Uaso Umoja, lelaki diharamkan masuk kampung ini

MATRIAKI adalah istilah sistem sosial di mana peranan utama kepimpinan, seperti peranan politik, rumahtangga, malah hak untuk memiliki harta diurus dan dikuasai oleh kaum wanita.

Selalunya dalam budaya masyarakat seperti ini, ibu atau wanita paling tua dalam keluarga akan menjadi ketua keluarga. Dalam erti kata lain dalam bangsa atau budaya seperti ini, wanita dipilih sebagai pemimpin, dan wanitalah yang memerintah dunia.

Dalam artikel ini saya ingin berkongsi tentang sebuah perkampungan bernama Umoja di Kenya, yang mengamalkan 'matriaki' sampai ke tahap kaum lelaki diharamkan memasuki wilayahnya. 

Perkampungan Umoja

Sejarah penubuhan Umoja

Umoja Uaso adalah sebuah komuniti wanita di Nairobi, Kenya diasaskan pada tahun 1990 oleh Rebecca Lolosoli, seorang pejuang hak asasi wanita berasal dari Samburu.

Rebecca Lolosoli
FOTO | Rebecca Lolosoli

Rebecca Solosoli berumur 18 tahun ketika berkahwin dengan suaminya Fabiano David Lolosoli. Sebagai seorang pengantin baru, Rebecca memutuskan tidak mahu menjadi suri rumah, sebaliknya dia memulakan sebuah perniagaan menjual barangan pasar di pekan berdekatan.

Tidak lama kemudian Rebecca terkenal di seluruh negara sebagai seorang penyokong kuat hak wanita selepas dilihat sering terlibat mempertahankan kaum wanita daripada layanan buruk pasangan lelaki, dan turut aktif memberi pendidikan berhubung hak-hak mereka kepada kaum wanita.

Susulan pelbagai sokongan diterima, Rebecca bertambah yakin dengan gerakan yang diusahakannya, meskipun ramai kaum lelaki di kampungnya berpandangan, wanita patut berdiam diri kerana mereka kaum yang lemah.

Suatu hari ketika suaminya keluar atas urusan perniagaan, Rebecca telah diserang oleh sekumpulan lelaki di kampungnya. Rebecca dipukul, dan semua duitnya dirompak.

Kumpulan lelaki itu memukul dan merompaknya untuk memberi pengajaran kepada Rebecca kerana terlalu lantang memperjuangkan hak wanita di kampungnya.

Namun dia terkejut apabila mendapati bukan sahaja tiada siapa menuntut keadilan bagi pihaknya, malah semua orang acuh tak acuh sahaja dengan kejadian yang telah berlaku terhadapnya itu.

Kejadian seperti ini memang selalu berlaku di Samburu, di mana wanita seringkali dilayan seperti tidak ada harga. Mereka hanya dianggap seperti hak milik mutlak seorang lelaki, dan boleh dibuang sesuka hati.

Tidak tahan dengan keadaan itu, Rebecca bersama 14 orang wanita yang menjadi mangsa rogol tentera British memutuskan untuk membina sebuah kampung mereka sendiri di mana hanya wanita dibenarkan tinggal di situ.

Kampung Umoja dikawal ketat

Kampung itu terletak di daratan rumput Samburu, di bahagian utara Kenya, di mana wilayahnya dikelilingi oleh pagar diperbuat daripada duri.

Ada sebilangan lelaki, beberapa kali cuba menceroboh untuk mendapatkan kembali isteri atau anak perempuan mereka yang melarikan diri ke perkampungan itu. 

Namun kawalan keselamatan di kampung Umoja sangat ketat, usaha mereka biasanya menemui kegagalan kerana selain pagarnya diperbuat daripada duri, kaum wanita di kampung itu secara bergilir-gilir melakukan kawalan di pintu masuk dan sekeliling kawasan kampung.

Justeru mana-mana lelaki didapati cuba menceroboh akan diserang oleh penduduk-penduduk wanita kampung berkenaan.

Tidak lama selepas itu Umoja menjadi pusat perlindungan dan wilayah selamat untuk semua kaum wanita di seluruh Nairobi. Terutama kepada para wanita yang menjadi mangsa pelbagai layanan buruk, seperti kahwin paksa, penderaan seksual dan pelbagai lagi keganasan dan kekejaman terhadap wanita.

Sumber ekonomi Umoja

Pada Ogos 2015, dilaporkan seramai 47 orang wanita bersama 200 kanak-kanak tinggal di Umoja. Walaupun penduduknya terpaksa menjalani hidup secara sederhana dan berjimat cermat, mereka juga dapat menjana ekonomi menerusi perniagaan.

Ramai pelancong yang tertarik untuk melawat Umoja, mereka juga mengenakan bayaran masuk yang berpatutan, selain menjual cenderahati dan barangan perhiasan dihasilkan oleh penduduk.

Barangan cenderahati Umoja
FOTO | Barangan cenderahati yang dijual di Umoja 

Hasil jualan barangan perhiasan itu akan diserahkan kepada ketua mereka sebelum diagih-agihkan dalam bentuk makanan dan keperluan bagi setiap keluarga berdasarkan jumlah anak-anak mereka.

Sebahagian wang juga disimpan untuk pendidikan anak-anak dalam komuniti itu. Ramai juga pihak yang memberi sumbangan kepada komuniti Umoja selepas membaca tentang kisahnya di internet.

Rujukan | cnn.com | theguardian.com

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan