lelaki ini ubah padang pasir jadi hutan, 40 tahun tanam pokok seorang diri

SEORANG lelaki bernama Jadav "Molai" Payeng menghabiskan 40 tahun hidupnya menanam pokok-pokok sehingga mendapat gelaran "lelaki hutan" selepas berjaya mengubah sebuah kawasan padang pasir di India menjadi hutan.

Tidak dapat dipastikan secara tepat berapa jumlah tumbuhan yang telah ditanamnya, kerana dia sendiri pun tak pernah kira. Namun dianggarkan sejumlah 1.5 juta pokok telah ditanam oleh Payeng sejak 40 tahun lalu.

Jadav Payeng
FOTO | Sampai ke hari ini Jadav Payeng masih terus menanam pokok setiap hari

Permulaan yang sukar

Payeng dilahirkan dalam tahun 1963 berdekatan sebuah pekan kecil kawasan pedalaman Jorhat, India. Sejak dari usia muda, Payeng menyaksikan sebuah pulau berdekatan pantai Brahmaputra mengalami hakisan.

Dalam pelbagai temu bual bersama pihak media di India, Payeng menceritakan bagaimana pengalamannya bermain di dalam hutan itu telah membuatkan dia sedih apabila melihat pokok sayur-sayuran perlahan-lahan mati.

Itulah sebabnya dalam tahun 1979, ketika Payeng berumur 16 tahun, dia mengambil keputusan untuk menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok sehari selagi dia masih hidup sambil meyifatkan tindakan itu sebagai membalas budi kepada alam  semulajadi. 

Padang Pasir Jadav Payeng
FOTO | Beginilah keadaan pulau itu suatu masa dahulu

Ketika itu pulau berkenaan telah terjejas teruk akibat hakisan, majoriti kawasan itu hanya diliputi oleh pasir dan sedikit kawasan semak dipenuhi rumput-rumput liar.

Kegiatan itu dimulakan dengan sukar. Payeng bukan sahaja tiada pengalaman, dia juga sukar mencari benih-benih pokok untuk ditanam. Visinya adalah untuk menanam tidak hanya satu jenis pokok, tetapi pelbagai pokok dari jenis-jenis berbeza supaya boleh menjadikan pulau itu istimewa.

Selepas bertahun-tahun mengalami masalah mendapatkan benih-benih berkenaan, halangan itu akhirnya selesai selepas pokok-pokok ditanam sebelum ini telah mula mengeluarkan benih.

Dengan adanya lebih banyak benih, Payeng kini boleh boleh menanam lebih banyak pokok pada setiap hari. Pulau itu dikelilingi oleh sebuah sungai yang mengalir, maka sumber air tidak menjadi masalah kepadanya.

Payeng telah menghabiskan banyak masa ketika mula-mula melakukan kegiatan itu. Malah dia hampir sahaja berputus asa.

"Saya tanam sendiri setiap pokok seorang diri. Ia bermula dengan begitu sukar, kerana saya tidak mempunyai sumber-sumber diperlukan, dan terpaksa menghabiskan kebanyakan masa harian saya. Kini keadaan bertambah mudah kerana saya boleh dapatkan benih-benih daripada pokok-pokok yang saya tanam bertahun-tahun dahulu," kata Jadav Payeng.

Media tidak sengaja mengetahui kisah Payeng 

Terdapat ramai orang di luar sana seperti Payeng, sanggup mengabdikan diri sepanjang hayat demi perjuangan yang mulia seperti ini, namun jarang mendapat perhatian.

Pihak media di India sebenarnya, mengetahui kisah Payeng secara tidak sengaja, susulan satu kejadian dalam tahun 2008, apabila sekumpulan lebih 100 ekor gajah-gajah liar tersesat masuk ke dalam hutan yang dicipta oleh Payeng.

Payeng telah menghubungi Jabatan Hutan bagi melaporkan tentang kumpulan gajah-gajah tersebut. Ketika itu mereka menyangka Payeng gila kerana sepanjang pengetahuan mereka tidak ada hutan di kawasan pulau berkenaan.

Semasa Jabatan hutan melakukan pemeriksaan di pulau berkenaan, masyarakat sekitar Jorhat telah memaklumkan kepada mereka tentang usaha Payeng selama ini mewujudkan hutan tersebut.

Peristiwa itu membuatkan pihak media seluruh India memburu Payeng untuk menemubualnya. Ketika itu Payeng telah dilantik secara rasmi sebagai penjaga hutan yang diciptanya di Pulau Majuli itu.

Pulau Majuli
FOTO | Kedudukan Pulau Majuli

Dalam tahun 2012 Payeng telah ditemubual oleh Times, di mana dia mengaku sebelum ini selalu memohon pertolongan, namun tiada siapa yang sudi membantu usahanya kerana mereka merasakan usaha itu sesuatu yang sia-sia.

"Kita semua sejak hari pertama dilahirkan sehingga hari kematian, tinggal di bumi ini, dan semua yang kita makan diperolehi daripada alam semula jadi," kata Payeng.

Pulau itu kini kelihatan lebih hijau berbanding sebelum ini dan menjadi habitat pelbagai hidupan liar daripada arnab sampailah haiwan pemangsa seperti harimau, malah badak pun ada.

Rusa dalam hutan Jadav Payeng
FOTO | Seekor rusa sedang mencari makanan dalam hutan ciptaan Jadav Payeng

Namun pokok-pokok yang ada di situ perlahan-lahan mula merosot dan mati kerana Payeng kini sudah semakin tua dan letih untuk mengusahakannya. Namun katanya dia akan memastikan anak keturunannya terus menyambung usahanya itu jika dia meninggal dunia.

Pesanan Payeng

Menurut Payeng, dalam salah satu sebuah temubual sebelum ini, dia bimbang memikirkan masa hadapan hutan berkenaan. Katanya, hutan itu tidak diancam oleh hidupan liar yang tinggal didalamnya, tetapi ia diancam oleh manusia yang tidak mempedulikannya, dan hanya tahu mengekploitasinya.

Tiada apa yang selamat di tangan manusia, sama ada alam semulajadi ataupun hidupan liar, kedua-duanya akan menjadi mangsa kata Payeng.

Ini kerana ramai di kalangan kita merupakan masyarakat yang tidak peduli dengan alam sekitar. Kita patut malu dengan orang seperti Payeng yang tidak mengharapkan apa-apa upah, cukup sekadar dapat hidup dalam alam semulajadi yang lebih baik.

Saya sering melihat sikap tidak peduli di kalangan rakan-rakan tentang isu alam sekitar, antara yang menjadi hujah mereka: "Buat apa peduli dengan alam sekitar, sampai masa nanti aku pun akan mati,"

Namun mereka tidak pernah berfikir tentang generasi terdahulu yang sanggup bersusah payah menjaga alam sekitar untuk generasi masa hadapan.

Teringat saya dengan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Warren Buffet:

"Seseorang berteduh di bawah bayang hari ini, kerana ada seseorang yang telah menanam pokok satu masa dahulu," — Warren Buffet.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan