Bajau Laut mampu menyelam selama 13 minit di dalam laut

ADA suku kaum bernama Bajau Laut yang tinggal di Negeri Sabah, Malaysia. Mereka memilih untuk menetap di atas air, dan hidup secara nomad, iaitu berpindah randah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Apa yang menarik tentang kaum Bajau Laut ini, mereka merupakan perenang dan penyelam yang handal. Mungkin kaum penyelam paling handal di dunia. Mana tidaknya, kaum Bajau Laut dilaporkan mampu menyelam di dalam air laut selama 13 minit.

Kebanyakkan orang mampu menahan nafas di dalam air selama beberapa saat, segelintir pula mampu bertahan selama beberapa minit. Namun kaum Bajau Laut mampu menyelam dengan bebas di dalam air, mereka boleh bertahan dalam laut sehingga 13 minit pada kedalaman sekitar 200 kaki.

Bajau Laut
FOTO | Pemuda Bajau Laut mampu menyelam begitu lama di dasar laut

Kaum nomad Bajau Laut ini juga ramai di perairan Filipina dan Indonesia. Mereka meneruskan kehidupan dengan memburu ikan di dalam laut, selain turut mencari bahan semulajadi yang boleh dijadikan kraftangan.

Berdasarkan penelitian sains, suasana hidup mereka dikelilingi air dan kebiasaan mencari rezeki dengan cara menyelam di dalam air telah membuatkan diri mereka teradaptasi dengan persekitaran (fenotip).

Bajau laut mempunyai saiz limpa lebih besar

Apabila seseorang manusia menyelam di dalam air, dalam masa beberapa saat tubuh badan secara refleks akan mula beradaptasi. Kadar degupan jantung menjadi perlahan, salur-salur darah di bahagian hujung organ badan mengecil, mengalihkan aliran darah lebih tertumpu kepada organ-organ penting. 

Paling penting, limpa juga akan menyempit, sekaligus menolak sel-sel darah merah mengandungi oksigen berharga ke dalam aliran darah. Fenomena ini membolehkan kita berada di dalam air lebih lama tanpa perlu menghirup udara seperti dalam keadaan biasa ketika berada di daratan.

Kajian mendapati, sebahagian orang laut telah beradaptasi selepas ribuan tahun mencapai had maksimum menyelam di dasar laut dengan lebih lama. Mereka telah mengalami perubahan genetik di mana mempunyai saiz limpa lebih besar, sekaligus meningkatkan kebolehan mereka untuk menahan nafas lebih lama.

Saiz limpa yang besar membolehkan lebih banyak sel darah merah beroksigen disimpan untuk ditolak ke dalam aliran darah ketika seorang individu menahan nafas di dalam air. Maka saiz limpa lebih besar membolehkan mereka berada di dalam air lebih lama.

Penyelidik telah menggunakan sejenis mesin ultrasound portable, dibawa ke kampung Bajau Laut untuk mengukur saiz limpa 43 orang kaum Bajau laut. Saiz limpa itu dibandingkan dengan 33 orang individu dari kaum bernama Saluan yang hidup di daratan dan mencari rezeki menerusi pertanian.

Hasil kajian mendapati kaum Bajau Laut mempunyai saiz limpa yang jauh lebih besar berbanding kaum Saluan yang tidak menyelam. 

"Kami dapati limpa Bajau 50 peratus lebih besar saiznya," kata Rasmus Nielsen, seorang ahli biologi komputer dari University of California, Berkeley. Namun tambahnya, di kalangan penyelam kaum Bajau sendiri, saiz limpa mereka hanya sekitar 10 peratus lebih besar berbanding yang lain (Bajau yang kurang menyelam).

Keputusan itu mungkin menunjukkan bahawa, saiz limpa yang besar di kalangan kaum Bajau bukanlah hasil latihan menyelam dijalani mereka, sebaliknya ia mungkin faktor genetik yang diwarisi.

Degupan jantung kaum Bajau Laut lebih perlahan ketika menyelam

Kajian telah dijalankan terhadap kaum dikenali sebagai "nomad laut" tinggal di sekitar kepulauan dan pantai Asia Tenggara. Secara tradisional mereka tinggal di dalam rumah-rumah perahu, dan hanya sekali-sekala singgah di daratan kata Melissa Ilardo penyelidik dari University of Utah.

"Mereka mempunyai reputasi sebagai penyelam yang dahsyat, disebabkan hubungan rapat dengan laut. Saya telah pergi menyelam dengan mereka, dan dapati kebolehan mereka seperti tak masuk akal," katanya.

Kru penggambaran dokumentari BBC berjudul Human Planet sebelum ini telah merekodkan seorang lelaki Bajau yang berenang di dasar laut. Degupan jantungnya ketika itu dicatatkan hanya berdegup sebanyak 30 kali seminit. 

Tindakan refleks kebanyakan manusia biasa ketika menyelam menyebabkan degupan jantung menurun sekitar 50 degupan seminit. 

"Mereka dilihat menyelam sedalam lebih 70 meter hanya dengan membawa tali pinggang pemberat dan memakai Google," kata Ilardo.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan