Segitiga Bermuda dan misteri hilangnya kapal serta pesawat melintasinya

TIDAK dapat dinafikan laut Segitiga Bermuda merupakan kawasan paling misteri dan penuh dengan teka-teki di Lautan Atlantik. Selain itu, jauh di dalam perut buminya, terdapat pusaran inti lebur yang berpusar tepat di bawah pusat Segitiga Bermuda.

Manakala bahagian magnetosfera tinggi di atas langit wilayah Segitiga Bermuda sering berubah-ubah begitu cepat berbanding kawasan lain di muka bumi. 

Namun ciri-ciri unik ini tidak ada kaitan dengan misteri kehilangan banyak pesawat dan kapal-kapal yang melalui lautan terbuka di Segitiga Bermuda. Seringkali kapal-kapal dan pesawat berkenaan ghaib secara tiba-tiba dikaitkan dengan keadaan cuaca pelik, kekhilafan manusia, kegagalan elektrik dan mekanikal kenderaan, serta banyak lagi keganjilan yang dikatakan berlaku apabila memasuki wilayah dianggap "berhantu" itu. Sampaikan ia digelar "The devil triangle" atau "Segitiga syaitan".

Wilayah Segitiga Bermuda
FOTO | Wilayah Segitiga Bermuda "The Devil's Triangle"

Sejarah kapal dan pesawat hilang di Segitiga Bermuda

Sekurang-kurangnya 1,000 nyawa telah terkorban di kawasan itu sejak 100 tahun lalu. Secara purata sejumlah 60 buah kapal dan 5 pesawat ghaib di Segitiga Bermuda setiap tahun. Malah pernah berlaku satu peristiwa dicatatkan dalam sejarah, di mana 5 buah kapal terbang tiba-tiba ghaib dalam satu kejadian, menjadikan ia peristiwa kemalangan paling popular di Segitiga Bermuda.

Flight 19 merupakan sekumpulan 5 buah pesawat pengebom Grumman TBM Avenger yang hilang ketika melintasi Segitiga Bermuda pada 5 Disember 1945, selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan Tentera Laut Amerika Syarikat ketika menjalankan latihan sejurus berlepas dari Kubu Stesen Udara Tentera Laut, terletak di Lauderdale, Florida.

Susulan kejadian itu, satu misi menyelamat terdiri daripada 13 kakitangan Maritim PBM telah dilancarkan, namun mereka juga hilang tanpa jejak. Lebih memburukkan lagi keadaan, para penyelidik tidak dapat menentukan apa sebenarnya punca Flight 19 tiba-tiba boleh hilang. Selain itu tiada sebarang bangkai pesawat ditemui, meskipun usaha mencari secara meluas telah dijalankan.

Begitu banyak kejadian kapal-kapal karam dan menjunam dan ditelan ke dalam dasar laut oleh pelbagai peristiwa ganjil, dan tidak dapat ditemui sampai ke hari ini. Justeru wilayah segitiga itu bagaikan menjadi kuburan luas bangkai-bangkai kapal karam sejak berabad-abad lamanya, sejak manusia kali pertama menggunakan kompas sebagai penunjuk arah dalam pelayaran.

Punca pesawat dan kapal hilang di Segitiga Bermuda

Wilayah Segitiga Bermuda mempunyai sejarah panjang menceritakan bagaimana perkakas dan peranti elektrik tiba-tiba tidak berfungsi.

Antara penjelasan diberikan ialah, Segitiga Bermuda dianggap sebagai kawasan 'periuk api' terdiri daripada hidrat metana yang boleh meruap menjadi kepulan awan bergas, dan mampu meragut pesawat di langit atau menarik kapal-kapal ke dalam dasar lautnya tanpa amaran disebabkan oleh aktiviti pergerakan sismik di bawah permukaan laut.

Selain itu Kepulauan Bermuda terletak di atas rekahan tinggi gunung berapi terhasil daripada terumbu batu kapur bergerigi. Seluruh kawasan itu dipenuhi berpuluh bilion tan galian magnet, sekaligus boleh menarik serta mengganggu jarum kompas daripada kekal menunjuk ke arah utara, punca karamnya banyak kapal-kapal di situ. 

Terdapat juga beberapa alasan lain menjadi punca ghaibnya kapal-kapal di kawasan laut antara Florida dan Puerto Rico, antaranya ribut petir dan taufan juga tidak kurang bahayanya kepada kapal dan pesawat. Contohnya dalam tahun 1986, kejadian ribut telah menenggelamkan Kapal Pride of Baltimore, yang tiba-tiba hilang dari radar pada jarak 240 batu dari Puerto Rico.

Begitu juga dengan Taufan Atlantik berasal dari pantai Afrika, yang menerima tenaga dari perairan panas tropika. Taufan ini menuju ke Amerika, secara berlapis-lapis dan bertindan melintasi Segi tiga Bermuda, dikenali sebagai "Taufan Alley". Di kawasan ini pergolakan angin diperkuatkan lagi dengan pemanasan global seterusnya menyebabkan taufan-taufan dahsyat sering muncul dan menenggelamkan lebih banyak kapal-kapal di Segitiga Bermuda.

Asal-usul mitos dan lagenda Segitiga Bermuda

Meskipun puting beliung, ombak besar dan pelbagai fenomena sudah wujud sejak berabad lamanya di Lautan Atlantik, namun mitos dan lagenda melingkari Segi tiga Bermuda sebenarnya hanya muncul baru-baru ini. Segalanya dipercayai bermula pada bulan September 1950, selepas satu artikel diterbitkan dalam The Miami Herald tulisan Edward Van Winkle Jones.

Artikel itu menyebut tentang misteri kehilangan di kawasan Bermuda buat kali pertama dalam sejarah. Inilah punca tercipta lagenda dan mitos tentang Segitiga Bermuda sekaligus menimbulkan tanda tanya dan teka-teki kepada orang ramai. 

Dua tahun kemudian majalah Fate pula menerbitkan artikel berjudul "Sea Mystery at Our Back Door," ditulis oleh George Sand yang melaporkan tentang kehilangan beberapa buah pesawat dan kapal-kapal termasuk pesawat Flight 19. Lebih penting lagi, artikel itulah yang mula-mula sekali memperkenalkan kawasan tiga segi di mana kehilangan itu berlaku.

Beberapa tahun kemudian dalam bulan Februari 1964, Vincent Gaddis menulis sebuah artikel berjudul "The Deadly Bermuda Triangle" di muka depan Majalah Argosy. Gaddis menyifatkan Flight 19 dan pelbagai kejadian kehilangan sebelum itu sebagai peristiwa ganjil di kawasan tersebut.

Artikel Gaddis Argosy memperincikan sempadan-sempadan segitiga itu, menjadikan Florida, Puerto Rico dan Bermuda sebagai bucu-bucunya. Tahun seterusnya, Gaddis mengembangkan lagi artikel ini ke dalam sebuah buku bertajuk "Invisible Horizons" atau "Horizon Halimunan". 

Namun apa yang jadi persoalan, ada penulis-penulis lain yang memberikan sempadan dan bucu-bucu berbeza dengan perbezaan luas kawasan dari 500,000 hingga 1,500,000 batu persegi.

Maka walaupun tidak semua orang bersetuju di mana lokasi sebenar Segitiga Bermuda, namun tidak ada siapa yang mengkritik kedudukannya atau bagaimana ia dipetakan. Bermacam imaginasi dan hipotesis digunakan sebagai usaha memberikan penjelasan terhadap kehilangan-kehilangan sebelum ini, termasuk penculikan makhluk asing, kewujudan portal antara dimensi, lompatan masa, dan raksasa laut.

Namun seringkali tidak ada satupun penjelasan tuntas untuk mengetahui apa sebenarnya yang sudah berlaku. Namun kita perlu pandai membezakan mana satu kebarangkalian mungkin berlaku, dan yang mana sekadar imaginasi tidak berasas.

Kembali semula kepada penulisan George Sand sebelum ini untuk seketika, dia merupakan orang pertama yang mencadangkan berlakunya unsur ghaib terhadap peristiwa hilangnya pesawat dan kapal sebelum ini, dan jelas sekali tidak berasas pada pendapat saya. Malah sama sahaja tak masuk akal dengan teori penculikan makhluk asing.

Ribuan pesawat melintasi Segitiga Bermuda setiap hari

Selalu kita dibayangkan seolah-olah kawasan Segitiga Bermuda sebagai kawasan larangan, dan tidak boleh dilintasi oleh kapal-kapal atau pun pesawat di ruang udaranya. Kita juga dibayangkan kononnya tidak ada manusia yang berani melintasi kawasan itu.

Jika ada pesawat yang melintasi wilayah 'Segitiga Syaitan' itu kononnya ia pasti akan ghaib ditelan laut. Namun hakikat sebenarnya, setiap hari ratusan malah ribuan pesawat melalui wilayah "berhantu" itu tanpa sebarang masalah.

Sebagai contoh ketika artikel ini ditulis, saya telah membuat semakan menerusi laman sesawang Flight Radar 24, yang menunjukkan pergerakan pesawat seluruh dunia pada masa sebenar (real time).

Laluan pesawat di Segitiga Bermuda
FOTO | Ribuan kapal terbang melintas Segi Tiga Bermuda setiap hari

Pada detik ini sahaja pun, hampir 20 pesawat sedang melintasi Segitiga Bermuda. Pesawat-pesawat ini melintasinya tanpa sebarang masalah, kerana jika ada pasti berita kehilangannya akan tersebar ke seluruh dunia.

Bayangkan semasa pandemik Covid-19 seperti hari ini pun, begitu banyak pesawat melintas di atas ruang udara Segitiga Bermuda. Apa lagi ketika hari biasa, tentu sekali lebih banyak pesawat-pesawat yang melintasi wilayah itu.

Ribuan kapal melintasi Segitiga Bermuda setiap hari

Saya juga telah membuat carian di laman sesawang Marine Traffic yang menunjukkan pergerakan pelbagai jenis kapal-kapal pada masa sebenar di seluruh dunia.

Ribuan kapal melintasi Segi Tiga Bermuda
FOTO | Ribuan kapal-kapal melintasi Segi Tiga Bermuda setiap hari

Anda boleh lihat sendiri, ketika artikel ini ditulis sahaja pun, lebih 100 buah kapal sedang melintasi laut Atlantik di dalam wilayah Segitiga Bermuda, tanpa sebarang masalah.

Jika Segitiga Bermuda benar-benar 'berhantu' atau merupakan 'segitiga syaitan' seperti yang digambarkan kepada kita selama ini, sepatutnya tidak ada langsung kapal-kapal yang berani memasuki wilayahnya.

Kesimpulannya pada perkiraan saya, cerita-cerita dan teori-teori konspirasi serta misteri tentang Segitiga Bermuda tidak lebih sekadar imaginasi dan kisah fantasi yang sengaja direka cipta untuk melariskan buku atau jualan akhbar.

Jika anda mempunyai pendapat atau info lanjut tentang perkara ini, sila tinggalkan ulasan pada ruangan komen di bawah.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan