Kisah Doktor Linda Hazzard mempengaruhi pesakit berpuasa sampai mati

SEORANG doktor wanita bernama Dr Linda Hazzard telah mendapat lesen dari Washington, Amerika Syarikat sebagai seorang pakar puasa pada tahun 1902. Dia percaya bahawa makanan merupakan punca segala penyakit, dan penyembuhnya secara semulajadi adalah berpuasa. Namun sepanjang bertugas sebagai seorang pakar puasa, sejumlah 12 orang telah mati kerana mengikuti rawatannya.

Dr. Hazzard menggunakan pendekatan psikologi dan hipnotis bagi menyakinkan mangsa-mangsanya untuk berlapar sehingga mati, dan dalam masa sama, para pesakit terlebih dahulu menyerahkan harta dan aset mereka kepadanya.

Kisah doktor mempengaruhi orang supaya berlapar sampai mati
FOTO | Dr Linda Hazzard

Penipuan perubatan itu menggunakan kaedah psikologi, dan mempromosikan pendekatan berpuasa sebagai penawar bagi segala jenis penyakit. Menurutnya "jangan tunggu sehingga tenat untuk berpuasa, sebarang jenis penyakit dari bengkak kelenjar hingga kejatuhan peranakan boleh disembuhkan menerusi cara berpuasa,"

Meskipun kaedah perubatan diperkenalkan oleh Dr Hazzard mungkin sangat ganjil bagi orang ramai ketika itu, namun kaedah pemasarannya sangat berkesan dan meyakinkan.

Manusia sering mencari kesempurnaan, dan sangat mudah percaya kononnya penyakit-penyakit ringan seperti gatal-gatal, sengal dan rasa tidak selesa dalam kehidupan harian mungkin boleh diselesaikan oleh golongan 'pakar' terutama apabila ditawarkan dengan kaedah 'sukar' atau 'derita' bagi memperoleh hasil dijanjikan. 

Ramai orang percaya dengan pepatah 'no pain, no gain,' yang bermaksud setiap individu perlu melalui kesengsaraan atau derita untuk mencapai sesuatu yang dihajati atau diidam-idamkan. 

Inilah yang berlaku kepada mereka 100 tahun lalu. Sampai ke hari ini pun, masih ramai orang percaya bahawa dengan menyingkirkan 'toksin' daripada badan boleh membuatkan kita bertambah sihat. 

Dalam kes Dr. Hazzard, dia mendakwa makanan merupakan toksin kepada tubuh badan manusia. Apa yang menyedihkan, orang ramai nampaknya begitu mudah percaya dengan dakwaan itu, meskipun rawatan dijalankan olehnya sangat kejam dan menyakitkan.

Sebaik sahaja berjaya menyakinkan pesakitnya bahawa pengambilan makanan merupakan punca mereka menghidap pelbagai jenis penyakit, Dr Hazzat menjalankan rawatan khas terhadap mereka. Antara rawatan itu termasuklah kaedah enema harian, di mana dubur pesakit akan disembur dengan cecair bagi mengosongkan najis di dalam usus besar.

Para pesakit juga disuruh mandi dengan air panas setiap hari dan tidak dibenarkan mengambil sebarang makanan kecuali sup khas yang hanya mengandungi sedikit potongan kecil sayur-sayuran.

Mencuri wang dari pesakitnya

Tidak dapat dipastikan sama ada Dr Hazzard sendiri sebenarnya percaya atau tidak dengan teori berlapar untuk merawat penyakit itu. Namun jika dilihat dari tingkah laku ditunjukkan, mungkin dia sendiri tidak percaya dengan teori tersebut. 

Mana tidaknya, sebaik sahaja mangsanya dilihat lemah akibat kebuluran, Dr Hazzard akan memujuk mereka menyerahkan pakaian, duit, barangan kemas, harta dan aset-aset lain kepadanya. 

Bagi melengkapkan penipuannya, Dr Hazzard biasanya enggan untuk membebaskan mangsa-mangsanya dengan alasan bahawa rawatan dijalani mereka masih belum selesai. 

Salah satu kejadian menimpa dua beradik bernama Claire dan Dorothea Williamson, di mana mereka dimasukkan ke sebuah ruang dipanggil 'sanitarium' untuk mendapatkan rawatan, sehingga adik beradik malang itu kehilangan segala deria rasa.

Ketika kedua beradik itu menghantar sepucuk surat menerusi telegram kepada jururawat peribadi mereka, Margaret Conway, mesej yang ditulis begitu mengelirukan dan bercelaru. Jururawat itu segera datang dari Australia menaiki bot, kerana bimbang keadaan mereka berdua.

Ketika itulah Conway menerima berita bahawa Claire telah meninggal dunia dikatakan akibat masaalah sirosis hati.

Dora terselamat dan masih hidup, namun ketika itu beratnya hanya sekitar 50 pounds (22.7 kg), dan telah menyenaraikan Dr Hazzard sebagai penjaganya. Dora enggan meninggalkan sanitarium, meskipun keadaannya sangat teruk dan menderita. Dia terlalu kurus dan tidak mampu untuk duduk.

Berita itu disampaikan oleh Dr Hazzard sendiri kepada Margaret sambil memakai salah satu jubah milik Claire, dan enggan melepaskan Dora. Namun tidak lama selepas itu Dora dibebaskan, itupun selepas pakciknya, John Herbert membayar wang sebanyak $1,000 kepada Dr. Hazzard.

Dr Linda Hazzard didapati bersalah kerana membunuh. 

Meskipun seramai 12 orang telah mati di tangannya pada tahun 1911, Dr Hazzard tidak pernah diheret ke muka pengadilan sehinggalah naib konsul British turut campur tangan selepas mendapat tahu tentang kematian Claire. Selepas pihak berkuasa mempunyai cukup bukti, Dr Hazzard telah ditahan atas tuduhan membunuh.

Semasa perbicaraan, Dr Hazzard mengatakan pihak berkuasa telah melakukan kesilapan kerana menuduhnya, sedangkan dia adalah seorang ahli perniagaan dan doktor yang berjaya. 

Penghujung peebicaraan itu, Dr Hazzard telah disabitkan atas kesalahan membunuh, namun akhirnya dia diberi pengampunan dalam tahun 1920. Namun selepas itu, dia sekali lagi membangunkan sebuah sanitarium yang bertahan selama 15 tahun sebelum bangunan itu terbakar pada tahun 1935. Dr Hazzard meninggal dunia ketika berusia 70 an, selepas cuba berpuasa untuk menjadi lebih sihat dan menemui ajal.

Dr Linda Hazzard, sama ada dengan niat ataupun tidak, telah menyebabkan kematian kepada sekurang-kurangnya 12 orang individu. Kisahnya tercatat dalam sejarah dan menjadi bukti bagaimana manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk sembuh daripada penyakit dihidapi walaupun terpaksa berlapar, menderita, dan terseksa.

Rujukan smithsonianmag.com

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan