Nahas kapal ini korbankan lebih banyak nyawa berbanding Titanic

BILA bercakap tentang nahas kapal di air, pasti Kapal Titanic mula-mula sekali akan muncul dalam minda kita. Kisah tenggelamnya Kapal Titanic akibat melanggar bongkah air batu sangat popular di seluruh dunia, lebih-lebih lagi selepas munculnya filem Titanic dibintangi oleh Leonardo DiCaprio.


Karamnya kapal paling besar di dunia itu sangat menarik perhatian. Tapi bagaimana jika saya katakan pernah berlaku nahas menimpa sebuah kapal yang jauh lebih kecil, namun mengorbankan lebih ramai penumpang berbanding kapal Titanic.

Nahas sebuah kapal ini meskipun mengorbankan begitu banyak nyawa, tapi tidak ramai orang pernah mengikuti kisahnya. Ini kerana ketika kemalangan itu berlaku, ia tersepit di tengah-tengah dua peristiwa besar, iaitu Perang Saudara Amerika Syarikat, yang mengorbankan 618,000 orang dan pembunuhan Abraham Lincoln, Presiden Amerika Syarikat ketika itu.

Bencana Kapal Sultana
FOTO | Kapal Sultana 

Jerry Potter penulis buku "The Sultana Tragedy" menjelaskan perkara itu dalam sebuah temu bual bersama NPR. Ketika itu Sultana mengangkut sekitar 2,500 orang penumpang sedangkan saiznya yang hanya sepanjang 260 kaki, dibenarkan membawa 400 penumpang sahaja. 

Banyak laporan mengatakan ketika itu kapal berkenaan dilihat terhoyong-hayang ke kiri dan ke kanan jika orang ramai berkumpul di salah satu sisinya. Malang sekali dalam keadaan seperti itu, kemalangan memang tidak dapat dielak.

Jerry Porter menganggarkan seramai 1,800 orang mati di dalam sungai pada 27 April 1865. Jumlah ini 300 orang lebih ramai berbanding kematian ketika nahas kapal Titanic. Meskipun nama Sultana mungkin tidak begitu terkenal dan berprestij seperti Titanic namun tragedi itu sangat menyayat hati.

Para penumpang yang menaiki kapal itu bukanlah individu yang melancong untuk bersuka-ria, sebaliknya mereka sebahagian mangsa yang menyelamatkan dari daripada perang paling dahsyat dalam sejarah Amerika. Sebahagian daripada mereka juga merupakan para banduan ganas dari kem tahanan Salisbury yang ditahan ketika Perang Saudara.

Penulis Philip Gerard menggambarkan keadaan kem tahanan Salisbury sebagai: "Mereka menderita penyakit usus, akibat suasana kotor dan pneumonia, kerana terbiar begitu lama di kawasan terbuka dalam lumpur becak sepanjang musim sejuk yang lembab,"

"Penyakit cacar (smallpox) merebak begitu cepat di kalangan mereka, kerana terkepung begitu rapat antara satu sama lain, ditambah dengan demam denggi berdarah bawaan kutu yang merayap di mana-mana."

"Bagi mereka yang cedera, kaki tangan mereka mengalami radang dingin (frostbite) mengakibatkan gangrene. Anggota badan mereka mereput dan tanggal daripada tubuh. Mereka turut mengalami kebuluran menghidap ulser dan kudis,"

Para penumpang ini sedang dalam perjalanan pulang dari neraka. Mereka telah dibebaskan dari terus menjadi tawanan perang dan banduan. Emosi penumpang dalam feri yang penuh sesak itu begitu riang dan gembira. Namun tanpa disangka mereka dirundung malang di tengah-tengah perjalanan.

Amerika Syarikat ketika itu sudah terlalu letih dengan kematian dan kemusnahan, terus bergerak ke hadapan tanpa menoleh kepada nahas itu, dan memilih untuk melupakannya.

Ketibaan Kapal Sultana sebarkan berita kematian Abraham Lincon

Berdasarkan buku karangan Eric Salecker berjudul "Disaster On The Mississipi," Kapten James Mason dan feri miliknya, Sultana tiba di Vicksburg pada pertengahan bulan April. Selepas mendapat tahu bahawa Abraham Lincoln telah dibunuh, mereka berlayar untuk menyebarkan berita itu, disebabkan ketika itu sistem telegraf tergendala. Ketika berada di Vicksburg, James Mason telah terserempak dengan Kapten Reuben Hatch.

Kapten Reuben Hatch memberitahu James Mason bahawa sebuah kem tahanan para banduan perang telah dibina di kawasan itu, dan kesemua askar-askar itu perlu dihantar pulang. Menurut Reuben Hatch, dia boleh memberikan kesemua 1,400 penumpang kepadanya jika dia sedia memberikan sebahagian keuntungan hasil pelayaran itu.

James Mason yang ketika itu memang kesempitan wang akibat situasi peperangan, tanpa berfikir panjang segera menerima tawaran itu.

Kapal Sultana telah meninggalkan pelabuhan untuk terus menyebarkan berita tentang Abraham Lincoln, sambil mengangkut dan menurunkan barangan kargo. Ketika dalam pelayaran, salah satu dandangnya telah mengalami kebocoran. Seorang mekanik telah dipanggil untuk memperbaikinya, dan dia menyarankan penyelenggaraan lebih meluas dilakukan, dan akan mengambil masa beberapa hari.

Kapten dan juruteranya, Nathan Wintringer meminta mekanik itu untuk menampal sahaja kebocoran itu, kerana penyelenggaraan penuh memakan masa dan bakal merugikan operasi mereka. 

Selepas kebocoran itu ditampal, Kapal Sultana berlayar ke tempat yang dijanjikan, sebelum memuatkan para banduan seperti dibincangkan sebelum ini. Berdasarkan penceritaan oleh Kapten William Shields Friesner yang direkod oleh Muzium Sultana, ketika itu berlaku kekeliruan di atas kapal. 

Ketika Kapten Shields bertanya kepada kakitangan tentera, tiada seorang pun tahu secara tepat berapa sebenarnya jumlah penumpang yang dimuatkan dalam kapal berkenaan. Ada ketika, dia melihat kapten kapal bertelagah dengan seorang pegawai tentera tentang jumlah penumpang yang menaiki kapal tersebut.

Para banduan seperti serangga

"Ketika kami sampai di Helena, Ark pada keesokan hari, kami melihat begitu ramai orang mengerumuni kapal seperti serangga, dan hampir seluruh populasi menaiki kapal itu, bersama mereka seorang jurugambar persendirian, Thomas W. Bankes yang mahu mengambil gambar kapal tersebut. Ini menyebabkan orang ramai berkumpul dan bersesak-sesak di satu sisi kapal menyebabkan ia tersendeng ke satu bahagian," — Kapten William Shields Friesner, laman sesawang Muzeum Bencana Sultana.

Selepas beberapa hari memulakan pelayaran dalam keadaan kapal bersesak-sesak, mereka telah tiba di Memphis. Di situ, Kapal Sultana telah menurunkan muatan gula seberat 120 tan. Ketika itu, menurut Wintringer dandang kapal masih dalam keadaan baik, dan semuanya kelihatan baik-baik sahaja.

Pada sekitar jam 2 pagi 27 April, satu letupan telah menggegarkan kapal berkenaan. Salah satu dandang telah meletup, mengakibatkan dandang yang lain turut sama meletup. Letupan itu telah menujah sekumpulan besar penumpang ke dalam air dan mengakibatkan dek kapal bahagian atas runtuh ke bawah. Kapal Sultana ketika itu terbakar dan hanyut mengikut arus deras air sungai.

"Perlu diingat pada 27 April air sungai masih sangat sejuk. Keadaan malam sangat gelap. Tiada siapa di kalangan kami tahu, di mana kami berada. 

"Dengan api marak di belakang kami, sambil mendengar suara rintihan dan rayuan penumpang malang tersepit di bawah runtuhan, dan limpahan air semakin penuh di bahagian hadapan."

"Kamu tentu akan mati jika terus kekal di situ. Hanya ada satu peluang untuk menyelamatkan diri jika kamu sanggup, saya dan ramai lagi penumpang lain telah mengambil peluang itu untuk mencuba nasib," — Sarjan James Harvey Kimberlin, The Sultana Disaster Museum's Website.

Tentera yang berada di atas kapal cuba mencari jalan menyelamatkan diri, mereka perlu mengambil keputusan sama ada untuk menghadapi api kebakaran di atas kapal, atau terjun ke dalam sungai sejuk dengan arus begitu deras.

Menurut Kapten Shields, ketika itu dia melihat begitu ramai orang di permukaan air, saling mencengkam dan berpelukan sesama mereka, keadaan biasa ketika orang sedang kelemasan. Dia juga melihat Kapten Mason berlari-lari sambil melontar apa sahaja yang boleh dijadikan pelampung di dalam sungai bagi menyelamatkan nyawa.

Tiada lagi permusuhan antara tentera Union dan Confederate

Beberapa buah kapal telah bertindak balas sebaik sahaja mengetahui tentang nahas itu, mereka bergegas datang untuk membantu bekas sekutu dan musuh mereka. Frank Fogleman, datuk bandar Marion memberitahu NPR, moyangnya antara salah seorang yang turut datang memberikan bantuan. Kata Fogleman, moyangnya John dan ahli keluarga telah terjun ke dalam sungai pada malam itu untuk menyelamatkan seramai 25 Tentera Union.

John Fogleman dan keluarganya tidak mempunyai bot, namun mereka berjaya melemparkan beberapa batang balak bersama, dan mengharungi sungai itu untuk menyelamatkan nyawa. Bekas Tentera Confederates lain, membuka pintu rumah mereka untuk mangsa Tentera Union yang cedera. Beberapa bulan lalu, inilah orang yang menembak askar-askar ini, namun kali ini mereka bersusah payah menolong mereka.

Hanya sekitar 700 orang yang terselamat dalam kemalangan itu. Letupan, kebakaran dan air sungai telah mengorbankan para penumpang selebihnya. Disebabkan oleh suasana huru-hara ketika itu jumlah angka korban sebenar bercanggah antara sumber-sumber melaporkannya dan tidak dapat ditentukan secara tepat.

Sultana Disaster

Siasatan terhadap nahas Kapal Sultana

Namun tragedi paling besar datang selepas siasatan dijalankan terhadap nahas tersebut. Salecker menegaskan dalam bukunya bahawa tidak ada seorang pun yang dihukum akibat nahas tersebut. Kapten Mason didapati individu bertanggungjawab mengakibatkan nahas itu, namun dia telah meninggal dunia ketika kemalangan itu berlaku.

Barangkali kisah diceritakan oleh Kapten Shields tentang Mason itulah kali terakhir dia masih hidup, sebelum pergi buat selama-lamanya.

Pegawai Tentera Union Frederick Speed telah menghantar hampir 2,000 orang dari kem tahanan untuk menaiki Kapal Sultana, dan dituduh dengan dakwaan menyebabkan kesesakan dalam kapal itu. Namun tuduhan itu telah dibatalkan kerana Speed secara fizikalnya tidak berada di dalam kapal.

Seorang lagi pegawai tentera di atas kapal tersebut, George Williams yang bertanggung jawab memuatkan penumpang ke dalam kapal, namun tidak ada apa-apa tuduhan dikenakan terhadapnya. Kapten Reuben Hatch telah meletak jawatan selepas bencana itu berlaku dan tidak pernah dihukum.

Menurut Salecker, siasatan berjaya menemui kesan tampal pada dandang kapal tersebut, serta bukti menunjukkan kapal itu telah membawa lebih muatan sekaligus menyebabkan letupan. Jurutera Sultana, Nathan Wintringer menjelaskan bahawa paras air di sebahagian dandang juga telah berubah antara satu dengan yang lain disebabkan kapal sering berulang alik. Paras air yang rendah akhirnya mengakibatkan dandang itu terlalu panas katanya.

Walaupun jumlah angka korban yang besar, kisah ini tidak begitu diketahui di Amerika Syarikat. Jerry Porter memilih untuk menulis sebuah buku tentangnya, kerana dia membesar di Memphis namun tidak pernah mendengar tentang kisah itu sepanjang hidupnya. Terdapat sebuah muzium sementara Bencana Sultana dibina di Marion, Arkansas dan ia kini sedang mencari peruntukan untuk mendapatkan lokasi kekal.

Jelas sekali, bencana menimpa kapal malang itu berlaku pada saat dan ketika yang malang juga iaitu di tengah-tengah antara kejadian pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln  dan perang saudara paling mengerikan dalam sejarah negara itu. Akibatnya bukan sahaja tidak ada sesiapa yang dihukum, malah mangsa terlibat juga tidak menerima sebarang pampasan.

Satu-satunya hikmah daripada bencana itu ialah, ia berjaya menyatu padukan golongan yang berbalah dan bertelagah untuk saling bantu-membantu dalam satu malam. Pada malam 27 April 1865, tidak ada askar-askar Union dan Confederates, yang ada hanyalah askar-askar lemas di dalam sungai dan perlu dibantu bersama-sama.

Sumber | npr.org

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan