Apa maksud inferens dan bagaimana ia digunakan?

ISTILAH inferens seringkali digunakan dalam kajian sejarah, sains, matematik dan lain-lain. Malah dalam kehidupan harian pun, seringkali kita membuat inferense berdasarkan pemerhatian terhadap situasi, bukti-bukti, petanda, petunjuk dan keadaan atau suasana sekeliling.

Inferens berasal daripada perkataan Inggeris 'inferense'. Namun apa sebenarnya maksud inferens, dan bagaimana kita menghasilkan inferens dalam kehidupan harian mahupun di lapangan tugas tidak kira apa pun latar belakang kita?

Maksud inferens dari segi istilah.

Dari segi istilah atau bahasa, inferens bermaksud kesimpulan awal, atau membuat kesimpulan awal. Dalam istilah lebih lengkap, inferens bermaksud, "Menggunakan pemerhatian dan latar belakang untuk mencapai satu kesimpulan yang logik, rasional dan masuk akal atau munasabah,"

Membuat Inferense

Contoh-contoh inferens.

Bayangkan pada suatu hari anda pulang ke rumah pada waktu malam. Sampai sahaja di rumah anda lihat keadaan gelap, semua lampu tidak dibuka maka anda membuat kesimpulan di sini bahawa semua ahli keluarga masih berada di luar, dan ada merupakan orang pertama sampai di rumah pada hari itu.

Apabila anda menghampiri pintu, ada sebuah kotak terletak betul-betul di laluan pintu masuk. Di atas kotak itu tertulis alamat rumah anda, dan nama ibu anda. Berdasarkan pemerhatian itu, anda pun membuat kesimpulan bahawa, barang itu adalah kepunyaan ibu anda, dan tentu sekali ketika posmen menghantar barang, tidak ada orang di rumah.

Seterusnya apabila masuk ke dalam rumah, anda lihat beg galas dan beberapa helai baju milik saudara anda yang datang melawat 3 hari lalu, tergantung di ruang tamu. Dari pemerhatian ini anda pun membuat kesimpulan bahawa, tentu sekali saudara anda itu belum pulang ke rumahnya, dan pasti dia akan kembali lagi ke rumah anda suatu ketika nanti.

Ketika anda ingin memasuki bilik, tiba-tiba kucing kesayangan anda bernama 'Tompok' datang menggesel-gesel kepalanya sambil 'mengiow' dan apabila anda menoleh kepada bekas makanannya, tiada baki makanan yang tinggal. Maka anda pun buat kesimpulan bahawa tentu si Tompok 'mengiow' kerana perutnya lapar.

Jika anda lihat pada perkataan-perkataan yang dihitamkan di atas, itulah contoh bagaimana anda membuat kesimpulan awal berdasarkan pemerhatian terhadap tanda-tanda, bukti dan keadaan sekeliling. Atau dalam bahasa lebih ringkas anda telah menghasilkan inferens.

Dalam bidang sains, para pendidik juga melakukan inferens sebelum memulakan sebuah penyelidikan. Contohnya seorang ahli biologi akan mengambil bacaan pH dan suhu sebuah kolam ketika menyiasat punca kematian beribu-ribu ikan keli dalam kolam tersebut.

Seorang doktor pula akan mengambil bacaan darah dan melihat simptom-simptom pada seorang pesakit, untuk membuat kesimpulan awal di dalam usaha mengenal pasti apakah penyakit yang dihidapi.

Seorang pegawai penyiasat atau detektif akan memeriksa sama ada barangan berharga milik seorang mangsa bunuh masih ada pada badannya atau tidak bagi membuat kesimpulan awal atau inferense tentang motif suatu kes pembunuhan.

Kepentingan inferens dalam kajian dan penyelidikan

Sebelum anda ingin melakukan kajian, atau eksperimen, anda perlu membuat inferens terlebih dahulu kerana ia akan menjadi pedoman untuk penyelidikan lanjut, apa tindakan seterusnya dan juga memudahkan anda mengenal pasti jika berlaku kesilapan.

Mari kita gunakan contoh dalam kehidupan harian supaya lebih mudah difahami. Katalah satu hari dompet anda hilang selepas pulang dari sekolah. Maka anda perlu melakukan carian untuk mendapatkan kembali dompet berkenaan.

Inferens pertama yang boleh anda buat adalah, berdasarkan bila kali terakhir dompet itu masih ada dalam saku anda. Kemudian, ke mana anda pergi selepas itu, dan di sini anda boleh membuat inferens bahawa dompet anda pasti hilang selepas kali terakhir anda sedar ia masih ada, dan kalau tercicir tentu di kawasan yang anda pernah lawati, di kantin sekolah? Bilik guru? Tandas? Serta sepanjang perjalanan pulang ke rumah.

Maka selepas melakukan inferens, anda tahu di manakah lokasi sepatutnya anda cari dompet berkenaan. Anda tidak mungkin akan mencari dompet itu di Amerika Syarikat kerana anda tak pernah ke sana. Anda juga tak perlu mencari dompet di masjid atau di kedai Pak Abu, kerana sudah seminggu anda tidak pergi ke sana.

Lihat, inferens boleh membimbing anda melakukan tindakan seterusnya dan melakukan pencarian yang betul, sekaligus menghalang anda daripada membuang masa dan tenaga mencari di tempat yang tidak sepatutnya.

Dari sini kita dapat lihat inferens juga mengecilkan skop carian atau penyiasatan. Namun sekiranya pemcarian dalam skop berdasarkan inferens pertama tadi tidak berhasil, maka anda perlu membuat inferens-inferens baru yang sesuai.

Contohnya anda mungkin boleh mengingat kembali ketika di sekolah ada tak anda berjumpa dengan Arif, yang terkenal dengan perangainya suka sembunyikan barang kawan-kawan. 

Jika ada, maka anda boleh hubungi dia dan bertanya tentang dompet anda selepas membuat inferens bahawa dompet anda mengkin disembunyikan oleh Arif, dan kemudiannya dia terlupa untuk memulangkan kembali.

Inferens boleh berubah-ubah dan disesuaikan mengikut situasi, lebih-lebih lagi apabila ada maklumat baru diperolehi.

Rasanya cukup sampai di sini sahaja perbincangan tentang istilah kali ini. Jika anda ada apa-apa persoalan boleh tuliskan komen di bawah.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan