Cinta sejati punca runtuhnya kerajaan monarki Russia

MANUSIA sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Cinta sejati kadangkala membuatkan manusia menjadi gila, dan tidak keruan. Kali ini mari kita imbas kembali sejarah bagaimana cinta sejati menjadi punca runtuhnya kerajaan monarki di Rusia sebelum diganti oleh kerajaan komunis pertama di dunia.

Nicholas dan Alix
FOTO | Puteri Alix of Hesse dan Grand Duke Nicholas
 
Puteri Alix of Hesse (1872–1918) merupakan cucu kegemaran Ratu British, Queen Victoria di England. Alix enggan dikahwinkan atas tujuan politik, sebaliknya memilih untuk mengahwini cinta sejatinya.

Puteri itu telah jatuh cinta kepada Grand Duke Nicholas (1668–1918), pewaris tahta kerajaan Russia. Meskipun Nicholas turut menyintai Alix, namun ratu Victoria tidak bersetuju mereka berkahwin. Ratu itu sebenarnya menyukai Nicholas, namun dia tidak sukakan Rusia dan merasakan Alix tidak akan selamat jika tinggal di negara itu.

Ibu bapa Nicholas pula anti Jerman, mereka juga tidak bersetuju jika Nicholas berkahwin dengan Alix, kerana puteri itu merupakan keturunan Jerman. Justeru mereka telah mencarikan pasangan yang lebih sesuai. Namun Nicholas mengumumkan bahawa dia lebih sanggup menjadi seorang paderi daripada terpaksa berkahwin dengan seorang puteri yang tidak dicintainya.

Dalam tahun 1894, kesihatan Alexander III, iaitu ayah Nicholas semakin merosot. Bagi melancarkan peralihan kuasa, dia dengan berat hati membenarkan Nicholas untuk melamar Alix.

Alexander III mangkat pada 1 November 1894, dan Nicholas menjadi Tsar Nicholas II. Alix telah menukar agamanya kepada Kristian dalam sebuah Gereja Orthodox dan menukar nama kepada Alexandra Feodorovna. Pasangan itu berkahwin pada 26 November 1894.

Perkahwinan Nicholas dan Alix
FOTO | Perkahwinan Nicholas dan Alix

Penyakit Hemofilia dan pengaruh bomoh Rasputin

Empat orang anak pertama dilahirkan daripada keluarga diraja itu merupakan anak perempuan. Rakyat Rusia ketika itu merasa bimbang jika pasangan itu tidak mempunyai anak lelaki untuk dijadikan pewaris takhta kerajaan Rusia.

Sebab itulah pasangan diraja itu telah mula melakukan amalan-amalan ghaib bagi mendapatkan seorang anak lelaki. Dalam tahun 1904, harapan seluruh empayar Rusia ketika itu menjadi kenyataan, apabila Putera Alexei dilahirkan. Namun Alexei menghidap penyakit hemofilia.

Hemofilia merupakan sejenis penyakit warisan genetik, di mana darah penghidapnya tidak boleh membeku. Selalunya penghidap penyakit ini akan mati pada usia muda akibat berlaku pendarahan berterusan.

Mutasi gen punca hemofilia, terletak pada kromosom X. Maka wanita dikenal pasti sebagai pembawa gen mutasi itu. Ini bermakna putera Alexei mewarisi penyakit itu daripada ibunya Ratu Alix. Alix pula mewarisinya daripada Ratu British, Queen Victoria.

Ratu Alix sangat bimbang dengan kesihatan puteranya itu, sampai akhirnya sanggup meminta pertolongan seorang bomoh terkenal Siberia bernama Grigori Rasputin (1869–1916). Difahamkan banyak kali juga Rasputin menggunakan kaedah rawatan mistiknya berjaya menyelamatkan nyawa Putera Alexei.

Grigori Rasputin
FOTO | Grigori Rasputin

Dalam tahun 1915, Nicholas telah berlepas untuk mengetuai dan membantu angkatan perang Rusia dalam Perang Dunia Pertama (1914–1918). Nicholas mengarahkan Alix untuk menggantikannya sementara berhubung perihal pentadbiran negara.

Ketika itulah Rasputin menggunakan pengaruhnya terhadap Ratu Rusia, Alix untuk menggantikan ramai pegawai atasan kerajaan. Sebagai contoh, Alix telah melantik empat perdana menteri dalam masa 16 bulan.

Pengaruh bomoh Rasputin terhadap pasangan diraja itu telah meningkatkan kemarahan rakyat Rusia terhadap Raja Nicholas II.

Tingkah laku Ratu Alix cetuskan revolusi

Ratu Alix sangat tidak popular, dan tidak digemari oleh rakyat Rusia ketika itu. Orang ramai menganggap sifat pemalunya sebagai sombong dan angkuh.

Ibunya sendiri Queen Victoria berulang kali menasihatkan supaya Ratu Alix berusaha meningkatkan populariti di kalangan rakyat. Namun dia tidak peduli, kerana tersilap menyangka kesetiaan rakyat Rusia adalah anugerah tuhan.

Alix lebih gemar menghabiskan masa bersama Nicholas dan anak-anak mereka. Sedangkan ketika itu rakyat Rusia berpendapat, Ratu Alix yang juga merupakan keturunan Jerman, mempunyai konspirasi menentang Rusia.

Alix juga memberi tekanan kepada Raja Nicholas II supaya berusaha ke arah proses demokrasi di Rusia, dan memerintah seperti seorang aristokrat.

Nicholas II memerintah Empayar Rusia, namun dalam masa yang sama dia diperintah oleh isterinya. Alix sering memberikan nasihat yang salah, dan terpesong dari realiti.

Angka korban besar ketika perang dunia pertama, keruntuhan ekonomi, dan peristiwa kebuluran di kalangan rakyat Rusia telah mencetuskan revolusi pada bulan Oktober 1917. Nicholas II terpaksa melepaskan tahta.

Dalam tahun 1918, Bolsheviks pemimpin komunis baru di Rusia telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Nicholas II dan seluruh ahli keluarganya.

Bolsheviks secara tergesa-gesa menamatkan perang dunia pertama dalam tahun 1918, sebelum bertempur dalam perang saudara menentang beberapa puak penentang, dan berjaya menewaskan mereka dalam tahun 1922. Ketika itu muncullah Soviet Union, lahirnya sebuah Kerajaan Komunis pertama di dunia.

Gereja Ortodok Rusia telah mengumumkan raja Nicholas II, dan semua keluarganya yang dihukum mati sebagai wali (saint) dalam tahun 2000.

Sifat Nicholas II yang kurang kesungguhan politik, ketegasan, dan kebijaksanaan diburukkan dengan nasihat salah dari isterinya. Nicholas II berkahwin atas dasar cinta, memberikan kebahagiaan kepada mereka, namun menjejaskan keputusan-keputusan yang diambil sebagai raja, membawa kepada runtuhnya kerajaan Monarki Rusia.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan