Saintis berjaya 'hidupkan semula' haiwan yang telah mati 30 tahun lalu

SAINTIS Amerika Syarikat dilaporkan berjaya 'hidupkan semula' salinan atau duplikasi haiwan yang telah mati sejak 30 tahun lalu iaitu seekor musang berkaki hitam menerusi teknologi pengklonan DNA.

Haiwan itu diberi nama Elizabeth Ann, dan telah dilahirkan pada 10 Disember tahun lalu. Namun pengumuman tentang kelahirannya baru dilakukan pada hari Khamis lalu. Difahamkan haiwan itu mempunyai sikap yang sangat agresif.

Elizabeth Ann
FOTO | Elizabeth Ann dilahirkan hasil pengklonan DNA

Elizabeth Ann telah dilahirkan dan dibesarkan di fasiliti ternakan musang berkaki hitam di Fish and Wildlife Service terletak di Fort Collin, Colorado. Salinan genetik haiwan itu diperolehi daripada seekor musang bernama Willa yang telah mati pada tahun 1988 di mana bangkainya telah dibekukan ketika pengetahuan teknologi DNA masih di peringkat awal.

Kaedah pengklonan akhirnya terbukti boleh menghidupkan semula spesies tertentu seperti merpati berekor panjang yang telah pupus di Amerika Syarikat. Buat masa ini, teknik itu memberi harapan untuk membantu mengekalkan spesies terancam.

Haiwan itu telah dilahirkan daripada seekor ibu tumpang pada bulan Disember dan para penyelidik berharap, ia akhirnya akan mengawan dan membantu menyelamatkan spesies itu daripada jurang kepupusan.

Musang-musang berkaki hitam merupakan salah satu haiwan paling terancam di Amerika Utara. Spesies itu pernah diisytiharkan pupus dalam tahun 1976, namun sekumpulan penternak di wilayah pergunungan Wyoming menemui populasi kecil haiwan itu dalam tanah mereka dua tahun kemudian. Mereka kemudiannya mengusahakan satu program pembiakan.

Semua musang-musang berkaki hitam masih hidup hari ini adalah keturunan dari 7 ekor nenek moyangnya sekali gus memberikan cabaran genetik unik bagi mengekalkan kelangsungan hidup. Kelahiran Elizabeth Ann memberi harapan baru di dalam usaha untuk meningkatkan jumlah spesies itu, kerana anak-anak bakal dilahirkan nanti sepatutnya memberikan diversiti genetik kepada spesies itu.

"Tanpa satu jumlah diversiti genetik yang perlu, suatu spesies itu seringkali terdedah kepada penyakit dan genetik tidak normal,"

"Kajian genomik telah menunjukkan nilai genetik boleh diturunkan oleh Willa kepada spesiesnya," kata Ryan Phelan, pengarah eksekutif organisasi pemeliharaan Revive & Restore yang terlibat dengan projek tersebut.

"Melihatnya kini membesar memberi petunjuk kepada era baru untuk spesiesnya dan mana-mana spesies yang bergantung kepada pemuliharaan. Ia menunjukkan kemenangan kepada biodiversiti dan pemeliharaan genetik,"

Kelahiran Elizabeth Ann membangkitkan semula pencapaian tahun 1996, ketika lahirnya seekor kambing biri-biri bernama Dolly, iaitu mamalia pertama diklonkan daripada sel-sel seekor haiwan dewasa.

Menurut National Human Genome Research Institute, sejak hari tu, kucing, rusa, anjing, kuda, keldai, arnab, dan pelbagai mamalia lain telah diklonkan. Namun setakat ini, potensi dan kelemahan hasil kaedah pengklonan masih kekal samar.

Musang musang berkaki hitam telah ditambahkan dalam senarai haiwan-haiwan diklonkan, kerana jumlah populasinya yang sangat sedikit. Haiwan itu sangat hampir kepada kepupusan, di mana sekitar 120 ekor spesies itu telah disuntik dengan vaksin Covid-19 pada bulan Disember.

Penyelidik tidak akan melepaskan Elizabeth Ann ke dalam persekitaran liar, sebaliknya pakar akan terus menjaganya dan melakukan kajian di FWS Colorado.

Pasukan itu kini dalam usaha untuk menghasilkan lebih banyak klon-klon musang berkaki hitam dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada usaha kajian mereka.

Sumber | cnn.com

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan