Kebaikan teh hijau untuk melawan kanser

SATU kajian terbaru dijalankan oleh para penyelidik di Rensselaer Polytechnic Institute terhadap teh hijau (green tea) dijangka akan membuka laluan baru berhubung kaedah melawan kanser secara semulajadi menggunakan sejenis protein dipanggil p53.

Hasil kajian itu yang diterbitkan dalam Nature Communications, menunjukkan bahawa terdapat sejenis molekul antioksidan ditemui dalam teh hijau dikenali sebagai epigallocatechin gallate (EDCG) yang berinteraksi secara terus untuk meningkatkan jumlah p53, sejenis protein penting yang tidak berfungsi dalam kanser.

teh hijau
FOTO | Teh hijau (Green Tea) minuman yang popular di seluruh dunia

"Kedua-dua molekul p53 dan EGCG sangat menarik. Mutasi dalam p53 ditemui dalam hampir 50 peratus kanser manusia, sementara EGCG merupakan antioksidan utama dalam teh hijau, sejenis minuman popular di seluruh dunia," kata Profesor Chunyu Wang dalam satu kenyataan.

"Sekarang kami menemui sesuatu yang tidak diketahui sebelum ini, interaksi secara terus di antara kedua-duanya, yang membuka laluan baru membangunkan ubatan anti-kanser."

"Kajian kami membantu menjelaskan bagaimana EGCG mampu menggalakkan aktiviti anti-kanser oleh p53, seterusnya membuka pintu kepada pembangunan ubatan dengan sebatian seperti EGCG," katanya.

Protein p53 mempunyai ciri anti kanser kerana protein itu bentuknya sangat fleksibel pada hujung terminal-N, ia boleh melakukan pelbagai fungsi berbeza di dalam sel. Ia memudahkan proses baik pulih DNA dan memulakan proses penghapusan apabila DNA tidak dapat dibaik pulih, sejenis proses yang dipanggil sebagai apoptosis.

Protein itu juga akan menyekat perkembangan sel apabila berlaku kesilapan, iaitu keadaan di mana semua fungsi sel-sel menyimpang dalam kanser disebabkan oleh mutasi atau perubahan dalam aktiviti p53 dalam sel.

Biasanya p53 wujud dalam jumlah sedikit di dalam sel. Keadaan itu disebabkan oleh satu kitaran semulajadi penghasilan dan penguraian protein itu. 

Apabila terminal-N protein p53 berinteraksi dengan sejenis molekul dipanggil MDM2, p53 akan terurai secara mendadak. Ini menyebabkan jumlah p53 secara relatifnya begitu rendah di dalam sel, namun cukup untuk melaksanakan fungsinya dalam keadaan normal.

Namun di dalam sel kanser, kehadirannya adalah berlebihan, dan jika lebih banyak protein p53 hadir ketika itu, lebih banyak boleh dilakukan untuk melawan kanser dari peringkat molekul lagi.

Kini penemuan baru menunjukkan bahawa molekul-molekul EGCG yang begitu banyak terdapat dalam teh hijau boleh mencegah kemerosotan p53, dengan cara berinteraksi pada bahagian terminal-N protein tersebut.

"Kedua-dua EGCG dan MDM2 melekat di titik yang sama pada p53, iaitu pada domain terminal-N, maka EGCG akan bersaing dengan MDM2," kata Chunyu Wang.

"Apabila EGCG melekat dengan p53, protein itu tidak akan dileraikan menerusi MDM2, maka paras p53 akan meningkat dengan interaksi langsung bersama EGCG, dan itu bermakna terdapat lebih banyak p53 untuk menjalankan fungsi anti kanser. Ini merupakan interaksi yang sangat penting,"

Hasil penemuan itu telah membentuk satu pemahaman penting tentang interaksi molekul p53 dan antioksidan, serta bagaimana terminal-N protein itu mungkin boleh digunakan sebagai terapi sasaran di dalam melawan kanser.

"Dengan membangunkan pemahaman mekanisma peringkat molekul yang mengawal interaksi penting biokimia berkait dengan penyakit serius seperti kanser dan Alzheimer, kajian dilakukan oleh Chunyu memberikan asas kepada kejayaan terapi-terapi baru," kata Curt Breneman, dekan Fakulti Sains Rensselaer.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan