China pernah cipta banjir besar lawan tentera Jepun tapi rakyat sendiri yang mati

PERANG dan pergolakan sentiasa menghiasi sejarah kehidupan manusia. Ada catatan sejarah tentang betapa bijak manusia membuat percaturan dalam peperangan, tidak kurang juga terdapat kisah manusia tersilap membuat percaturan seterusnya mengakibatkan bencana besar terpaksa ditanggung.

Dalam kebanyakan peristiwa pihak paling terjejas teruk tentu sekali rakyat biasa dan golongan bawahan. Para pemimpin berkuasa pula, akan terus berbincang dan mencaturkan strategi seterusnya untuk terus kekal berkuasa.

Pernah berlaku satu peristiwa dalam sejarah di mana kesilapan percaturan pemimpin negara China ketika berdepan serangan Jepun, telah menyebabkan bencana dan kemusnahan besar kepada rakyatnya sendiri. 

Peristiwa itu terus dikenang dan disebut-sebut sampai ke hari ini. Mana tidaknya, akibat silapnya percaturan oleh seorang pemimpin tentera telah mengakibatkan jutaan rakyatnya sendiri menderita.

Cipta banjir halang kemaraan tentera Jepun

Pada peringkat awal tindakan itu nampak seperti tak masuk akal, di mana kerajaan China ketika itu mahu menggunakan Sungai Kuning sebagai strategi peperangan paling besar dalam sejarah.

Sungai Kuning di China
FOTO | Sungai Kuning merupakan sungai kedua paling panjang di China selepas Sungai Yangtze

Dalam tahun 1937, telah tercetusnya perang China-Jepun disebabkan oleh keghairahan Jepun mahu memperluaskan wilayahnya, selepas melihat keadaan lemah dan bergolak negara China ketika itu. 

Tambahan pula Jepun mempunyai kelebihan untuk menawan wilayah utara China, dan kejatuhan bahagian tengah China kepada Empayar Jepun nampaknya sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Ketika itu salah seorang ahli politik China bernama Chen Guof salah seorang pemimpin Parti Nasionalis China (Kuomintang) mengusulkan satu idea, dan berpendapat hanya ada satu cara keras boleh digunakan bagi menghalang kemaraan tentera Jepun. 

Ahli politik itu telah menasihatkan pemimpin tentera China menentang Jepun ketika itu bernama Chiang Kai-Shek, untuk melepaskan limpahan air dari Sungai Kuning.

Memang benar, arus deras aliran Sungai Kuning memang boleh digunakan untuk menentang angkatan tentera Maharaja Jepun.

Banjir dihasilkan oleh limpahan sungai itu dijangka dapat menyekat usaha Jepun menawan bandar strategik bernama Zhengzhou yang tidak jauh dari Wuhan. Ini kerana jika bandar Zhengzhou berjaya ditawan oleh Jepun, akan memberi impak besar kepada China, dan objektif utama parti Kuomintang pada masa itu adalah mempertahankan bandar Wuhan dari ditawan oleh Tentera Jepun.

Di antara 5 dan 7 Jun 1938, empangan tebing selatan bernama Huayuankoi telah dimusnahkan menerusi penebukan terowong. Tindakan itu telah mengakibatkan banjir dahsyat, menghanyutkan dan menyapu habis segala benda di laluannya sejauh beratus-ratus kilometer.

Sekitar 500,000–900,000 orang awam tidak berdosa telah menjadi mangsa dan terkorban akibat banjir dahsyat hasil pelepasan air Sungai Kuning itu.

Sebaliknya jumlah kematian tentera Jepun akibat bencana itu, dilaporkan terlalu sedikit, dan boleh diabaikan jika dibandingkan dengan jumlah kematian besar rakyat China sendiri. 

Apa jadi selepas itu?

Jika anda fikir strategi radikal seperti itu boleh menyekat kemaraan tentera Jepun, ternyata anda silap. Hanya dalam masa 3 bulan, tentera Jepun telah berjaya mencapai objektif mereka untuk menawan bandar Wuhan, China.

Askar Jepun di China

Penderitaan sebenar hasil keputusan itu ditanggung oleh rakyat China sendiri, selepas ladang tanaman dan rumah-rumah mereka hilang dihanyutkan air deras. 

Tambah memburukkan lagi keadaan, penduduk di kawasan sekitar yang terselamat juga menghidap pelbagai penyakit bawaan air. Dianggarkan sejumlah 10 hingga 15 juta penduduk berdepan risiko berkenaan.

Rakyat China jadi pelarian

Sumber rasmi Republik Rakyat China menganggarkan sejumlah tiga hingga lima juta penduduk telah menjadi pelarian sejurus selepas banjir besar menghancurkan kediaman mereka pada masa itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan