Sekolah Cina tapi pelajar Melayu lebih ramai dari bangsa lain

AHLI Politik selalu menggunakan sekolah-sekolah vernakular sebagai bahan untuk meraih sokongan orang-orang Melayu, meskipun terpaksa menyemai polemik perkauman.

Namun di sebuah kawasan pedalaman berdekatan Kampung Changkat Jambu di Kuala Kangsar, Perak, nampaknya ibu bapa berbangsa Melayu tidak termakan dengan propaganda itu sebaliknya mereka memilih untuk menghantar anak-anak belajar di SJK (C) Khai Chee walaupun jaraknya lebih jauh dari sekolah kebangsaan.

SJK(C) Khai Chee
FOTO | Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, SJKC (C) Khai Chee

Sekolah itu, dengan pendaftaran seramai 42 orang pelajar dari tahun 1 hingga 6 boleh dijadikan contoh bagaimana rakyat Malaysia memilih perpaduan dan dalam masa sama mengutamakan kualiti pendidikan bagi anak-anak mereka.

Sekurang-kurangnya seramai 27 orang pelajar adalah anak-anak Melayu dari kampung-kampung berdekatan, tiga lagi India, manakala selebihnya barulah anak-anak berbangsa Cina. 

Portal FMT yang melaporkan perkara itu tidak dapat memperolehi jumlah angka tepat lantaran guru besar sekolah berkenaan enggan memberi ulasan, kerana menurutnya, jabatan pendidikan telah mengarahkan mereka agar tidak mengeluarkan kenyataan kepada pihak media.

Berdasarkan penduduk kampung, jumlah pelajar-pelajar Melayu di sekolah ini sudah mengatasi jumlah pelajar-pelajar berbangsa lain sejak sedekad lamanya.

Kebanyakkan ibubapa yang ditemui di luar pintu pagar sekolah menyebutkan dua faktor mereka memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah Cina meskipun sekolah kebangsaan jaraknya cuma 1km.

Seorang bapa yang mengenalkan dirinya sebagai Nurfitri berkata, dia memutuskan untuk menghantar anak keduanya ke sekolah Cina kerana mahu anak perempuannya itu belajar bagaimana untuk bergaul secara bebas dengan anak-anak dari bangsa lain.

"Saya mahu anak perempuan saya belajar budaya bangsa bangsa lain di Malaysia. Selain itu, mempelajari bahasa ketiga di negara kita adalah penting. Saya diberitahu oleh ibu bapa lain yang menghantar anak mereka di sini bahawa kualiti pendidikan juga bagus," katanya.

Menurut seorang lagi bapa bernama Ruslan Sidin, dia tidak mempunyai masalah langsung meletakkan anak perempuannya di sebuah sekolah Cina.

"Apa yang saya mahu adalah pendidikan berkualiti untuknya, dan dapat bertutur dalam bahasa Manderin yang akan menjadi aset masa hadapan. Kamu mempunyai satu kelebihan jika belajar lebih banyak bahasa di Malaysia," katanya.

Seorang lagi penjaga yang enggan namanya disiarkan berkata ahli politik yang menjadikan perkara ini sebagai isu patut menjalankan kajian kenapa pelajar Melayu yang melalui sekolah rendah Cina lebih cemerlang di sekolah menengah untuk mendapatkan gambaran sebenar.

"Kerajaan patut menjalankan satu tinjauan tentang bagaimana prestasi golongan dewasa yang pernah mendapat pendidikan di sekolah rendah Cina dalam kerjaya mereka. Hasilnya pasti menarik," katanya, apabila diberitahu terdapat sekitar 80,000 anak-anak Melayu belajar di sekolah-sekolah Cina seluruh negara.

Berdasarkan angka dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, 27 peratus pelajar di sekolah-sekolah Cina merupakan pelajar Melayu, manakala India 4 peratus daripada daftar keseluruhan.

Guru Besar sekolah berkenaan bagaimanapun menolak untuk memberi ulasan ketika dihampiri, katanya mereka tidak dibenarkan untuk bercakap kepada pihak media tanpa kebenaran dari pegawai jabatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan