Presiden Upko Madius Tangau nafi sertai Perikatan Nasional

PRESIDEN Upko, Wilfred Madius Tangau menafikan sebuah laporan yang mendakwa dia merupakan salah seorang ahli parlimen dari Sabah bersedia untuk berpaling tadah menyokong Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Tuaran itu menyifatkan laporan oleh sebuah portal atas talian sebagai "palsu dan tidak bertanggungjawab,".

"Berita palsu ini sengaja dicipta oleh pihak tertentu dengan harapan mahu mewujudkan ketidakstabilan di kalangan parti-parti pembangkang," katanya menerusi siaran langsung di Facebook Live sebagai jawapan segera kepada laporan berita berkenaan.

Madius Tangau

"Ini merupakan satu usaha terdesak, saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan akan menyertai PN, saya harap ini dapat menjelaskan situasi,"

"Saya menyeru kepada orang-orang ini supaya berhenti mereka cerita palsu dan fitnah. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya khabar angin seperti ini berterusan,"

Upko merupakan sebahagian daripada parti gabungan pembangkang Warisan Plus di Negeri Sabah.

Laporan itu mendakwa Madius Tangau bersama seorang lagi Ahli Parlimen dari Sabah akan mengumumkan keputusan mereka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (PPBM) bersempena lawatan setiausaha agung parti itu, Hamzah Zainuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ke Sabah.

Laporan itu memetik kenyataan sumber dalaman didakwa dari Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah, mengatakan Hamzah berada di negeri itu bagi menghadiri mesyuarat koordinator parlimen, namun dalam masa sama turut dijadualkan untuk bertemu ahli parlimen yang mahu melompat parti.

Susulan penafian Madius Tangau, portal itu telah memadam laporan berkenaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan