Kenapa bas sekolah berwarna kuning?

TAHUKAH anda bahawa kebanyakan bas sekolah di seluruh dunia berwarna kuning? Sebenarnya mereka boleh sahaja memilih warna-warna lain untuk bas sekolah, seperti warna merah, hijau, biru, hitam atau warna pelangi sekalipun.

Adakah kuning sengaja dipilih untuk bas sekolah kerana ia dianggap warna gembira, sekaligus boleh menggalakkan kanak-kanak lebih gemar untuk ke sekolah? Tentu sekali tidak.

Bas sekolah warna kuning
FOTO | Seorang lelaki sedang menyembur bas sekolah dengan warna kuning

Warna kuning sebenarnya dipilih untuk bas sekolah, atas sebab alasan-alasan yang praktikal, terutama berkaitan dengan keselamatan.

Malah warna kuning bas sekolah mempunyai istilah rasminya sendiri iaitu "National School Bus Glossy Yellow," di mana ia mula diperkenalkan dalam tahun 1939 oleh Dr. Frank W. Cyr seorang Profesor di Columbia University di New York.

Dr Frank ketika itu telah mengadakan satu persidangan dan secara rasminya menetapkan beberapa parameter dan peraturan untuk pembinaan bas sekolah. Penetapan itu termasuklah pemilihan warnanya.

Istilah asal warna kuning itu dipanggil sebagai "National School Bus Chrome," namun ia telah diubah selepas didapati warna chrome mengandungi plumbum dalam pigmennya.

Antara alasan lain ialah, huruf berwarna hitam yang ditulis pada badan sebuah bas sekolah berwarna kuning, lebih mudah dilihat dalam kegelapan awal pagi dan lewat petang. Satu lagi sebab ialah, warna kuning paling cepat disedari oleh pandangan sisi manusia.

Bas sekolah kuning

Seorang pakar cat dari Pittsburgh Paints and DuPont muncul dengan cadangan gabungan warna-warna itu, bersama pengilang bas sekolah yang menetapkan pawaian standard bagaimana untuk membina sebuah bas sekolah. Mereka telah menerima peruntukan sebanyak $5,000 daripada Rockefeller Foundation.

Wakil setiap negeri-negeri di Amerika (ketika itu berjumlah 48 buah negeri), hadir di persidangan tersebut dan National Bureau of Standards (kini dikenali sebagai National Institute of Standards and Technology) menetapkan warna itu untuk semua bas sekolah.

Warna itu seterusnya secara rasmi dikenali sebagai Federal Standards №595a, Color 13432. Sebuah risalah setebal 42 muka surat telah diterbitkan hasil dari keputusan persidangan tersebut yang menetapkan standard bagaimana bas-bas sekolah perlu diwarnakan dan dikilangkan sejak dari saat itu.

Sebelum tahun 1939, bas-bas sekolah mempunyai pelbagai warna, kerana ketika itu belum ada lagi piawaian ditetapkan. Malah kanak-kanak turut diangkut ke sekolah menggunakan gerabak yang ditarik oleh kuda.

Bas sekolah ditarik oleh kuda

Lebih menarik, bas sekolah pertama telah dibina pada tahun 1827 di London, United Kingdom. Kenderaan itu direka untuk membawa sejumlah 25 orang kanak-kanak. 

Namun bas sekolah bukanlah satu-satunya pengangkutan awam yang menggunakan warna kuning. Seawal tahun 1914 Syarikat Yellow Cab yang diasaskan oleh John D. Hertz telah menggunakan warna kuning untuk semua kereta sewanya sebagai salah satu cara menjenamakan perniagaan.

Tidak pasti sama ada ia mempunyai pengaruh terhadap bas sekolah yang akhirnya turut dicat dengan warna kuning.

Piawaian ini seterusnya telah digunakan di seluruh dunia. Pelbagai negara menggunakan warna kuning untuk bas sekolah, termasuklah negara kita Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan