Sejarah perang paling lama, tapi tiada seorang pun terkorban

TIGA puluh batu (48km) dari arah barat daya pantai England terletak Isles of Scilly. Kepulauan tenang dan santai itu tidak mempunyai apa-apa melainkan pemandangan cantik, lembah dan jurang terbuka di pinggir perairannya. Daripada 150 pulau, hanya lima didiami oleh manusia, manakala selebihnya menjadi habitat burung-burung, anjing laut, dan bunga-bunga liar.

Meskipun jumlah populasinya tidak begitu ramai, Scilly pernah berperang dengan belanda dalam tahun 1651, dan perang itu nantinya akan berterusan sampai ke tahun 1986.

Semuanya bermula dengan Perang Saudara di England. Rakyat negara itu berperang antaranya disebabkan perbalahan tentang siapa lebih berkuasa parlimen atau raja. Negara Belanda pula pada ketika itu memantau secara dekat dari seberang laut. Kedua-dua negeri itu memang mempunyai sejarah lampau dan bermakna.

Kedua-dua negara itu pernah bersama-sama menentang Hadsburgs dan berjuang melawan angkatan laut Sepanyol. Malah England juga pernah membantu Belanda semasa Perang bagi mendapatkan kemerdekaan. 

Namun Belanda tidak peduli dengan segala memori itu, sebaliknya memilih berpihak kepada para pendukung parlimen. Golongan penyokong monarki, jika diingati kembali saat indah mereka pernah bersama, ternyata sangat mengecewakan.

Bagi menunjukkan pendirian mereka, British telah mula menyerang kapal-kapal belanda ketika berlayar melalui Selat Inggeris. Tentu sekali pihak Belanda tidak akan mengambil ringan serangan itu. Mereka memang terkenal cemerlang di dalam dominasi perdagangan maritim, pasti akan mengekalkan reputasinya.

Selain itu England telah mengharamkan kapal-kapal asing daripada berlayar melalui jajahan British. Serangan itu sekaligus menjejaskan pelbagai urusan dan perdagangan kapal-kapal Belanda.

Apa kaitan ini semua dengan Isles of Scilly?

Dalam tahun 1651, kejayaan Oliver Cromwell dan para pendukung parlimen telah memaksa golongan monarki berundur ke kubu terakhir mereka di Cornwall.

Kepulauan Scilly ketika itu dilihat sebagai tempat paling strategik menempatkan angkatan tentera laut pendukung monarki. Tambahan pula, Gabenor kepulauan itu, Sir John Grenville merupakan penyokong kuat monarki dan kawan baik kepada raja England. 

Saat itu, Belanda melihat situasi itu sebagai peluang terbaik mendapatkan kembali kerugian mereka sebelum ini. Lebih-lebih lagi Grenville diketahui melindungi kumpulan-kumpulan bersenjata yang bertanggung jawab merompak kapal-kapal Belanda sebelum itu.

Maka Laksamana Maarten Harpertszoon Tromp telah datang bersama 13 buah kapal perang menuntut ganti rugi. Greenville ketika itu telah menyerahkan beberapa orang tawanan, namun enggan memulangkan kargo dan kapal-kapal dirampas sebelum ini. Semuanya telah dijual, manakala hasil jualannya telah habis dibelanjakan.

Armada Laut Belanda
FOTO | Armada Laut Belanda

Lantaran tuntutannya tidak dipenuhi, Laksamana Maarten Harpertszoon Tromp tiada pilihan lain, segera mengisytiharkan perang ke atas Isles of Scilly pada 30 Mac 1651.

Laksamana itu mungkin sudah lama ternanti-nanti untuk menyerang British, tinggal lagi, belum pernah mendapat peluang seperti itu. Namun tiba-tiba orang-orang Cromwell pula muncul melarangnya.

"Kami sendiri akan hapuskan golongan diraja itu, terima kasih banyak," kata mereka kepada Maarten. Pertempuran itu hanya berlangsung selama 3 bulan. Peperangan tamat, dan laksamana itu berlalu pergi dengan hanya melepaskan satu tembakan, namun tidak pernah mencederakan sesiapa.

Ketika itu dia terlupa untuk mengisytiharkan berdamai dengan kepulauan itu. Mungkin kerana terlalu sibuk, perkara seperti itu kadangkala boleh terlepas pandang. 

Masa berlalu begitu pantas, dan semua orang telah melupakan kisah perang antara Kepulauan Scilly dengan Belanda. Malah kisah itu telah berubah menjadi sebuah lagenda diceritakan hanya kepada kanak-kanak, sehingga tiada siapa pun tahu membezakan antara kisah fiksyen dan realiti.

Sehinggalah tahun 1985

Seorang ahli sejarah Scilly bernama One Roy Duncan telah mengambil keputusan untuk menyelidik kebenaran sebenar tentang sejarah itu. Toy Duncan telah menghantar surat kepada Kedutaan Belanda di London dengan soalan "Mungkinkah Scilly masih lagi berperang dengan Belanda?"

Selepas melakukan penggalian maklumat, akhirnya kebenaran terbongkar. Memang betul, kedua-dua negara itu masih berperang. Duta Belanda ketika itu, Rein Huydecoper segera dihubungi dan dijemput datang ke Scilly untuk menjalankan rundingan gencatan senjata.

Huydecoper telah menerima jemputan itu, dan pada 17 April 1986, selepas 335 tahun mereka mengistiharkan berdamai scara rasmi. Perang paling panjang dalam sejarah akhirnya tamat. Tidak ada satu nyawa pun dicatatkan terkorban.

Jika suatu hari nanti anda melawat kepulauan Scilly, jangan lupa singgah di Council Chambers terletak di Hugh Town, dalam pulau St Marys. Di sana anda boleh melihat sendiri skrol pengisytiharan secara rasmi tamatnya perang paling lama dalam sejarah.

Rujukan historic-uk.com | nytimes.com

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan