Sejarah Jepun sebarkan wabak bubonik ke China

KEHEBATAN tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua tidak banyak dibincangkan, meskipun mereka menggunakan pelbagai taktik dan strategi luar biasa dalam peperangan. 

Sukar kita bayangkan, bagaimana sebuah negara kecil, mampu menyerang dan memberi impak begitu besar ke atas negara paling besar dalam dunia seperti China.

Konflik di antara negara Jepun dan China bermula dalam tahun 1937 susulan peristiwa di Jambatan Macro Polo berlanjutan sehingga mencetuskan peperangan di antara kedua-dua buah negara.

Jika kita teliti dari segi masa tercetusnya peperangan itu, memang saat terbaik untuk Jepun bertindak kerana ketika itu Jerman sudah memulakan kekacauan di dunia barat.

Saintis Jepun Unit 731

Meskipun negara China mempunyai populasi paling besar di dunia, ketika itu ia sedang pulih dari kesan perang saudara, justeru tahap persediaan tentera negara itu tidak boleh dianggap cukup kuat bagi sebuah negara yang paling ramai penduduk di dunia. Tambahan pula, China masa itu lebih menumpukan pembangunan ekonomi berbanding persediaan ketenteraan.

Manakala Jepun pula sedang berada dalam situasi sebaliknya, mereka memang memerlukan peperangan bagi mendapatkan lebih banyak sumber untuk membangunkan negara.

Namun sebenarnya sumber manusia turut memainkan peranan besar. Ketika Perang Dunia Kedua, tentera Jepun mempunyai senjata dan teknologi cukup canggih berbanding negara lain, namun tidak memiliki cukup jumlah tentera untuk melaksanakan pelan penjajahan.

Menggunakan serangan senjata biologi

Ketika itulah Maharaja Jepun merangka strategi tertentu untuk mempercepatkan proses kemenangan dalam Perang China-Jepun Kedua.

Apa yang menarik masa itu, bagaimana maharaja Jepun melihat peperangan dari satu perspektif berbeza dalam tahun 1938, di mana dia tidak melihat senjata api dan serbuk peledak sahaja boleh menjadi alat membunuh.

Sebaliknya, Jepun menggunakan kelebihan yang ada pada Negara China sendiri untuk mengalahkannya iaitu kelebihan "sumber manusia" 

Pada masa itu Jepun melihat peluang untuk menyebarkan penyakit mudah berjangkit di wilayah paling padat penduduk, bagi mempermudahkan usaha mereka dalam Perang China-Jepun Kedua untuk mengalahkan China secara efektif.

Maka para penyelidik Jepun diketuai oleh Lt. Gen. Shiro Ishii dalam operasi dikenali sebagai Unit 731 menggunakan kutu dan hama perosak mengandungi wabak bubonik, membawa kepada jangkitan penyakit buatan paling dahsyat dalam sejarah manusia disebabkan oleh bakteria Yersinia pestis.

Kaedah yang digunakan ialah dengan menyebarkan kuman, kutu-kutu dan hama perosak di bandar-bandar utama China, menggunakan pesawat-pesawat pengebom yang terbang pada altitud rendah untuk menyelerakkan senjata biologi mengandungi bubonik, kolera, antrak dan penyakit-penyakit lain kepada seluruh wilayah sasaran.

Tugas itu diserahkan kepada Tentera Udara Maharaja Jepun. Mereka menggunakan pesawat-pesawat seperti Mitshubishi G3M untuk menyebarkan serangga itu di pelbagai kawasan di China, dengan memilih kawasan yang paling ramai dan padat penduduk supaya jangkitan wabak dapat berjalan dengan lebih pantas.

Peswat Perang Jepun Sebarkan Wabak

Sebilangan ahli sejarah berpendapat strategi menggunakan wabak bubonik tidak begitu berkesan seperti yang diharapkan oleh Jepun. Ini kerana negara China pernah berdepan dengan wabak itu ketika abad ke 17 dahulu, justeru ramai di kalangan rakyatnya yang sudah imun terhadap bubonik.

Dalam tahun 1940, lebih 30 serangan dilakukan oleh Jepun untuk menyebarkan serangga-serangga perosak berkenaan, dan di penghujung tahun yang sama, muncul epidemik di bandar-bandar besar mengorbankan lebih 50,000 penduduk.

Serangan itu berakhir sehingga tahun 1941, namun epidemik terus merebak walaupun selepas tamat Perang Dunia Kedua, kerana kerja-kerja pembasmian hanya mampu disiapkan dalam tahun 1947. 
Dalam tahun-tahun sebelum itu sejumlah 270,000 orang dilaporkan maut akibat wabak bubonik.

Agak menyedihkan apabila Perang China-Jepun Kedua tidak begitu mendapat perhatian, kerana ia berlaku serentak dengan Perang Dunia Kedua dan tidak ramai orang sedar tentang insiden kejam ini.

Kalau kita lihat serangan ini sangat tidak berperikemanusiaan. Serangan seperti ini tidak dapat mensasarkan siapa mangsa, justeru ramai orang awam tidak kira umur dan latar belakang menjadi korban. Mereka terseksa sebelum mati.

Keadaan dunia yang sedang huru-hara ketika itu juga menyumbang kepada kematian lebih tinggi. Sebenarnya pada tahun 1937, antibiotik sudah ditemui dan sangat berkesan melawan wabak bubonik.

Antibiotik pertama dicipta dikenali sebagai penisilin yang ditemui oleh Alexander Fleming, seorang saintis British dalam tahun 1928. Namun disebabkan keadaan dunia yang huru hara semasa Perang Dunia Kedua, tidak ada siapa pun mempedulikan keadaan rakyat China sedang sengsara akibat serangan senjata biologi Jepun.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan