Saintis temui lebih 140,000 spesies virus dalam usus manusia

VIRUS merupakan makhluk biologi paling banyak di muka bumi. Baru-baru ini para penyelidik di Wellcome Sanger Institute dan EMBL's European Bioinformatics Institute (EMBL-EBI) telah mengenal pasti lebih 140,000 spesies virus hidup di dalam usus manusia, di mana lebih separuh daripadanya tidak pernah dilihat sebelum ini.

Kertas hasil kajian itu diterbitkan pada 18 Februari 2021 menerusi jurnal Cell, di mana ia membentangkan satu analisis terhadap lebih 28,000 sampel-sampel mikrob perut manusia dikutip dari pelbagai kawasan di dunia. 

Usus manusia

Jumlah dan kepelbagaian virus ditemui oleh para penyelidik itu begitu tinggi dan mengejutkan. Penemuan itu sekaligus membuka laluan kepada bidang kajian baru bagi memahami bagaimana virus-virus yang tinggal di dalam usus memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Perut manusia diketahui sebagai sebuah persekitaran biodiversiti yang luas. Selain kehadiran bakteria, terdapat ratusan ribu virus-virus dipanggil 'bacteriophages' yang boleh menjangkiti bakteria turut mendiami usus manusia.

Selain itu ketidakseimbangan mikrob di dalam usus kita juga boleh menyumbang kepada penyakit dan komplikasi seperti radang usus, alahan, dan obesiti. Namun secara relatif, masih belum banyak diketahui berhubung peranan dimainkan oleh bakteria di dalam usus, dan bacteriophages yang menjangkitinya dengan kesihatan dan penyakit manusia.

Menerusi kaedah penjujukan DNA (DNA-sequencing) yang disebut sebagai metagenomic, para penyelidik di Wellcome Institute dan EMBL-EBI telah meneroka dan mendokumenkan virus-virus ditemui dalam 28,060 metagenom perut manusia dan 2,898 genom bakteria yang dikultur secara berasingan dari usus manusia.

Analisis itu telah berjaya mengenalpasti lebih 140,000 spesies-spesies virus yang hidup di dalam perut manusia, di mana lebih 70,000 daripada penemuan spesies baru itu tidak pernah diketahui oleh manusia sebelum ini.

Menurut Dr Alexandre Almeida, seorang profesor di EMBL-EBI dan Wellcome Sanger Institute, adalah penting bagi kita memahami bahawa tidak semua virus berbahaya, sebaliknya ia sebahagian komponen integrasi dalam ekosistem usus. 

"Selain itu, kajian ini mendapati kebanyakkan virus-virus ini ditemui mempunyai DNA sebagai penyimpan bahan genetik, dan jujukannya berbeza dari kebanyakan patogen (virus berbahaya) yang diketahui ramai, seperti SARS-CoV-2, atau Zika, yang menggunakan RNA sebagai penyimpan maklumat genetik virus."

"Kedua, sampel-sampel ini kebanyakannya dikutip dari individu-individu sihat, yang tidak menghidap sebarang penyakit tertentu. Ia sangat mempersonakan apabila kita dapat melihat begitu banyak spesis-spesis tidak diketahui hidup di dalam usus kita, dan kita cuba merungkai kaitan di antara makhluk-makhluk ini dengan kesihatan manusia," katanya.

Di antara puluhan ribu virus-virus ditemui, terdapat sejenis koloni baru begitu lazim dijumpai, iaitu sekumpulan virus-virus dipercayai mempunyai satu keturunan yang sama telah dikenal pasti. Mereka menamakannya sebagai 'Gubaphage'. Koloni virus ini didapati kedua paling lazim ditemui dalam usus manusia selepas crAssphage, yang ditemui dalam tahun 2014.

Kedua-dua virus ini dilihat menjangkiti bakteria dari jenis yang sama dalam usus manusia. Namun tanpa kajian lanjut adalah sukar untuk memahami fungsi sebenar koloni Gubaphage itu.

Dr Luis F. Camarillo-Guerrero, dari Wellcome Sanger Institute yang juga merupakan penulis utama kajian itu berkata, "Satu aspek penting kajian kami adalah untuk memastikan bahawa pembinaan semula genome virus ini mempunyai kualiti paling tinggi."

"Satu kawalan kualiti ketat digabungkan dengan pendekatan 'machine learning' membolehkan kita mengurangkan pencemaran dan memperolehi genom-genom virus yang lengkap,"

"Genom-genom virus berkualiti tinggi membuka jalan untuk lebih memahami peranan dimainkan oleh virus-virus di dalam mikrobiom usus kita, termasuk penemuan rawatan baru seperti antimikrob yang berasal dari bacteriophage,"

Hasil kajian itu telah mengasaskan penubuhan Gut Phage Database (GPD), sebuah pangkalan data tersusun mengandungi 142,809 genom-genom phage tidak berulang, menjadi sumber tidak ternilai kepada mereka yang mahu mengkaji bacteriophages dan peranannya di dalam tubuh manusia.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan