PH mula runding kerusi tidak tolak kerjasama dengan Umno — Anwar

PAKATAN HARAPAN telah memulakan proses rundingan kerusi di antara parti-parti bersekutu sebagai persediaan pilihanraya umum ke 15, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar yang juga merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata bahawa gabungan itu akan mengambil kira peruntukan kerusi kepada parti-parti yang mesra pembangkang termasuk cadangan dikemukakan oleh parti dari Sabah, Upko (United Progressive Kinabalu Organisation).

Anwar Ibrahim

"Majlis presiden telah memutuskan beberapa perkara termasuk, usaha sama jentera pilihan raya dan kedua untuk memulakan rundingan kerusi melibatkan parti-parti utama Harapan dan juga mempertimbangkan peruntukan untuk parti-parti rakan yang lain,"

"Ada juga cadangan daripada Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau, dan ini akan dipertimbangkan. Namun pada peringkat ini kita akan melantik seorang jurucakap," katanya dipetik oleh Malaysiakini.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil pernah dilaporkan berkata rundingan kerusi antara parti komponen PH telah mencapai 'advance stage'

Pakatan Harapan kini memberi tumpuan untuk berbincang dengan parti-parti komponen sebelum mengadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang lain.

Fahmi dan Anwar tidak menolak berhubung kemungkinan untuk bekerjasama dengan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

"Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tidak berbangkit buat masa ini, namun kita jelas mendukung sesiapa sahaja yang boleh menerima kita mendukung tadbir urus baik, tolak rasuah tolak segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa dan jaga Orang Melayu, bumiputera dan semua kaum," kata Anwar.

Menurut Fahmi kerja sama seperti itu tidak mustahil kerana ia pernah dilakukan oleh KEADILAN sebelum ini.

"Kita ada prinsip dan pegangan serta tidak akan melanggarnya. Kita boleh bekerjasama dengan semua pihak, malah sebelum ini kita bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad, dan perlu berlandaskan prinsip dan pegangan," katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan