Kejatuhan Empayar Rom kerana lelaki ini (Flavius Odoacer)

KEJATUHAN empayar Rom merupakan peristiwa paling banyak dibincangkan dalam sejarah. Tarikh kejatuhannya diketahui ramai iaitu pada tahun 476, namun punca kejatuhan itu menimbulkan perdebatan yang tiada kesudahan sampai ke hari ini. 

Meskipun peristiwa itu mendapat perhatian ramai sejak berabad-abad lamanya, namun tidak ramai mengenali lelaki yang telah secara rasminya menjatuhkan Tamadun Rom.

Di sebalik benteng terakhir Empayar Rom Barat, muncul seorang lelaki bakal menjadi raja pertama Itali. Dia berasal dari Jerman, namun berjaya mendaki kedudukan dan pangkat dalam angkatan perajurit Rom sebelum berada di puncak susulan pergelutan empayar itu untuk meneruskan kelangsungannya.

Lelaki yang dimaksudkan bernama Flavius Odoacer, dan legasinya seringkali dilupakan kerana tumpuan ramai lebih diberikan kepada kisah kejatuhan empayar itu sendiri.

Tiga maharaja, seorang komender dan seorang raja

Pada tahun 475, Empayar Rom sudah menunjukkan tanda-tanda ia tidak mampu lagi bertahan. Ketika itu terdapat dua orang maharaja yang memerintah, seorang di ibu kota Rom manakala seorang lagi di Konstantinopel.

Maharaja Roman Timur, Leo l telah melantik Julius Nepos untuk menjadi maharaja Empayar Roman Barat pada tahun 474. Ketika itu Rom hanyalah tinggal bayang-bayang kegemilangan lalu. Tentera roman yang satu ketika pernah mendominasi dunia, sudah mengecil dan berpecah-belah.

Ketika itu berlaku pencerobohan berterusan oleh orang-orang dari utara masuk ke dalam wilayah Itali, manakala Empayar Roman Timur pula begitu sibuk menyelesaikan masalah luaran mereka sendiri.

Nepos diarahkan untuk mempertahankan sempadan wilayah, dan demi untuk mengikut arahan tersebut dia telah mengambil keputusan yang akan membawa kepada kejatuhan Rom.

Pada tahun 475, Maharaja Nepos telah melantik seorang lelaki bernama Orestes sebagai ketua angkatan tenteranya. Lantikan itu telah menggemparkan para senator dan bangsawan Roman. Ini kerana, Orestes begitu dikenali kerana pernah berperang dan berkhidmat kepada musuh Rom, iaitu Raja Atilla.

Orestes merupakan seorang pemimpin berpengalaman yang disayangi oleh askar-askarnya, namun dianggap tidak setia kepada sesiapa melainkan dirinya sendiri. Justeru dia dianggap tidak lebih sebagai seorang tentera upahan dan tidak layak untuk memimpin saki-baki tentera Roman.

Kebimbangan para senator Roman ternyata berasas apabila sejurus sahaja menerima lantikan sebagai ketua angkatan tentera Roman, Orestes telah menggerakkan askar-askarnya yang setia menentang Maharaja Nepos pada tahun 475.

Menyaksikan keadaan negaranya berpecah dua, Odoacer yang ketika itu merupakan seorang jeneral Rom, dan mempunyai askarnya sendiri telah memberikan sokongan kepada Orestes. 

Odoacer percaya Orestes hanyalah seorang askar upahan, dan tentu sekali lebih mudah memberikan dia dan askar-askarnya tanah dan harta kekayaan sebagai balasan menyokong rampasan kuasa itu.

Gabungan askar-askar Roman itu begitu mudah menghalau Maharaja Nepos, bagi membolehkan Orestes berkuasa. Tahta Nepos hanya mampu bertahan tidak sampai dua tahun. 

Selepas berjaya menggulingkan Nepos dan keadaan tentera Roman bersatu di bawah kawalan Orestes, dia mengambil kesempatan mengisytiharkan anak lelakinya yang masih remaja, Romulus Augustulus sebagai maharaja  Rom yang baru. 

Kini sudah ada tiga maharaja Rom, dan tidak lama selepas itu akan muncul seorang raja pula. Romulus Augustulus nantinya akan tercatat di dalam sejarah sebagai Maharaja Roman yang terakhir.

Permintaan Odoacer

Sebaik sahaja maharaja baru ditabalkan, Odoacer telah meminta tanah dan penghormatan sebagai balasan bantuannya sebelum ini ketika menggulingkan Maharaja Nepos. Odoacer meminta supaya wilayah di bahagian utara ketiga Itali diserahkan untuk dia dan orang-orangnya. Malangnya, Orestes telah menolak permintaan itu.

Sebagai tindak balas, Odoacer telah menggerakkan askar-askarnya untuk bangkit melawan Orestes dan cuba merampas wilayah berkenaan secara paksa. Ramai askar-askar itu membantu Orestes menggulingkan Maharaja Nepos bersama Odoacer  sebelum ini kerana dijanjikan tanah dan wang.

Ketika itu askar-askar Roman menerima bayaran lebih sedikit berbanding hutang mereka kepada kerajaan, dan kebanyakan ketua pasukan dipimpin oleh prajurit upahan dan pemimpin yang hanya tahu menabur janji-janji manis kepada askar-askar bawahan.

Kali ini giliran askar-askar itu pula menyerang dan menghalau Orestes, dan dia terpaksa lari menyelamatkan diri. Kini Odoacer pula mengawal dan menguasai barisan tentera pemberontak.

Kejatuhan Empayar Rom

Dalam tahun 476, Odoacer telah mengejar Orestes dan anak lelakinya Maharaja Augustulus, dan siri serangan demi serangan, menyaksikan Orestes terpaksa berundur dan mengubah strategi angkatan tenteranya berulang kali. Akhirnya pada bulan Ogos 476, Odoacer berjaya mengepung Orestes di Piancenza. Kali ini Orestes tidak dapat melarikan diri, Odoacer telah menangkap dan membunuhnya.

Selepas kematian Orestes, Flavius Odoacer telah mengistiharkan dirinya bukan sebagai maharaja Rom seperti dijangka, namun sebagai Raja Italy. Ketika itu Odoacer tidak mempunyai niat untuk bersatu semula dengan Empayar Rom, kerana dia hanya mahukan wilayah yang dituntut dari Orestes sebelum ini untuk diperintah bersama orang-orangnya.

Odoacer merupakan individu pertama mengistiharkan dirinya sebagai raja Itali, dan dalam masa yang sama dia juga orang yang mencampakkan gelaran Maharaja Rom ke dalam longkang. 

Selepas pengisytiharan dirinya sebagai raja, Odoacer bersama askar-askarnya telah menyerang dan mengalahkan saki-baki Tentera Roman yang masih setia dengan Empayar Rom. Perang kali terakhir menentang Rom berlangsung di Ravenna pada 2 September 476.

Pada 4 September 476, Raja Odoacer telah menggulingkan Romulus Augustulus sebagai Maharaja Rom terakhir. Dia enggan membunuh remaja itu, sebaliknya menghalau Romulus menjadi buangan, dan sejak dari saat itu dia terus menghilangkan diri tidak tahu entah ke mana.

Romulus Agustus dibuang negara
FOTO | Romulus Augustus dibuang negara

Saki baki ahli politik dan pemimpin Rom telah menulis surat kepada Empayar Rom Timur, menggesa supaya tidak cuba membangunkan semula Empayar Rom Barat, kerana mereka boleh hidup sempurna di bawah kepimpinan seorang raja berbanding Maharaja Rom.

Surat itu menjadi titik sejarah kejatuhan sebenar saki baki terakhir di Empayar Rom Barat. Manakala Empayar Rom Timur juga selepas itu dikenali sebagai Empayar Byzantine.

Legasi dan pemerintahan Odoacer

Meskipun menjadi individu yang secara rasmi menggulingkan maharaja Rom, lelaki pertama menjadi raja Itali, dan orang yang mempengaruhi senator dan bangsawan Rom untuk menulis surat meninggalkan Empayar Rom, nama Odoacer jarang sekali disebut dalam perbincangan tentang kejatuhan Empayar Rom Barat.

Odoacer telah memerintah mengikut gaya Rom, selama hampir 20 tahun selepas menduduki tahta raja. Di timur pula, Maharaja Byzantine, Zeno percaya bahawa Odoacer masih kekal setia kepada Empayar Rom. Namun ilusi itu berubah pada tahun 480 apabila maharaja dalam buangan, Nepos telah dibunuh dan Odoacer mula memperluaskan wilayahnya, dan mengisytiharkan kerajaan baru Itali.

Syiling Zaman Pemerintahan Odoacer
FOTO | Syiling dikeluarkan zaman pemerintahan Raja Flavius Odoacer di Italy

Odoacer berjaya mempertahan dan menstabilkan semenanjung Itali saat berlaku kejadian huru-hara ketika pemerintahannya. Kerajaannya juga terus kukuh selepas dia memutuskan hubungan secara total dengan Empayar Rom Timur.

Namun selepas menikmati kejayaan pada peringkat awal pemerintahan, sama seperti pemerintah Rom sebelumnya, Odoacer telah dikepung oleh pencerobohan orang-orang Ostrogoth. Ironinya, serangan itu telah memaksanya melarikan diri ke Ravenna, tempat yang sama ketika dia menang pertempuran untuk menjadi Raja Itali sebelum itu.

Pada tahun 493, Odoacer telah dibunuh oleh Theodoric, seorang lelaki yang kemudiannya dikenali sebagai "Theodoric Hebat dari Ostrogoth," dan tindakannya untuk menjadi raja Itali juga hampir dilupakan sama sekali. Begitulah roda kehidupan berputar.


Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan