Virus Selsema Babi Afrika merebak di pelbagai daerah di Sabah

VIRUS Selsema Babi Afrika (ASF) dilaporkan kini telah merebak ke daerah-daerah lain di Sabah, menjangkiti ternakan babi dan spesies babi liar berjanggut.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffry Kitingan berkata virus itu telah dikesan di kalangan babi-babi ternak di Kota Marudu dan Pitas, juga babi liar berjanggut di Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

Babi Liar Berjanggut

"Ini termasuk kes kematian babi liar berjanggut di sebuah resort dalam Daerah Kinabatangan yang tular di media sosial minggu lalu," katanya.

Mujur katanya, ladang-ladang ternakan babi di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang yang membekalkan kebanyakan produk-produk babi di Sabah masih bebas dari jangkitan virus ASF.

"Kita mesti memastikan kawasan-kawasan ini kekal bebas ASF, supaya pengeluaran babi untuk keperluan penduduk tempatan tidak terjejas,"

"Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, ia mampu memberi kemusnahan besar kepada ekonomi, juga menjejaskan kesihatan masyarakat kita. Oleh itu sangat penting untuk kita mengawal dan membasmi penyakit ini," katanya.

Kitingan yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Perikanan berkata kerajaan akan mengisytiharkan daerah-daerah yang terjejas dengan Wabak ASF berdasarkan peruntukan Enakmen Haiwan 2015.

Pengisytiharan ini akan dibuat oleh pentadbir daerah dan perbandaran masing-masing, bagi membolehkan DVS langkah kawalan berkesan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. Babi-babi di kawasan di mana ASF ditemui akan dibunuh dan dimusnahkan, manakala kawasan berkenaan akan melalui proses pembasmian kuman, bermula dari pusat kali pertama virus ditemui.

Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) juga akan membantu menguruskan usaha mengawal penyebaran virus ASF dari populasi babi liar berjanggut sehingga babi-babi ternak, dengan menggantung lesen memburu dan melarang penjualan 'sinalau bakas' seperti dinyatakan sebelum ini.

"Kita akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis untuk virus ASF, yang dipengerusikan oleh pengarah DVS. Jawatankuasa ini melibatkan SWD, Pasukan Keselamatan, wakil kementerian perumahan dan kerajaan tempatan, wakil pendakwaraya negeri, dan agensi-agensi lain yang berkaitan,"

"Mereka akan membantu memformulakan dasar-dasar perlu untuk mengawal dan seterusnya membanteras ASF di Sabah secepat mungkin," kata Kitingan.

Setakat ini katanya sejumlah 110 babi dari 9 buah kampung di dalam zon jangkitan ASF telah dibunuh dan dimusnahkan. DVS telah menjalankan kempen kesedaran di 54 daripada 182 buah kampung di Pitas.

Setakat hari Sabtu, sejumlah 347 sampel telah dikutip dari pelbagai daerah bagi mengesan kehadiran virus ASF di seluruh negeri Sabah.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan