Kumari Devi, budaya pelik sembah kanak-kanak perempuan sebagai tuhan

SELAMA lebih 2000 tahun, Kumari Puja atau Dewi Kumari, sejenis budaya menyembah kanak-kanak perempuan sebagai tuhan telah diamalkan di beberapa kawasan di Nepal. Mereka percaya kanak-kanak perempuan yang masih perawan, dan diberi gelaran Kumari Devi ini mempunyai tanggung jawab khusus melindungi negara, raja dan mampu membawa tuah.

Kumari Devi
FOTO | Kumari Devi

Lagenda tradisi Kumari

Terdapat beberapa lagenda dan sejarah dalam budaya purba orang Nepal, kesemuanya hampir serupa namun antara paling terkenal ialah kisah persahabatan di antara dewi bernama Taleju dengan Raja Jayaprakash Malla. 

Jayaprakash Malla merupakan Raja Nepal terakhir ketika tahun ke 12 hingga 17 masehi. Menurut Lagenda itu, raja berkenaan sering berjumpa dengan Dewi Taleju secara sembunyi-sembunyi di dalam biliknya setiap malam untuk bermain sejenis permainan melempar dadu.

Beberapa kali Dewi Taleju telah memberi amaran kepada raja agar merahsiakan pertemuan dan permainan mereka pada setiap malam, jika mahu dewi itu terus merahmati dan melindungi pemerintahannya. Raja bersetuju, malangnya permaisuri mengesyaki sesuatu dan tertanya-tanya dengan siapa sang raja menghabiskan masa sepanjang malam. Pada suatu malam, permaisuri secara diam-diam telah menyelinap masuk ke dalam bilik tempat raja bertemu dengan Dewi Telaju.

Permaisuri melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Raja bersama tetamunya iaitu Dewi Telaju sedang bermain permainan melontar dadu. Sebaik sahaja menyedari pertemuan rahsia mereka terbongkar, Dewi Telaju merasa sangat marah kerana menganggap Raja telah memungkiri janji.

Sang raja merayu-rayu kemaafan kepada Dewi Telaju, dan ketika itulah dewi tersebut memberikan syarat kepada raja jika mahu bertemu dengannya lagi. Menurutnya raja perlu mencari seorang kanak-kanak perempuan belum akil baligh di kalangan masyarakat Newar (Shakya), kerana kanak-kanak itu merupakan jelmaan semula Dewi Telaju.

Oleh kerana raja tidak sanggup kehilangan dewi yang selama ini bersamanya, melindungi pemerintahan, serta dianggap telah membuatkan kerajaannya menjadi sangat hebat, dia segera pergi ke perkampungan masyarakat Newar untuk mencari kanak-kanak perempuan yang disebutkan itu.

Sebuah lagi Lagenda menceritakan kisah serupa, kecuali terdapat sedikit perubahan di mana pada suatu malam ketika raja bertemu dengan Dewi Telaju, raja telah mabuk akibat minuman keras, sehingga dia tidak sedar telah cuba melakukan hubungan seks dengan dewi berkenaan. Apabila raja menyedari tindakan itu telah menimbulkan kemarahan Dewi Telaju, dia telah memohon maaf, dan ketika itulah dewi berkenaan memberitahu tentang jelmaan semula dirinya menerusi seorang kanak-kanak perempuan dalam keluarga Shakya dari Masyarakat Newar.

Tidak dapat dipastikan Lagenda manakah yang tepat menceritakan kisah sebenar, namun inilah asal-usul cerita membawa kepada tradisi masyarakat Nepal menyembah kanak-kanak perempuan sebagai tuhan kerana menganggap mereka adalah jelmaan semula Dewi Telaju.

Proses Pemilihan Kumari

Oleh kerana Dewi Telaju telah menyebutkan sebuah tempat khas dirinya akan menjelma, calon kanak-kanak perempuan dari kasta perak Newar Shakya akan dibawa ke tempat berkenaan. Pemilihan pula biasanya dijalankan oleh lima orang sami Buddha senior, antaranya terdiri daripada Ketua Sami Diraja, tukang tilik diraja, Pancha Buddha dan Sami Dewi Taleju. Kelima-lima mereka ini bertanggungjawab untuk memilih gadis yang sesuai untuk menjalani upacara reinkarnasi.

Kanak-kanak perempuan yang bakal dipilih menjadi dewi seterusnya perlu memenuhi 32 kriteria sempurna seorang dewi yang disebut sebagai Battis Lanskna. Antara 32 kriteria itu termasuklah memiliki tahap kesihatan terbaik, dan tiada mempunyai cacat cela fizikal. Gadis itu juga mestilah masih perawan dan mempunyai horoskop sepadan dengan raja yang memerintah. Paking penting, gadis berkenaan mestilah tidak mudah merasa takut.

Keberanian gadis berkenaan akan diuji semasa saringan akhir disebut sebagai 'Upacara Kalratri' atau terjemahannya 'malam hitam' di mana ujian itu biasanya dijalankan di kuil Taleju. Dalam ujian berkenaan, gadis terbabit perlu menyaksikan penyembelihan sejumlah 108 ekor kambing dan kerbau serta tarian lelaki-lelaki di atas darah. Selepas itu, gadis berkenaan akan ditinggalkan tidur seorang diri sepanjang malam bersama bangkai-bangkai haiwan tadi.

Sekiranya gadis berkenaan tidak menunjukkan sebarang rasa takut, maka dia dianggap telah lulus ujian dan akan segera dibawa ke Istana Kumari Ghar untuk ditabalkan sebagai Kumari yang baru.

Tanggungjawab Dewi Kumari 

Sebagai seorang Kumari, seluruh hidupnya akan berubah dengan drastik, kerana gadis ini tidak lagi mempunyai hak untuk hidup sebagai kanak-kanak normal. Sebaliknya dia perlu berpakaian secara spesifik, sila rujuk di dalam gambar di atas.

Selain itu, oleh kerana gadis terbabit kini dipercayai merupakan jelmaan semula Dewi Telaju, kakinya tidak dibenarkan lagi mencecah tanah. Lebih kurang sama dengan budaya orang-orang di Bali, yang mempercayai bahawa kaki suci tidak patut menjejaki tanah. Maka setiap kali dewi mahu meninggalkan istana untuk menghadiri sesuatu upacara, dia perlu didukung atau diangkat menggunakan tandu.

Kumari Devi didukung
FOTO | Kumari Devi tidak dibenarkan kakinya mencecah tanah

Gadis-gadis ini juga hidup terpencil dan tidak dibenarkan menjalinkan hubungan dengan manusia biasa, termasuk ibu bapanya sendiri, kerana mereka juga sama seperti kebanyakan penganut Buddha dan Hindu perlu sujud di kakinya memohon perlindungan, penyembuhan dan memohon supaya beroleh tuah.

Kumari Devi disembah
FOTO | Penganut Buddha sujud di kaki Kumari Dewi memohon rahmat dan kesejahteraan

Kesan tradisi ini kepada kanak-kanak

Oleh kerana pemilihan Dewi Kumari dijalankan di kalangan kanak-kanak, ramai para pengkritik membantah amalan tradisi itu kerana dianggap mencabul hak kanak-kanak terbabit. Menurut mereka gadis ini dipaksa meninggalkan zaman kanak-kanak atas nama tradisi, dan sebaik sahaja tempoh hidup mereka tamat sebagai dewi, mereka terkapai-kapai untuk memulakan hidup baru.

Malah sebelum ini, Dewi Kumari tidak dibenarkan untuk mendapat pendidikan, mujur selepas bantahan demi bantahan dari masyarakat, termasuk segelintir bekas Dewi Kumari, kanak-kanak yang ditabalkan menjadi Dewi Kumari kini disediakan dengan seorang tutor peribadi yang akan datang ke istana setiap hari untuk memberikan pendidikan.

Rujukanyoutube.com | bbc.com

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan