Kisah Maharaja China pertama mahu hidup kekal selama-lamanya

MAHARAJA Qin Shi Huang, iaitu Maharaja Dinasti Qin merupakan orang pertama menyebut dirinya sebagai 'Maharaja' dalam sejarah negara China. Dia berjaya menyatukan banyak kerajaan-kerajaan di China sebelum itu di bawah nama Qin, dan kemudiannya menjadi kata akar kepada perkataan 'China'.
$ads={2}
Maharaja Qin Shi Huang turut berjaya menyatukan ekonomi China menerusi pelaksanaan unit seragam bagi menilai matawang, berat, dan ukuran gandar gerabak bagi memudahkan sistem jalan dan pengangkutan.

Patung Qing Shi Huang
FOTO | Patung Qin Shi Huang

Semasa pemerintahannya juga, dia telah membina jaringan jalan raya dan terowong menghubungkan antara wilayah bagi mempermudahkan urusan perniagaan antara daerah. Matawang berbeza di antara wilayah-wilayah berlainan juga diseragamkan kepada penggunaan Syiling Ban Liang.

Paling penting, sistem penulisan China juga telah disatukan di mana satu kaedah penulisan seragam seluruh Wilayah China dilaksanakan, sekaligus menghasilkan satu sistem komunikasi berkesan di bawah satu bahasa bagi seluruh wilayah jajahannya.

Warisan senibina ikonik dan luar biasa seperti Tembok Besar Negara China dan Pahlawan-pahlawan Terracotta juga dibina di bawah pemerintahannya sekitar tahun 247 hingga 210 sebelum masehi (SM).

Pahlawan Terracotta
FOTO | Pahlawan-pahlawan Terracotta

Qin Shi Huang mahu hidup kekal selama-lamanya

Selain kehebatan luar biasa di dalam memimpin dan mentadbir, tokoh lagenda sejarah China itu juga mempunyai keinginan peribadi luar biasa, iaitu mahu hidup kekal selama-lamanya.

Ketika Qin Shi Huang menyatukan China buat pertama kali dalam sejarah, dia baru berusia 38 tahun dan memiliki tubuh badan bertenaga serta sihat. Namun, ketika zaman itu, seseorang mencapai umur di akhir usia 30-an menganggap kematian sudah begitu hampir, kerana masyarakat China kuno melihat usia 40 tahun sebagai ambang usia lanjut.

Setelah objektif utama Maharaja Qin Shi Huang menyatu-padukan China selesai, sebahagian besar masa dan tenaganya ditumpukan pula untuk mencari jalan bagi mengelakkan perjalanan perlahan menuju kematian, supaya dia dapat mengekalkan status maharaja buat selama-lamanya.

Namun, di sebalik keinginannya untuk hidup kekal, Qin Shi Huang meninggal dunia hanya 11 tahun selepas menyatukan China, iaitu pada tahun 221 SM, pada usia 49 tahun. Menurut Sima Qian, sejarawan Cina Kuno, maharaja tiba-tiba jatuh dan meninggal dunia ketika bersama rombongan kerajaan sedang melawat sekitar empayarnya.

Bimbang kemungkinan akan berlaku pemberontakan, para pengikut Maharaja Qin Shi Huang bertindak menyebarkan ikan busuk di antara rombongan bagi menutup bau mayat sedang membusuk dan berpura-pura mengadakan perbincangan seolah-olah maharaja masih hidup untuk menyembunyikan kematian mendadak itu. Ramai sejarawan bersetuju bahawa punca kematiannya adalah kerana keracunan merkuri.

Merkuri sangat berbahaya bagi tubuh manusia, ia menjejaskan otak dan sistem saraf jika dimakan. Pengambilan merkuri pada dos tinggi atau kerap boleh menyebabkan kecacatan berpanjangan pada deria seseorang, bahkan boleh menyebabkan kematian. Sima Qian menulis bahawa Qin Shi Huang sering makan sejenis bebola diperbuat daripada merkuri.

Ketika zaman China kuno, merkuri dianggap mempunyai manfaat besar kepada tubuh badan, dan ramai menganggap ia sebagai sejenis bahan membolehkan manusia hidup kekal selama-lamanya.

Bebola merkuri biasanya dibuat dengan merebus merkuri dengan belerang, seterusnya menghasilkan sebatian kimia berwarna merah sebelum disejukkan, dikeraskan, dan dibentuk menjadi bebola.

Orang Cina kuno menyedari bahawa mayat terkena merkuri kelihatan tahan lebih lama dan tidak busuk berbanding mayat biasa dan dari situlah mereka mendapat kepercayaan kononnya merkuri adalah ubat menghalang kematian. Kepercayaan dan amalan ini begitu popular di kalangan golongan bangsawan Cina ketika itu.

Qin Shi Huang pula merupakan antara penggemar merkuri paling gila pada waktu itu. Terdapat bukti-bukti jelas tentang perkara itu di makamnya terletak di China berhampiran sebuah kota dikenali hari ini sebagai Xi'an.

Berdasarkan tulisan Sima Qian, Qin Shi Huan turut memerintahkan agar dibina sungai serta lautan merkuri supaya mengalir di dalam dan di sekitar makamnya. Catatan Ini terbukti benar ketika ahli arkeologi menemui makamnya, dan mereka mendapati tanah di situ mempunyai paras merkuri begitu tinggi di kawasan dalam dan sekitar makam tersebut.

Tidak dapat dinafikan Qin Shi Huan adalah seorang pemimpin hebat, individu pertama mampu menyatukan China di bawah namanya dan memupuk identiti orang Cina sampai ke hari ini.  

Namun, obsesinya mahu hidup kekal telah meragut nyawanya pada usia 49 tahun kerana pengambilan merkuri berlebihan. 

Ini menunjukkan bahawa pencapaian besar dalam hidup tidak membawa apa-apa makna kepada manusia di dalam menempuh alam kematian, kerana ia pasti akan berlaku dan tidak boleh dielakkan. 


Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan