Pasport vaksin untuk rakyat Malaysia sudah divaksinasi

KERAJAAN Malaysia dilapor akan mengeluarkan pasport vaksin untuk dijadikan bukti pengesahan bawa seseorang individu itu sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Menteri Kesihatan Adham Baba, langkah itu sedang dikaji oleh Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Sains teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Katanya buat masa ini, dua kaedah untuk menunjukkan seseorang telah menerima suntikan vaksin iaitu paparan dalam aplikasi MySejahtera dan dokumen fizikal dalam bentuk pasport yang boleh diterima di negara lain.

vaksin

Adham berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Kerajaan kini dilapor sedang memuktamadkan penggunaan dokumen vaksin bagi membenarkan mana-mana individu tiba di lapangan terbang tidak perlu dikuarantin jika sudah mempunyai rekod vaksinasi.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, perbincangan sudah diadakan tentang keperluan dokumen bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin.

Menurut Wee Ka Siong, wakil dari negara jiran  Singapura sudah bertemu dengannya untuk menentukan sama ada kedua-dua negara boleh membuat perakuan bersama.

"Hal ini sudah kita bincangkan di bawah Wisma Putra supaya dapat menerima satu dokumen yang boleh diterima negara serantau,"

"Rundingan sedang berjalan dan kita akan buat tindakan susulan," katanya dalam sidang media yang sama.

Dokumen itu menurutnya mampu mengembalikan sektor penerbangan Malaysia dan serantau, kerana terjejas teruk sebelum ini akibat sekatan penerbangan keluar masuk disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Immunitee Health Passport dari Malaysia dilapor bekerjasama dengan Affinidi dari syarikat Temasek, Singapura bagi menyediakan pasport kesihatan pertama dan diterima di Singapura menerusi platform digital Unifier Affinidi.

Sistem pasport itu akan menyimpan rekod imunisasi peribadi dan data vaksin, bagi membantu memudahkan proses pemeriksaan pengguna ketika merentasi sempadan antara negara.

Sistem itu juga memastikan perlindungan data dan keselamatan menerusi blockchain seterusnya mengesahkan ketulenan ujian dan vaksin Covid-19.

Sejak awal bulan lalu lagi Arab Saudi sudah melancarkan program pasport kesihatan bagi memudahkan pihak berkuasa memantau mereka yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan