Kapten British direbus oleh penduduk Hawaii lepas kantoi bukan 'tuhan'

SELALU kita lihat dalam filem, babak atau adengan puak kanibal merebus manusia dalam kawah besar untuk dimakan. Kisah seperti itu sebenarnya pernah terjadi dalam sejarah sebenar manusia. Individu yang direbus itu adalah seorang kapten British bernama James Cook.

Tempat Kapten James Cook mati
FOTO | Tempat Kapten James Cook mati dibunuh

James Cook merupakan salah seorang Kapten laut terbaik British pada abad ke-18. James Cook sering mengetuai pelayaran armada British ke serata dunia. Dari Selat Bering (selat yang memisahkan antara Amerika Syarikat dan Rusia) sampailah ke hujung dunia di Benua Antartika (Kutub Selatan). 

Kapten James Cook juga terkenal sebagai orang Eropah pertama yang menjelajah Pulau Hawaii. Tapi kalau dia boleh meramal masa hadapan, tentu sekali dia takkan pernah singgah ke Hawaii.

Kapal Kapten Cook singgah di pantai Hawaii

Pada usia 40 tahun, James Cook telah diamanahkan mengetuai Kapal H. M. S. Endeavour untuk berlayar bersama golongan bangsawan diraja British ke seluruh dunia. Dalam bulan Januari 1778, Kapal Endeavour telah singgah di sebuah pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Hawaii.

Kapal Endeavor pada saat itu sudah berlayar selama berbulan-bulan dari satu pulau ke satu pulau untuk mengisi semula bekalan, sambil mencatatkan segala pengalaman dilalui mereka. James Cook telah mengarahkan anak kapal untuk berlabuh di Pantai Kealakekua, di mana ketika itu penduduk pulau berkenaan sedang menyambut pesta besar-besaran.

Entah bagaimana, penduduk tempatan ketika itu menyangka Kapten James Cook adalah jelmaan Tuhan Lono (agama orang Hawaii mempercayai Lono sebagai tuhan yang mengurniakan mereka dengan kesuburan, tanaman, hujan, muzik dan keamanan). Mereka juga menganggap anak kapal Kapten James Cook sebagai para pengiring tuhan Lono.

Meskipun menyedari hal itu, Kapten James Cook dan orang-orangnya langsung tidak menjelaskan perkara sebenar, sebaliknya membiarkan sahaja orang-orang Hawaii mempercayai mereka adalah jelmaan tuhan.

Malahan mereka jadi seronok menyertai pesta tersebut dan mendapat layanan istimewa penduduk tempatan kerana dianggap sebagai tuhan.

Rahsia terbongkar

Malangnya, tiba-tiba salah seorang daripada anak kapal Kapten Cook telah jatuh sakit dan meninggal dunia, sekaligus membuktikan bahawa mereka manusia biasa yang boleh mati. Maka penduduk Hawaii mula sedar bahawa rombongan diberi layanan istimewa itu sebenarnya bukanlah tuhan Lono.

Kapten James Cook cuba menjelaskan salah faham yang berlaku, namun nampaknya penduduk Hawaii tidak lagi mempercayai mereka.

Orang ramai ketika itu menjadi marah, dan mula membaling batu ke arah Kapten Cooks dan orang-orangnya. Keadaan menjadi semakin tidak terkawal selepas ketua puak itu ditembak mati. Ramai anak-anak kapal Kapten Cooks telah dibunuh.

Kapten James Cook
FOTO | Ilustrasi ketika Kapten James Cook dibunuh

Mayat Kapten James Cook direbus

Kapten Cook pula telah ditikam di bahagian leher dan mati di tepi pantai. Penduduk tempatan kemudian membawa mayatnya ke kampung mereka untuk direbus, sebelum dagingnya disiang dan diasingkan daripada tulang. Namun difahamkan, daging Kapten Cook tidak dimakan oleh mereka.

Penduduk Hawaii percaya bahawa roh dan kuasa seseorang berada di dalam tulang-tulangnya. Merebus mayat seseorang dan menyiang dagingnya untuk diasingkan adalah cara paling ringkas untuk mendapatkan tulang-tulangnya.

Tidak tahu apa sebab, namun penduduk pulau Hawaii ketika itu mungkin menganggap Kapten James Cook mempunyai ciri-ciri ketuhanan justeru mereka menguruskan mayatnya dengan penuh penghormatan sebelum ditanam di Pantai Kealakekua.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan