Projek rahsia CIA pasang perakam dan latih kucing jadi perisik

MESKIPUN kucing terkenal sebagai haiwan yang sukar mendengar arahan, namun Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) percaya dengan latihan bersesuaian, haiwan kesayangan itu boleh dilatih menjadi perisik.

Projek rahsia CIA dikenali sebagai "Acoustic Cat" atau "Acoustic Kitty" itu memanipulasi sifat 'ingin tahu' kucing dengan memasang alat perakam suara, supaya ia boleh menyelinap tanpa disedari oleh pihak musuh.

Isyarat audio pula digunakan bagi mengawal 'kucing-kucing perisik' terlatih untuk pergi ke lokasi tertentu bagi mengintip perbualan rahsia pemimpin-pemimpin Soviet di dalam Kedutaan Russia di Washington.

spying cat

Ketika kemuncak Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Russia, kucing-kucing berkenaan dibedah, dan dipasang alat perakam di dalam badannya menggunakan kuasa bateri, kata Victor Marchetti ketika itu pernah bertugas sebagai penolong eksekutif Pengarah CIA.

Menurut Jeffrey Richelson dalam bukunya berjudul The Wizards of Langley pula, ekor haiwan itu dijadikan sebagai antena untuk menerima isyarat daripada gelombang radio.

Namun projek "Acoustic Kitty" tidak berjalan semudah itu. Dalam tahun 1960-an, CIA telah membelanjakan sejumlah US$10 juta dan mengambil masa selama lima tahun untuk mereka cipta, dan melatih Acoustic Kitty pertama.

Lagipun, tugas untuk menghasilkan seekor kucing berteknologi tinggi bukan mudah lebih-lebih lagi di zaman itu komputer masih primitif meskipun saiznya meliputi sebuah bilik. Tambahan pula suara hanya boleh disimpan dalam pita rakaman.

Kucing yang dilatih sebagai perisik pula mestilah kelihatan sama seperti kucing-kucing lain. Jika tidak pasti menimbulkan kecurigaan pihak musuh.

Bagi tujuan itu, CIA telah memasang alat pemancar sepanjang 3/4 inci dipasang dalam tengkorak kucing berkenaan. Pada awalnya mereka sukar untuk meletakkan microfon, akhirnya lubang telinga kucing dipilih sebagai lokasi terbaik.

Antena pula diperbuat daripada wayar halus dan gentian dianyam menjulur ke bahagian ekornya tersembunyi di sebalik bulu panjang kucing berkenaan.

Disebabkan saiz kucing yang kecil, mereka terpaksa menggunakan bateri paling kecil juga, sekaligus tempoh masa rakaman begitu terhad sebelum peranti itu kehabisan tenaga.

Ujian telah dijalankan terlebih dahulu menggunakan replika dan kucing sebenar, sebelum projek itu dianggap sedia untuk dilaksanakan. Maka terhasilah seekor Acoustic Kitty.

Namun masih ada beberapa masalah yang timbul, antaranya Acoustic Kitty tidak lebih seperti seekor kucing normal yang berteknologi tinggi. Justeru kucing itu tidak mendengar arahan, dan akan melakukan apa sahaja mengikut kemahuannya.

Di luar makmal, Acoustic Kitty tak boleh dikawal, ia berkeliaran ke mana sahaja bila merasa bosan, dan perhatiannya begitu mudah terganggu. Satu lagi masalah besar ialah, ia selalu merasa lapar.

Maka pembedahan dan latihan lanjut terpaksa dilakukan, dengan menelan belanja keseluruhan sehingga US$20 juta. Selepas itu barulah Acoustic Kitty sedia untuk menjalankan tugasnya di dunia sebenar.

Ketika Acoustic Cat menjalankan misi sulungnya, ejen CIA yang terlibat telah melepaskannya dari belakang sebuah van dan melihatnya dari kejauhan. Kucing itu menuju ke arah kedutaan sejauh kira-kira sepuluh kaki sebelum tiba-tiba dilanggar oleh sebuah teksi dan mati ditempat kejadian.

Dalam tahun 1967, CIA akhirnya terpaksa menghentikan projek berkenaan. Berdasarkan sebuah dokumen dalam arkib George Washington University, CIA membuat kesimpulan bahawa meskipun begitu banyak "tenaga dan imaginasi" dicurahkan untuk projek itu, daripada para petugas terlibat, ia "nampaknya tidak praktikal," untuk meneruskan latihan kucing sebagai perisik.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan