Rasuah RM6,000 di KLIA, warga asing boleh keluar negara walau disenarai hitam

PEGAWAI imigresen yang korup dilapor menggunakan modus operandi "kaunter setting," dengan bayaran rasuah sehingga RM6,000 bagi pendatang asing yang telah disenarai hitam atas kesalahan imigresen.



Menerusi bayaran rasuah itu, pendatang asing terbabit akan menuju ke "kaunter setting," yang terletak di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) seterusnya dibenarkan berlepas ke luar negara walaupun telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen.

Kaunter Imigresen KLIA

Satu lagi modus operandi yang digunakan ialah dengan mengeluarkan "passport terbang," atau juga disebut sebagai "cop palsu" kepada warga asing yang datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial namun ingin bekerja dalam negara ini secara haram.

Menerusi modus operandi itu, ejen tertentu akan mengumpulkan pasport milik pekerja asing berkenaan dan merasuah pegawai imigresen terlibat untuk mengecop pasport mereka, bagi menunjukkan seolah-olah mereka telah keluar negara selepas tiga bulan dan masuk semula secara sah.


Dengan cara itu, warga asing berkenaan boleh terus berada di negara ini selama 3 bulan lagi.

Sindiket berkenaan yang dikatakan telah mula aktif sejak setahun yang lalu, dilaporkan membantu majikan sama ada mahu pekerja asing mereka terus kekal di negara ini atau kembali pulang ke negara asal meskipun telah disenarai hitam.

Setakat ini seramai 53 individu telah ditahan sejak 16 November lalu, termasuk 33 anggota Imigresen yang ditugaskan di KLIA, klia2, komplek kastam, dan Bangunan Kuarantin Sultan Iskandar di Johor Bahru.


Sejumlah wang tunai lebih RM800,000, 26 buah kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi turut dirampas oleh pihak berkuasa.


Turut ditahan dua orang awam yang dilapor membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk transaksi wang rasuah berkenaan. Mereka bagaimana pun telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan