak kes, pihak berkuasa di Le Havre, Perancis telah meminta Ledru membantu mereka dalam kes melibatkan kehilangan seorang pelaut.  

Setelah tiba di pelabuhan Normandia, Ledru tidur awal. Ketika terbangun, dia bingung melihat kasut dan stoking dipakainya basah. Disebabkan tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir, dia segera bangkit dan terus menuju ke balai polis Le Havre.

Sebaik sahaja tiba, dia diberitahu bahawa penyiasatan kes pelaut hilang telah diturunkan kepada keutamaan lebih rendah kerana telah berlaku pembunuhan pada malam sebelum itu.  

Pemilik kedai pakaian terkemuka, Andre Monet telah ditemui mati di tepi pantai dengan luka tembakan di bahagian dada. Tidak ada motif pembunuhan jelas, kerana semua barangan berharga masih berada pada mayat Monet, justeru pihak polis menolak rompakan sebagai motif pembunuhan itu.

Ketika Ledru tiba di tempat kejadian, perhatiannya tertarik kepada kesan tapak kaki menuju dan menjauhi mayat Monet. Di saat sedang menjalankan pemeriksaan, tingkah laku Ledru tiba-tiba berubah, seolah-olah dia sedang mengalami bermasalah.

Robert Ledru
FOTO | Kelakuan Ledru berubah sebaik sahaja melihat kesan tapak kaki di lokasi pembunuhan

"Ia (kesan tapak kaki itu) kelihatan biasa bagi saya," katanya.  "Sepertinya saya pernah melihatnya di suatu tempat sebelum ini"

Ledru kemudian mengarahkan supaya dilekatkan pelekat plaster untuk menyimpan beberapa jejak kaki paling jelas.  Selepas itu, dia duduk di pantai melihat pelekat plaster itu berjam-jam lamanya.

"Dia seperti patung," kata salah seorang anggota polis tempatan. "Sebuah patung yang tidak peduli terhadap sinar matahari panas dan ombak yang menerjah,"

Tidak lama selepas itu dia akhirnya bangun dan mengumumkan kepada pegawai atasan bahawa dia telah menyelesaikan pembunuhan itu dan tidak perlu lagi siasatan lanjut dijalankan.

 "Tidak perlu kita di sini lagi," katanya.  "Kes itu sudah selesai, saya tahu siapa identiti pembunuhnya!"

Dia kemudian berpaling, menuju kembali ke hotelnya dan menguncikan diri di dalam bilik sehingga keesokan pagi. Pada waktu itu, pegawai atasan memaklumkan kepadanya bahawa peluru menjadi punca kematian telah ditemui di pantai. Setelah peluru diserahkan kepadanya, Ledru mengeluarkan revolvernya dan membandingkan kartrij.

"Sama seperti yang saya fikirkan," katanya secara dramatik,  "Anda tidak perlu mencari lagi pembunuh anda. Dia betul-betul ada di sini. Akulah orang yang menembak Andre Monet hingga mati!"

Apa sebenarnya berlaku?

Ledru mengejutkan rakan-rakan sejawatan ketika  mengaku bahawa dialah sebenarnya pembunuh itu, walaupun dia langsung tidak ingat pernah mengambil nyawa lelaki itu.

Ledru seterusnya membuat pemerhatian bahawa pembunuh itu tidak mempunyai ibu jari kaki, berdasarkan jejak kaki yang dikutip. Pelekat plaster itu sangat sesuai dengan jejak kakinya sendiri kerana dia benar-benar kehilangan ibu jari kaki.  

Ditambah pula dengan peristiwa semalam, dia bangun tidur dengan stoking dan kasut basah, menguatkan lagi bukti itu.

Tapak kaki Ledru
FOTO | Kesan tapak kaki tidak mempunyai ibu jari, sepadan dengan kaki Ledru sendiri

Akhirnya, ketika kembali ke hotel, dia memeriksa revolvernya, yang selalu dipenuhi peluru dan menyedari bahawa ia kehilangan satu pusingan.  

Setelah membuat perbandingan dengan kartrij dijumpai di pantai, tidak ada keraguan bahawa tembakan maut itu datang dari pistol di tangannya sendiri. Dia tiada pilihan selain menaiki keretapi dan seterusnya ke Paris untuk melaporkan kejadian itu kepada pegawai atasannya.

Bagaimana ia berlaku?

Bagaimana mungkin seorang detektif polis membunuh seorang lelaki tidak bersalah di pantai pada tengah malam dan langsung tidak ingat peristiwa itu?

Walaupun Ledru yakin bahawa dia telah menarik picu pistolnya, dia tidak percaya bahawa dia sedar apa dilakukan ketika itu.  Satu-satunya penjelasan masuk akal ialah, dia pasti sedang tidur atau dalam keadaan tidak sedar ketika melakukan pembunuhan itu.  

Meskipun tidak ada orang percaya bahawa Ledru adalah pelaku pembunuhan itu, disebabkan bimbang dia mungkin akan membunuh lagi, Ledru menegaskan bahawa dia perlu ditangkap dan ditempatkan di suatu tempat, supaya tidak membahayakan sesiapa.

Oleh kerana segala bukti-bukti menunjukkan tanpa keraguan bahawa Ledru telah membunuh Monet, maka dia telah dihantar ke penjara dan terus diawasi. Namun Bosnya, masih tidak berpuas hati, dan terus mencari jawapan "Mengapa? Dan bagaimana?" Ledru melakukan pembunuhan itu.

Rakan-rakan sejawatan Ledru percaya dia mungkin mengalami kecelaruan akibat tekanan kerja yang berat, mengakibatkan dia membayangkan dirinya sebagai seorang pembunuh dan bertindak ketika tidur. Justeru mereka cuba menguji teori tersebut.

Semasa di penjara, pihak berkuasa telah memberi Ledru sepucuk revolver penuh dengan peluru-peluru kosong, dan diletakkan di bawah bantal. Suatu malam, Ledru telah bangun dari tempat tidur, mengeluarkan pistol dari bawah bantalnya, dan melepaskan tembakan ke arah penjaga. Pada ketika inilah pihak berkuasa yakin bahawa detektif polis terkenal itu adalah seorang pembunuh di dalam tidurnya.

Apa jadi selepas itu?

Apa akan anda lakukan kepada seorang detektif polis terkenal sanggup mengorbankan nyawanya berbakti untuk negara bersama rakan-rakan setugas? 

Namun dalam masa yang sama, dia juga tanpa sedar boleh membahayakan orang-orang yang perlu dilindunginya.  

Akhirnya mereka mendapat kata sepakat, bahawa penyelesaian terbaik bukanlah penjara, tetapi pengasingan. Ledru telah dihantar untuk tinggal sendirian di sebuah ladang di luar Paris sehingga akhir hayatnya pada tahun 1937. Dia diawasi oleh doktor dan anggota bersenjata.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan