Perang pelik, siang hari berbunuhan, malam minum arak dan mabuk bersama

DALAM banyak-banyak kejadian perang yang berlaku dalam dunia, perang antara Moldova dan Transnistria ini antara paling pelik dalam sejarah dunia. Mana tidaknya, siang hari mereka saling berbunuhan, tapi di malam hari mereka minum arak dan mabuk bersama.

Perang Transnistria

Asal usul Maldova dan Transnistria

Dalam tahun 1990, Moldova telah berpisah daripada Soviet Union dan mengisytiharkan wilayah itu merdeka daripada jajahan Rusia. Negara baru itu mahukan hubungan lebih rapat dengan Romania dan negara-negara barat lain di kejiranannya.

Moldova pada asalnya dikenali sebagai wilayah Bessarabia, terletak dalam negara Romania. Penduduk wilayah itu kebanyakannya bertutur dan mengamalkan budaya Romania. Dalam erti kata lain majoriti penduduk merupakan orang-orang Romania

Sampailah selepas perang dunia pertama, Soviet Union dalam tahun 1940 telah menakluk dan menyusun semula wilayah Bessarabia sebelum menukar namanya kepada Republik Sosialis Soviet Moldova, atau singkatan Moldova SSR.

Namun ketika Soviet Union menubuhkan Moldova SSR, sebuah wilayah autonomi di Ukraine iaitu Dniester turut digabungkan sekali dalam republik baru itu. Dniester terdiri daripada majoriti penduduk berbangsa Ukrain dan Rusia

Maka penggabungan itu bakal menjadi punca perbalahan etnik di masa hadapan.

Pada penghujung tahun 1980 an, ketika kemerosotan kerajaan Soviet Union, jelas sekali Moldova SSR mengalami masalah identiti, kerana penduduknya terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik, sekaligus sukar untuk hidup secara harmoni dan aman damai.

Penduduk berbangsa Rusia dan Ukrain di Dniester merasa tidak selesa dengan semangat nasionalis warga Moldova yang mahu bergabung semula dengan Romania.

Dalam tahun 1989, satu undang-undang baru digubal mengiktiraf Moldova sebagai bahasa rasmi Moldova SSR, sekaligus menambahkan lagi ketegangan etnik yang sedia ada.

Undang-undang itu mewajibkan semua warganegara berjawatan bertutur dalam bahasa Moldova kepada pelanggan, membuatkan bangsa Ukraine dan Rusia di Wilayah Dniester rasa dianaktirikan.

Justeru Dniester mengisytiharkan wilayah itu keluar daripada Moldova SSR dalam bulan September 1990, dan dikenali sebagai Republik Trans-Dniester.

Setahun kemudian, secara rasminya kerajaan Soviet Union runtuh dan tidak wujud lagi. Maka Moldova SSR pun mengisytiharkan kemerdekaan seterusnya dikenali sebagai Moldova.

Dalam masa yang sama Republik Trans-Dniester turut mengisytiharkan kemerdekaan, serta mengubah namanya kepada Transnistria.

Bermula dari peristiwa itu maka wujudlah dua buah negara yang dikenali sebagai Moldova dan Transnistria.

Bagaimana perang bermula?

Selepas perang dunia kedua, Transnistria (ketika itu masih lagi dikenali sebagai Dniester) merupakan wilayah industri yang sangat maju.

Meskipun penduduknya hanya mewakili 17 peratus populasi keseluruhan Soviet Union, namun ia menyumbang sehingga 40 peratus GDP tahunan Soviet Union.

Manakala negara yang baru mencapai kemerdekaan iaitu Moldova, meskipun mempunyai populasi lebih ramai (3.6 juta penduduk) adalah sebuah negara miskin. Justeru Moldova cuba untuk mendapatkan kembali Wilayah Transnistria sekaligus mencetuskan peperangan antara kedua-dua negara.

Sepanjang tahun 1990 hingga 1991 berlaku pertempuran di antara tentera Moldova dan puak pemberontak Transnistria.

Dalam tahun 1992, perang sebenar meletus selepas tentera Rusia mula melatih dan membekalkan senjata kepada pemisah Transnistria.

Namun peperangan ini tidak seperti peperangan lain pernah berlaku dalam sejarah dunia. Kedua-dua belah pihak hanya berperang pada waktu siang, namun pada waktu malam mereka akan berkumpul bersama-sama untuk minum arak dan berparti.

Mereka saling berkawan dengan musuh, malah mereka juga turut membuat perjanjian supaya tidak menembak antara satu sama lain keesokan harinya.

Salah seorang individu terlibat dalam pertempuran itu pernah berkata: 

"Perang itu seperti sebuah parti mengarut. Pada waktu siang kami bunuh musuh kami, pada waktu malam kami minum arak bersama mereka. Betapa peliknya perang itu,"

Sebab itu jugalah perang itu digelar sebagai "Drunken War" (Perang kaki mabuk).

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan