Lelaki ini dua kali berjaya jual Menara Eiffel di Paris

SEORANG lelaki bernama Count Victor Lustig boleh dianggap sebagai antara 'scammer' paling hebat dalam sejarah dunia kerana telah berjaya melakukan penipuan paling besar dan paling berani.

Count Victor Lustig
FOTO | Count Victor Lustig
Dengan kerjayanya sebagai seorang penjenayah bermula sejak zaman usia muda, penipuan terakhir Victor Lustig benar-benar menggemparkan dunia, selepas berjaya menjual Menara Eiffel (Eiffel Tower) di Ibu Kota Paris, bukan sekali tetapi dua kali.

Penjenayah 'genius' ini yang dilahirkan dalam sebuah pekan kecil Austro-Hunggary, mempunyai daya tarikan hipnotik, fasih 5 bahasa dan sering memperdayakan para pelancong kaya menggunakan daya karisma yang ada padanya.

Eiffel Tower
FOTO | Menara Eiffel berjaya dijual dua kali oleh Victor Lustig

Latar belakang Count Victor Lustig

Jika anda pernah mencari maklumat tentang penipu atau 'scammer' paling licik dan hebat dalam sejarah, nama Victor Lustig tentu sekali berada di senarai teratas.

Percaya atau tidak, Victor Lustig pernah melanjutkan pengajian di universiti paling berprestij di Eropah, iaitu Sorbonne University. Namun hidupnya mula berubah, selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti sebelum tamat pengajian (dropout) kerana mahu menimba ilmu dari jalanan.

Ketika berumur 25 tahun, Victor Lustig telah melancong ke seluruh dunia dan melakukan pelbagai jenayah menggunakan pelbagai nama samaran.

Victor Lustig juga mempunyai rekod luar biasa, iaitu telah ditahan sebanyak 50 kali oleh pihak berkuasa, namun entah macam mana, dia sentiasa berjaya melepaskan diri daripada dijatuhkan hukuman, dengan cara memastikan pihak polis sentiasa kekurangan bukti untuk mendakwanya.

Penipuan terhebat

Victor Lustig tiba di kota Paris pada bulan Mei 1925 dan menyamar sebagai seorang pegawai Amerika. Ketika itu Perancis masih lagi berada dalam fasa pemulihan. Dia muncul di kaunter hotel terkenal Hôtel de Crillon, dan identitinya tidak menimbulkan kecurigaan ketika itu.

Victor Lustig telah menghantar sepucuk surat kepada ramai ahli perniagaan utama dalam industri logam tempatan. Dia menjemput mereka untuk menghadiri mesyuarat di hotel berkenaan.

Dalam surat itu Victor Lustig menyatakan bahawa disebabkan oleh kesilapan kejuruteraan, penyelenggaraan terlalu mahal, dan isu-isu politik lain tidak boleh didedahkan, Menara Eiffel perlu diruntuhkan.

Ketika itu Victor Lustig berlakon sebagai seorang wakil kerajaan. Dengan karisma dan kebijaksanaan dimilikinya, dia begitu mudah untuk menyamar sebagai siapa sahaja di mata mangsanya.

Victor Lustig menjelaskan bahawa Menara Eiffel akan dilelong kepada sesiapa sahaja yang dapat menawarkan harga paling tinggi. Para pemain industri itu terpedaya, maka proses lelongan pun bermula.

Tiada siapa dapat memikirkan idea penipuan seperti ini. Victor Lustig melakukannya selepas sedar bahawa kerajaan Perancis ketika itu memerlukan sumber kewangan untuk membina semula negara selepas Perang Dunia Pertama, maka menjual Eiffel Tower pasti dilihat sebagai tindakan yang masuk akal.

Ketika itu Victor Lustig dihujani dengan tawaran para pemain industri itu. Pemenang harga paling tinggi ialah Andre Poisson dan telah ditipu sebanyak $350 juta. Namun apa yang menghairankan, penipuan Victor Lustig masih juga tidak terbongkar.

Walaupun sudah menyedari bahawa dirinya ditipu, Andre Poisson tidak menyerang atau mengecam Victor sebab tak mahu ditertawakan oleh rakan-rakannya selepas begitu nudah diperbodohkan oleh Victor.

Selesa dengan kejayaan pertama itu, maka Victor Lustig mengulangi lagi penipuan itu sebulan kemudian. Penipuan kali kedua itu juga berjaya.

Kecundang akibat tamak

Biasa kita dengar penjenayah akhirnya kecundang kerana sikap tamak yang menguasai diri. Ia tidak terkecuali juga kepada Victor Lustig. Dia telah berjaya melanggar undang-undang dan meloloskan diri sehingga 28 September 1935.

Namun kali ini FBI (Biro Siasatan Persekutuan Amerika) sedang mengekorinya, bukan sahaja kerana dia telah melelong Menara Eiffel, tapi juga kerana jenayah wang palsu skala besar dilakukannya sehingga menjejaskan ekonomi Amerika Syarikat pada tahun 1920.

Dalam tahun 1935, Victor Lustig telah diberkas oleh pihak polis ketika berusia 46 tahun selepas mendalangi kegiatan jenayah wang palsu besar-besaran sehingga menjejaskan keyakinan dunia terhadap ekonomi Amerika Syarikat pada waktu itu. Hakim di New York menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun terhadapnya.

Victor Lustig
FOTO | Count Victor Lustig menggunakan nama samaran Robert V. Muller

Sebelum dijatuhkan hukuman penjara, Victor Lustig memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia dilahirkan di sebuah pekan bernama Hostinne pada 4 Januari 1890. Kawasan kampungnya terletak di sekitar menara jam Baroque di pergunungan Krkonose (kini dikenali sebagai Czech Republic).

Ketika masih bebas sebagai 'scammer' Victor Lustig mendakwa bapanya Luwig, seorang Datuk Bandar pekan tempat dia tinggal. Namun selepas ditahan dia mendakwa dilahirkan daripada keluarga petani miskin, dibesarkan dalam rumah yang diperbuat daripada batu-batu jalan.

Menurutnya dia terpaksa menipu dan mencuri demi kelangsungan hidup, namun jenayah itu hanya dilakukan terhadap golongan kaya tamak dan tidak jujur.

Victor Lustig meninggal dunia selepas dua tahun menjalani hukuman di Penjara Alcatraz akibat menghidap pneumonia (sesak nafas).

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan