Mustafa Kemal Ataturk pengasas kerajaan sekular Turki

MUSTAFA Kemal Ataturk merupakan seorang pegawai tentera Kerajaan Uthmaniyyah, ahli politik, penulis, dan pengasas kepada Republik Turki bermula pada 29 Oktober 1923.

Sebelum kita meneliti kisah hidup Mustafa Kemal Ataturk serta bagaimana dia mengasaskan kerajaan sekular di Turki, kita perlu terlebih dahulu memahami keadaan Empayar Uthmaniyyah dalam abad ke-19 dan ke-20.

Mustafa Kemal Ataturk
FOTO | Mustafa Kemal Ataturk

Empayar Uthmaniyah digelar 'The Sick Man of Europe'

Ketika abad ke-19, kepelbagaian etnik dalam wilayahnya, ditambah dengan munculnya semangat nasionalis dan perkauman dari pelbagai kumpulan dan puak telah menyebabkan Empayar Uthmaniyyah semakin berpecah, ibarat pepatah "retak menanti belah,"

Pemberontakan demi pemberontakan, juga tercetusnya perang menentang Rusia, Greek, dan Parsi terus-terusan semakin melemahkan Empayar Uthmaniyah, sehingga mendapat jolokan 'The Sick Man of Erope' (lelaki Eropah yang sakit).

Greece secara rasmi telah bebas dari taklukan Uthmaniyah seterusnya mencapai kemerdekaan pada tahun 1832, dan dalam tahun 1840 Kerajaan Uthmaniyyah juga telah kehilangan Syria diikuti oleh Mesir pada tahun 1867. Titik penting kemerosotan wilayah jajahan Kerajaan Uthmaniyah di Eropah terjadi antara tahun 1875–1878 dan 1912–1913. 

Antara contoh paling penting, pada tahun 1878 selepas tercetusnya perang antara Rusia dan Turki, wilayah-wilayah seperti Crete, Serbia, Montenegro, Cyprus dan Romania telah mendapat kuasa autonomi.

Selepas menerima kuasa autonomi sebelum itu, Bulgaria dengan sendirinya mengisytiharkan kemerdekaan penuh dalam tahun 1908. Perang Balkan pertama dan kedua (1912–1913) mengakibatkan Empayar Uthmaniah kehilangan hampir semua wilayahnya di Eropah, seperti Albania, Kosovo, Thrace, dan Mecedonia.

Kemerosotan wilayah ini membawa kepada penghijrahan besar-besaran populasi dari Eropah ke Anatolia. Antara lain disebabkan semangat nasionalis Turki begitu membara bagaikan api  marak membakar di Anatolia.

Krisis dan kesengsaraan dialami oleh Kerajaan Uthmaniyah diburukkan lagi dengan Zaman Kemelesetan (Great Depression), apabila berlakunya krisis pertanian global, situasi ketika itu dirumitkan lagi dengan kebangkitan anak-anak muda Turki. Gerakan itu terdiri daripada sekumpulan para pegawai kanan yang menentang Sultan Uthmaniyah ke-34, Sultan Abdulhamit ll (1842–1918).

Sultan Abdulhamit ll mengisytiharkan sendiri dirinya sebagai khalifah, dan telah melumpuhkan perlembagaan pada tahun 1876 sebelum mengisytiharkan jihad terhadap dunia barat. Pada tahun 1908, anak muda turki berjaya melakukan satu rampasan kuasa.

Permintaan mereka hanya satu — sebuah negara sekular, berorientasikan demokrasi ala barat. Ketika itu Mustafa Kemal Ataturk bersama pengasas Republik Turki, Enver, mendalangi sebahagian gerakan anak muda Turki itu. Kedua-dua pemimpin ini terlibat dalam rampasan kuasa tahun 1908.

Kehidupan awal Mustafa Kemal Ataturk

Mustafa Kemal Ataturk dilahirkan pada 19 Mei 1881, dalam sebuah keluarga muslim berbangsa Turki di Thessaloniki, Greece ketika itu masih dalam wilayah Kerajaan Uthmaniyah. Dia diberi nama Mustafa dan mempunyai beberapa orang adik-beradik yang kesemuanya telah meninggal dunia semasa kecil, kecuali kakaknya.

Bapanya Ali Riza pernah menjadi seorang lieutenant dalam unit militia bersenjata tempatan semasa perang Turki menentang Rusia 1877–1878. Ibunya Zubeyde Hanim pula datang dari keluarga petani di Selatan Salonika. Ali Riza meninggal dunia ketika Mustafa berusia 7 tahun.

Namun Ali Riza meninggalkan pengaruh yang besar kepada perkembangan hidup Mustafa. Ketika kelahiran Mustafa, Ali Riza telah menggantung pedangnya pada buaian Mustafa, berharap anaknya itu akan menyertai angkatan bersenjata.

Ali Riza juga sempat melihat pendidikan awal anaknya menerusi sekolah sekular, bukannya sekolah agama seperti yang disukai oleh ibunya Zubeyde Hanim.

Selepas kematian Ali Riza, Zubeyda Hanim telah berpindah ke ladang saudara tirinya di luar Salonika. Bimbang anaknya tidak mendapat pendidikan, Hanim menghantar Mustafa kembali ke Salonika, dan didaftarkan di sebuah sekolah jenis sekular.

Ketika remaja, Mustafa tertarik dengan pakaian seragam dipakai oleh kadet tentera di sekitar kejiranannya. Dia berazam untuk berkhidmat dalam bidang ketenteraan. Melanggar kemahuan ibunya, Mustafa telah mengambil peperiksaan untuk memasuki sekolah menengah tentera.

Mustafa telah menyertai latihan kadet dalam tahun 1899 untuk menyertai angkatan tentera Uthmaniyah. Di situlah dia mendapat gelaran 'Kemal' dalam bahasa Arab bermaksud "sempurna" dan mula dikenali sebagai Mustafa Kemal.

Dalam tahun 1895 Mustafa telah melanjutkan pelajaran ke sekolah tentera di Monastir (kini dikenali sebagai Bitola, di Utara Macedonia). Di situ Mustafa telah mendapat beberapa orang kawan, termasuk Ali Fethi (Okyar), yang nantinya akan mengikutinya menubuh dan membangunkan Republik Turki.

Selepas menamatkan persekolahan di Monastir, Mustafa Kemal telah menyertai Kolej Perang di Istanbul pada bulan Mac 1899. Di kolej berkenaan, Mustafa Kemal mula mendapat pendedahan tentang perbezaan ideologi politik ke arah mengkritik kepincangan pentadbiran Sultan Abdulhamit ll.

Mustafa Kemal ketika itu kerap bersendiri sehingga tahun ketiga pengajian, di mana dia mula terlibat dengan penerbitan akhbar secara sulit. Aktiviti itu telah terbongkar namun dia masih dibenar untuk menamatkan pengajian.

Mustafa tamat pengajian sebagai seorang lieutenant kedua pada tahun 1902, dan tersenarai sebagai 10 orang teratas di kalangan pelajar kelasnya seramai 450 pelajar. 

Dia seterusnya menyertai General Staff College dan menamatkan pengajian sebagai seorang kapten, dengan pencapaian tempat kelima daripada 57 orang pelajar. Ketika itu, Mustafa Kemal merupakan salah seorang di antara pegawai muda utama Empayar Uthmaniyah.

Kerjaya Ketenteraan

Kerjaya Mustafa Kemal hampir terkubur selepas graduasi apabila dia dan beberapa orang rakan didapati bertemu untuk berbincang dan mengkritik tentang dasar politik kerajaan.

Rakan-rakannya telah dipisahkan untuk bertugas di kawasan-kawasan pedalaman. Mustafa Kemal dan Ali Faut telah diserap ke dalam angkatan bersenjata kelima di Damsyik. Ketika itu Mustafa Kemal tidak berpuas hati dengan cara para pegawai korup melayan penduduk tempatan.

Selepas itu dia sekali lagi menyertai kegiatan anti kerajaan di mana dia membantu mengasaskan pertubuhan rahsia yang dikenali sebagai Pertubuhan Tanahair dan Kebebasan.

Pada tahun 1907 Mustafa Kemal telah menyertai sebuah kumpulan anti kerajaan yang dominan dikenali sebagai Commitee of Union and Progress (CUP), berkait dengan golongan nasionalis dan reformis gerakan Turki Muda.

Dari tahun 1923 hingga 1925, Mustafa Kemal berkahwin dan tinggal bersama isterinya Latife Ussaki. Mereka tidak dikurniakan anak, namun selepas perkahwinan Mustafa Kemal telah mengambil tujuh orang anak angkat perempuan dan seorang lelaki.

Anak perempuannya bernama Sabiha Gokcen nantinya bakal menjadi juruterbang wanita Turki pertama dan juruterbang pesawat pejuang wanita pertama dunia.

Rampasan kuasa dan peperangan

Dalam tahun 1908, Mustafa Kemal telah terlibat dalam rampasan kuasa bersama Turki Muda. Satu pemberontakan telah tercetus di Macedonia di mana sultan dipaksa untuk mengembalikan perlembagaan 1876, yang menghadkan kuasanya.

Wira "revolusi Turki Muda" ketika itu ialah Enver Pasa, yang kemudiannya nanti akan menjadi musuh ketat Mustafa.

Dalam tahun 1909, dua ideologi dalam gerakan revolusi itu muncul. Satu kumpulan mahukan desentralisasi, kerjasama dan keharmonian di antara orang Islam dan bukan Islam. Manakala satu kumpulan lagi, diketuai oleh CUP menyokong pemusatan dan kawalan kuasa oleh orang Turki.

Satu pemberontakan diterajui oleh tentera telah tercetus pada malam 12–13 April, 1909. Revolusi yang mengembalikan perlembagaan pada tahun 1908 berada dalam bahaya. Ketika itu, para pegawai dan tentera bersenjata dari Salonika yang diketuai oleh Enver telah berarak ke Istanbul. Mereka tiba di ibu kota Istanbul pada 23 April, dan keesokan harinya mereka berjaya mengawal situasi.

CUP mengambil alih pentadbiran dan berjaya menggulingkan Sultan Abdulhamid II sebelum digantikan oleh adiknya Mehmet V, yang hampir tidak mempunyai kuasa langsung.

Kedudukan Enver jadi semakin kukuh, ketika itu Mustafa Kemal merasakan bahawa pihak tentera perlu dihalang daripada masuk campur urusan politik. Dia menyeru para pegawai tentera yang ingin menceburkan diri dalam bidang politik supaya meletak jawatan.

Tindakan itu nampaknya meningkatkan lagi permusuhan Mustafa Kemal dengan Enver dan para pemimpin CPU yang lain. Justeru Mustafa ketika itu mengalihkan tumpuannya daripada politik kepada urusan ketenteraan.

Dia telah menterjemah panduan latihan tentera darat Jerman ke dalam bahasa Turki. Dengan jawatannya sebagai salah seorang kakitangan tentera, Mustafa telah mengkritik kerajaan berhubung latihan ketenteraan.

Ketika itu dia mula membina hubungan dengan ramai para pegawai muda yang sedang meningkat naik. Perasaan saling menghormati muncul di antara Mustafa Kemal dengan para pegawai ini, yang nantinya bakal memberikan sokongan penuh kepada penubuhan negara Turki.

Pemimpin CUP sebaliknya mula meluat dengannya, dan dia telah dipindahkan jawatan menjadi ketua komander sebelum ditugaskan untuk memerhatikan pergerakan askar Perancis, di Picardy.

Meskipun seringkali dinafikan kenaikan pangkat, Mustafa tidak pernah berputus asa. Pada lewat tahun 1911 Italy telah menyerang Libya, seterusnya sebuah daerah dalam wilayah Uthmaniyah.

Mustafa Kemal telah turun ke medan perang untuk bertempur. Namun dia terpaksa meninggalkan barisan hadapan tidak lama kemudian untuk mendapatkan rawatan di Vienna, selepas menghidap malaria, dan mengalami masalah di bahagian matanya.

Dalam bulan Oktober 1912, ketika Mustafa Kamal berada di Vienna, Perang Balkan pertama telah tercetus. Dia telah ditugaskan untuk mempertahankan Semenanjung Gallipoli, sebuah wilayah strategik yang sangat penting kepada Dardanelles (Selat Gallipoli).

Dalam masa 2 bulan, Empayar Uthmaniyah telah kehilangan hampir semua wilayahnya di Eropah. termasuk Monastir dan Salonika, tempat Mustafa Kemal membesar ketika zaman kanak-kanaknya. Antara pelarian yang membanjiri Istanbul untuk menyelamatkan diri, termasuklah ibu, kakak, dan bapa tirinya.

Ketika Perang Balkan Kedua, yang berlangsung singkat (jun—Julai 1913), menyaksikan Kerajaan Uthmaniah berjaya mendapatkan kembali sebahagian daripada wilayah yang hilang. 

Hubungan kembali dijalin dengan Bulgaria. Bekas rakan sekolahnya Ali Fethi dilantik sebagai duta, dan Mustafa Kemal telah mengiringinya ke Sofia sebagai pengawal tentera. Ketika itulah Mustafa dinaikkan pangkat sebagai Lieutenant colonel.

Mustafa Kemal mengkritik hubungan rapat Enver dengan Jerman, dan dia meramalkan Jerman akan kalah dalam konflik antarabangsa.

Tidak lama selepas itu berlakunya perang dunia pertama. Mustafa Kemal memainkan peranan penting ketika perang itu. Dalam pertempuran Gallipoli (1915–1916) yang berlaku di Semenanjung Gallipoli (hari ini dikenali sebagai Gelibolu, Turki), ketika itu Turki diketuai oleh Mustafa Kemal mencapai kemenangan paling hebat menghalau kemaraan Tentera Bersekutu terdiri daripada Britain, Perancis dan Rusia.

Ketika pertempuran itu Mustafa Kemal telah terkena serpihan peluru, mengenai seutas jam tangan diletakkan dalam saku di dadanya, justeru dia terselamat daripada kecederaan parah. Kejayaan mempertahankan Gallipoli telah melonjakkan nama Mustafa Kemal di persada dunia. Mustafa ketika itu dinobatkan sebagai "Penyelamat Istanbul" dan dinaikkan pangkat kepada colonel pada 1 Jun 1915.

Dalam tahun 1916, Mustafa telah ditugaskan untuk mengetuai angkatan tentera berdepan dengan Rusia dan dinaikan pangkat menjadi Jeneral, sekaligus memperolehi gelaran "pasha". Dia satu-satunya Jeneral tentera Turki yang mencapai kemenangan terhadap tentera Rusia di barisan hadapan bahagian timur.

Seterusnya dalam tahun yang sama, Mustafa Kemal telah mengambil alih angkatan tentera kedua di tenggara Anatolia. Di situ dia bertemu dengan Colonel Ismet (Inonu), yang kemudian menjadi sekutu paling rapatnya di dalam membina Republik Turki.

Tercetusnya Revolusi Rusia pada bulan Mac 1917 menyebabkan Mustafa Kemal perlu bertugas di daerah-daerah Syria dan Iraq, di dalam kawasan kemaraan tentera British dari pengkalan mereka di Mesir. Ketika itu Mustafa telah dilantik mengetuai Tentera Ketujuh Uthmaniyah di Syria.

Namun akibat terkejut melihat keadaan tentera yang menyedihkan, Mustafa Kemal mengambil keputusan untuk meletak jawatan, dan pulang semula ke Istanbul tanpa kebenaran. Dia telah mengambil cuti selama tiga bulan dan kemudiannya ditugaskan untuk mengiringi Putera Mahkota Mehmed Vahideddin ketika lawatan ke Jerman 

Ketika pulang ke Istanbul, Mustafa Kemal telah jatuh sakit kerana mengalami masalah buah pinggang, dan kemungkinan ada kaitan dengan gonorrhea, yang dihidapinya sebelum itu. 

Situasi fizikal itu kemudian memerlukan Mustafa Kemal untuk mempunyai seorang doktor peribadi sepanjang tempoh tugasnya sebagai presiden Republik Turki. Dia telah pergi ke Vienna untuk mendapatkan rawatan, dan kemudiannya ke Carlsbad untuk proses pemulihan.

Ketika Mustafa Kemal berada di Carlsbad Sultan Mehmed V telah meninggal dunia dan Vahideddin mewarisi takhta sebagai Mehmed Vl. Ketika itu Mustafa Kemal dipanggil untuk pulang ke Instanbul pada bulan Jun 1918.

Tentera bersekutu menakluk Empayar Uthmaniyah

Menerusi rancangan Enver, Sultan telah mengarahkan Mustapha Kamal untuk mengetuai angkatan tentera Uthmaniyah yang sedang tewas di Syria. Ketika itu dia menyedari situasi lebih buruk dari apa yang dibayangkannya seterusnya bertindak mengundurkan tentera di bahagian utara, bagi menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa tentera yang boleh.

Perjanjian damai ditandatangani menerusi Armistice of Mudros pada 30 Oktober 1918. Tidak lama selepas itu, Enver dan para pemimpin CUP yang lain telah melarikan diri ke Jerman, tinggalkan sultan untuk mengetuai kerajaan. Bagi memastikan kesinambungan pemerintahan Mehmed VI sanggup bekerjasama dengan Tentera Bersekutu yang sudah mengawal kerajaan.

Tentera bersekutu ketika itu tidak menunggu perjanjian damai untuk menakluk wilayah Uthmaniyah. Pada awal Disember 1918, Tentera Bersekutu telah menakluk banyak kawasan di Istanbul dan menempatkan pengkalan tentera di situ.

Pada 8 Februari 1919, Jeneral Perancis Franchet d'Esperey telah memasuki bandar itu dalam keadaan megah berbanding kemasukan Sultan Penakluk Mehmed pada tahun 1453 menandakan kedaulatan Empayar Uthmaniyah sudah berakhir.

Pihak Tentera Bersekutu ketika itu mahu menggabungkan wilayah-wilayah di timur Anatolia menjadi negara-negara Armenia yang merdeka. Angkatan Tentera Perancis telah mara ke Cilicia di bahagian selatan.

Greece dan Italy ketika itu bersaing untuk mendapatkan wilayah barat daya Anatolia. Tentera Itali telah menakluk Marmaris, Antalya dan Burdur seterusnya pada 15 May 1919 Tentera Greece mendarat di Izmir dan mula masuk ke dalam wilayah Anatolia, membunuh penduduk bangsa Turki dan menghancurkan wilayah itu.

Dalam masa yang sama, pasukan tentera di bawah Mustafa Kemal telah dibubarkan. Dia kembali ke Istanbul Pada 13 November 1919, sebaik sahaja kapal-kapal armada laut tentera Bersekutu berlayar menuju ke Bosporus.

Pemandangan itu, dan juga situasi penaklukan oleh tentera British, Perancis dan Itali meninggalkan kesan mendalam dalam diri Mustafa Kemal. Dia nekad mahu menghalau mereka.

Ketika itu Mustafa Kemal mula bertemu dengan rakan-rakan terpilih, bagi mencari formula mencipta dasar yang boleh menyelamatkan Turki. Antara rakan-rakan yang ditemui ketika itu ialah Ali Fuat dan Rauf (Orbay), wira angkatan laut Uthmaniyah.

Ketika itu Ali Fuat ditempatkan di Anatolia dan tahu tentang situasi tempatan. Dia dan Mustafa Kemal telah membuat rancangan menubuhkan satu gerakan nasional Anatolia yang berpusat di Ankara.

Ketika itu, di pelbagai wilayah Anatolia orang-orang Turki sudah bertindak sesuka hati mereka, meletakkan undang-undang dalam tangan mereka sendiri sambil menggelarkan diri mereka sebagai pertubuhan mempertahankan hak, dan mewujudkan unit-unit separa tentera.

Pelbagai konflik mula tercetus dengan penduduk tempatan bukan beragama islam, dan mereka juga kemudian menentang angkatan tentera penakluk.

Bimbang berlaku suasana huru-hara, pihak Bersekutu meminta sultan untuk mengembalikan undang-undang di Anatolia. Mustafa Kemal dicadangkan sebagai seorang yang setia untuk dihantar ke Anatolia sebagai ketua angkatan tentera ketiga.

Perjuangan menuntut kemerdekaan

Mustafa Kemal sengaja meminta agar arahan itu dibuat secara bertulis supaya dia mendapat kekuasaan yang lebih besar, termasuklah kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada seluruh Anatolia dan menuntut ketaatan daripada gabenor-gabenor wilayah.

Mustafa Kemal mendarat di Samsun, di pantai laut hitam Anatolia dan tidak lagi melakukan tugas rasminya berada di situ, iaitu untuk mengembalikan keamanan. 

Sebaliknya dia menuju ke Amasya memberitahu di tengah-tengah sorakan orang ramai bahawa sultan sudah menjadi tawanan tentera Bersekutu, dan dia terpaksa datang untuk mengelakkan negara terlepas daripada genggaman rakyatnya. Inilah mesej yang disampaikan Mustafa Kemal kepada orang-orang Turki di Anatolia.

Pihak Bersekutu memberi tekanan kepada sultan agar memanggil pulang Mustafa Kemal, yang tidak lagi mempedulikan sebarang komunikasi dari Istanbul. Sultan telah memecatnya dan menghantar telegraf ke seluruh gabenor-gabenor wilayah mengarahkan mereka agar jangan mengikuti arahan Mustafa Kemal. Arahan untuk menangkapnya juga telah dikeluarkan.

Mustafa Kemal mengelak dirinya dipecat sebagai pegawai tentera, dengan cara meletak jawatan secara rasmi pada petang 7 Julai. Sebagai seorang rakyat biasa, dia terus menyampaikan mesej-mesej dari Sivas ke Erzurum, di mana ketika itu Jeneral Kazim Karabekir, komander Angkatan Tentera XV dengan kekuatan 18,000 orang prajurit berpengkalan di situ.

Saat kritikal itu, ketika Mustafa Kemal tidak mempunyai sokongan ketenteraan dan jawatan rasmi, Kazim telah memberikan bantuan kepada Mustafa, menyerahkan tenteranya untuk berkhidmat kepada Mustafa. Inilah titik sejarah bermulanya perjuangan menuntut kemerdekaan Turki.

Kazim telah mengadakan satu kongres untuk semua pertubuhan yang mempertahankan hak di Erzurum Pada 23 Julai 1919. Mustafa Kemal telah dipilih sebagai ketua Kongres Erzurum sekaligus mendapat jawatan rasmi. 

Kongres itu telah merangka sebuah dokumen yang meliputi enam daerah dalam Empayar Uthmaniyah, yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Nasional, di mana ia membolehkan pelanggaran sempadan-sempadan Wilayah Uthmaniyah iaitu wilayah-wilayah yang diduduki oleh bangsa Turki ketika Armistice of Mudros ditandatangani.

Dokumen itu juga mewujudkan sebuah kerajaan sementara, membatalkan penetapan status istimewa kepada golongan minoriti dalam Empayar Uthmaniyah serta menubuhkan satu jawatankuasa pemandu yang ketika itu melantik Mustafa Kemal sebagai pengerusi.

Mustafa Kamal cuba memperluaskan Pakatan Nasional ke seluruh wilayah penduduk Muslim dalam Empayar Uthmaniyah. Dia telah memanggil sebuah kongres nasional yang bermesyuarat di Sivas dan meratifikasi pakatan itu. Mustafa juga telah mendedahkan cubaan Sultan untuk menangkapnya dan membubarkan Kongres Sivas.

Grand Vizier Istanbul telah dihalau dari pejabatnya. Kerajaan baru yang bersimpati dengan gerakan nasionalis, telah memulangkan semula pangkat tentera Mustafa Kemal dan semua anugerah-anugerah pernah diterimanya sebelum itu.

Tidak yakin dengan kemampuan sultan untuk menghentikan penaklukan Tentera Bersekutu, Mustafa Kamal telah memutuskan kerajaan sementaranya berpengkalan di Ankara, 480km dari Istanbul. Lokasi itu dilihat lebih selamat daripada gangguan sultan dan tentera bersekutu.

Tindakan itu terbukti satu keputusan yang tepat, pada 16 Mac 1920, tentera bersekutu telah menangkap penyokong-penyokong perjuangan nasionalis, termasuk Rauf dan mereka dihantar ke Malta.

Pentadbiran Istanbul telah runtuh dan diganti oleh pihak lain dan membubarkan parlimen serta mengenakan tekanan kepada golongan ulama supaya mengistiharkan bahawa Mustafa Kemal dan orang-orangnya sebagai kafir, dan berhak dibunuh. Kini rakyat perlu memilih antara kerajaan suktan atau kerajaan Mustafa Kemal.

ramai golongan kenamaan Turki meninggalkan Istanbul menuju ke Ankara, termasuk Ismet dan selepas itu Fevzi (cakmak), menteri perang sultan. Satu pilihan raya telah diadakan, di mana sebuah parlimen dipanggil Perhimpunan Agong Nasional (GNA) telah dianjurkan di Ankara pada 23 April 1920. Perhimpunan itu telah memilih Mustafa Kamal sebagai presiden.

Dalam bulan Jun 1920, Tentera Bersekutu telah meminta Sultan menandatangani Penjanjian Sevres, di mana sultan bersetuju menandatangani pada 10 Ogos 1920. Perjanjian itu telah mengecilkan wilayah Uthmaniyah, di mana Greece meruoakan pihak paling beruntung. Armenia diisytiharkan merdeka. 

Mustafa Kemal menolak perjanjian itu. Dengan bantuan ketenteraan dari Soviet Union, dia berjaya menghalau tentera Greek dari Anatolia dan Thrace seterusnya menakluk negara baru Armenia.

Disebabkan perang menentang Greeks menyebelahi tentera Mustafa Kemal, Perancis dan Itali telah menjalankan rundingan dengan kerajaan nasionalis di Ankara. Mereka mengundurkan semua tentera dari Anatolia. Keadaan ini menyebabkan Armenia di bahagian tenggara Anatolia tiada perlindungan daripada tentera Perancis.

Tanpa kehadiran Perancis dan Itali, Jeneral Kazim telah menyerang kerajaan Armenia. Ketika itu dia mendapat bantuan dari pemerintah Rusia, Bolsheviks yang telah menjalinkan hubungan dengan kerajaan GNA.

Gabungan tentera Rusia dan GNA tidak mampu dihadapai oleh kerajaan Armenia, mereka tewas dalam bulan Oktober dan pada bulan November 1920 mereka telah menyerah kalah.

Kemerdekaan Turki

Pada 24 Julai 1923 menerusi perjanjian damai Lausanne kemerdekaan Turki diiktiraf. Tentera Bersekutu berundur secara total dari Anatolia. Kerajaan Turki muncul secara rasminya pada 29 Oktober 1923 selepas Republik Turki diproklamasikan dan Kemal Ataturk menjadi Presiden.

Dalam tahun 1928, Republik Turki di bawah pentadbiran Mustafa Kemal Ataturk menghapuskan agama Islam sebagai agama rasmi negara, dan memisahkan kerajaan dengan agama, sebagai langkah permulaan. Ibu negara Turki dipindahkan ke Angkara, ketika itu masih merupakan sebuah kampung dan sistem khalifah dalam Empayar Uthmaniyah sebelum ini juga dihapuskan. Sekolah-sekolah agama turut dihapuskan.

Di bawah pemerintahan Kemal Atartuk, Turki membangun menjadi sebuah negara yang berbeza dengan pentadbiran lalu dalam banyak perkara. Sebagai contoh, dalam tahun 1926 Kemal Ataturk mengharamkan pemakaian tarbus, di mana rakyat dikehendaki memakai pakaian ala barat dan menggantikan tulisan arab dengan tulisan latin.

Mustafa Kemal ketika melawat Anatolia dalam jelajah dan ceramahnya, mengenakan topi yang biasa dipakai oleh orang-orang Eropah. Dalam tahun yang sama pertubuhan persaudaraan Islam, penyokong kuat konservatif telah diharamkan.

Kemal Ataturk juga memberikan kuasa mengundi kepada kaum wanita dan dibenarkan bertanding dalam pilihanraya. Pada tahun 1934, Turki muncul sebagai antara negara moden pertama memberikan hak mengundi penuh kepada kaum wanita.

Dalam bulan Julai 1932, Turki menyertai League of Nations. Pada 1938, Presiden Mustafa Kemal Ataturk mewajibkan penggunaan nama keluarga di kalangan rakyat Turki. Seterusnya dia memperkenalkan sistem satu parti, yang wujud sehingga tahun 1945. 

Selepas Perang Dunia Kedua, Turki mula menjalankan eksperimen dengan sistem pelbagai parti, namun proses ini terganggu beberapa kali akibat campur tangan tentera Turki dalam politik pada tahun 1961, 1970, 1980 dan 1997.

Selepas perang dunia kedua, pada tahun 1945, Turki telah menyertai United Nations (pertubuhan bangsa-bangsa bersatu, PBB) dan Nato (1952).

Pada tahun 1934, parlimen Turki telah memberi Mustafa Kemal gelaran Ataturk yang bermaksud 'Bapa Turki' dan nama itu dikhaskan untuknya sahaja, orang lain tidak dibenarkan memakai nama itu. Mustafa Kemal Ataturk mati akibat Cirrhosis hati pada 10 November 1938 ketika berusia 57 tahun.

Mayatnya dikebumikan di sebuah mousoleum yang dibina khas untuknya di Ankara, Anitkabir. Jawatan Presiden diambil alih oleh Ismet Inonu.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan