Mahkamah Persekutuan batalkan hukuman mati 'Dr Ganja'

LELAKI yang ditahan sebelum ini kerana menjual minyak ganja untuk tujuan perubatan dilaporkan terlepas dari hukuman gantung sampai mati. 
$ads={2}
Mahkamah Persekutuan Putrajaya telah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan terhadapnya dalam mahkamah lebih rendah sebelum ini atas dua tuduhan mengedar dadah.

Perbicaraan dikendali oleh tiga orang hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah menggantikan tuduhan terhadap Muhammad Lukman Mohamad kepada tuduhan memiliki dadah di bawah Seksyen 9 Akta Dadah Berbahaya.

Dr Ganja
FOTO | Muhamad Lukman ketika dalam mahkamah sebelum ini

Justeru mahkamah memutuskan bahawa Muhammad Lukman berusia 31 tahun bersalah kerana memiliki dadah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap kesalahan dilakukannya. 

Namun hukuman dijalankan secara serentak bermula pada tarikh 7 Disember 2015 ketika dia mula ditangkap oleh pihak polis, dan ini bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman selama 5 tahun penjara.

Hakim Tengku Maimun mengetuai perbicaraan di Mahkamah Persekutuan bersama dua orang lagi hakim iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal mendengar rayuan Muhammad Lukman tentang sabitan dan hukuman mati terhadapnya atas tuduhan pertama dan kedua.

Seksyen 9 Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh pada bulan Ogos 2018, kerana memiliki sejumlah 3,010 ml delta-9-tetrahydrocannabinol (ekstrak ganja), 1,422g delta-9-tetrahydrocannabinol dan 279.81g ganja.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pula pada 27 November 2019 yang mendengar rayuan Muhammad Lukman, telah mengekalkan hukuman mati, yang disabitkan terhadapnya oleh mahkamah sebelum itu.

Bapa kepada seorang anak itu dituduh melakukan kesalahan yang dilakukan di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting Selangor pada jam 6.45 petang bertarikh 7 Disember 2015.

Tun Dr Mahathir ketika masih menjawat jawatan Perdana Menteri Pada 18 September 2018, pernah menyatakan bahawa kerajaan perlu menyemak semula kes tuduhan terhadap Lukman.

Sebelum ini terdapat juga satu lagi kes 'doktor ganja' yang menjadi tumpuan ramai iaitu melibatkan seorang bekas tentera Amiruddin Abdullah yang kini sedang berdepan tuduhan mengedar ganja di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati. Kes itu sehingga kini masih lagi dibicarakan di mahkamah.

Pelbagai negara di dunia hari ini sudah menghalalkan ganja bagi tujuan perubatan. Justeru orang ramai memberikan pelbagai respon tentang kedua-dua kes berkenaan, dan ramai pihak menggesa kerajaan agar mengeluarkan kanabis atau ganja daripada senarai dadah berbahaya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB juga sebelum ini mengumumkan bawa ganja bukan lagi di dalam senarai dadah berbahaya, selepas mengadakan satu undian untuk menggugurkan status ganja daripada senarai dadah berbahaya badan dunia itu.


Langkah itu dilaksanakan selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan agar ganja dan produk-produk terbitannya disingkirkan daripada jadual IV Konvensyen Dadah Narkotik 1961.

Sejumlah 53 negara anggota agensi dadah PBB telah menyertai undian untuk mengeluarkan ganja yang telah disenaraikan selama 59 tahun dalam jadual kawalan ketat, serta menghalang penggunaannya untuk tujuan perubatan.

Undian bersejarah itu menyaksikan sejumlah 27 negara menyokong, manakala 25 lagi menentang sementara satu berkecuali. PBB turut membuka ruang untuk mengiktiraf potensi ganja dalam perubatan dan rawatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan